Sumber : Utusan Malaysia
Muka : 22
Tarikh : 19 Mac 2009
DUBAI, Mac 18, 2009 - Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mungkin menimbang untuk menubuhkan jawatankuasa bersama mengenai perdagangan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau membangkitkan perkara berkenaan semasa perbincangan dengan Menteri Perdagangan Luar UAE Sheikha Lubna Al Qasimi, di luar aturcara Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) 2009 yang kini berlangsung di Pusat Pameran Ekspo Lapangan Terbang Dubai di sini.
"Penubuhan jawatankuasa itu boleh memperluaskan peluang perdagangan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak. Jawatankuasa yang dicadangkan itu boleh mengadakan mesyuarat secara berganti-ganti antara Malaysia dan UAE," kata beliau kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan MSE 2009.
Jumlah dagangan Malaysia dengan UAE pada tahun lepas ialah RM20.9 bilion tahun lepas, naik 43.9 peratus daripada RM14.5 bilion pada 2007.
Perdagangan dua hala memihak kepada Malaysia dengan barangan, tidak termasuk perkhidmatan, bernilai RM12.5 bilion dieksport ke UAE.
Muhyiddin mengulangi kenyataannya bahawa Malaysia berminat untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), di mana UAE adalah anggotanya.
Lima anggota GCC yang lain ialah Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi.
"Kami mahu menumpukan kepada rundingan FTA dengan GCC. Kami berharap mereka menerima dengan baik idea supaya perbincangan FTA diadakan secepat mungkin," kata Muhyiddin.
Menjelaskan bahawa pengaturan FTA akan membawa pelbagai faedah kepada pihak yang terlibat, menteri itu berkata, masih terlalu awal baginya memaklumkan tentang isu yang mungkin akan disentuh dalam perbincangan.
"Jika semuanya berjalan dengan lancar dan pengharapan tidak terlalu tinggi, mungkin kemudian ia akan lebih mudah untuk memuktamadkan rundingan FTA," katanya.
- BERNAMA