RABU, 7 DISEMBER, 2016, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini meraikan 36 buah syarikat Malaysia yang telah berjaya menjalani Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera dan Wanita (BWEDP), sebuah program pembangunan kapasiti tiga tahun anjuran agensi promosi eksport itu. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diraikan di majlis graduasi ini terdiri daripada 18 buah syarikat Bumiputera dan 18 buah syarikat milik Wanita. Acara tersebut telah dihadiri Pengerusi MATRADE, YB Dato' Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Eksekutif MATRADE Dato' Dzulkifli Mahmud di Menara MATRADE.

Program BWEDP diperkenalkan sejak tahun 2004 untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera dan Wanita supaya menjadi lebih berdaya saing dalam menembusi pasaran antarabangsa. Syarikat-syarikat yang terlibat dalam program ini telah dinilai dari segi keupayaan dan kesediaan eksport, pengurusan syarikat serta kapasiti kewangan. Sejak pelancarannya, sebanyak 287 buah syarikat Bumiputera dan wanita telah menerima manfaat daripada program BEDP dan WEDP. Syarikat-syarikat tersebut adalah daripada pelbagai sektor seperti minyak & gas, ICT, kesihatan, makanan & minuman, bahan binaan, elektrik & elektronik, perkhidmatan, gaya hidup dan lain-lain lagi.

Antara insentif di bawah program ini adalah syarikat berpeluang menyertai pameran perdagangan antarabangsa, menghadiri bengkel latihan eksport anjuran MATRADE secara percuma termasuk berpeluang menghadiri sesi jaringan perniagaan dan perkongsian maklumat perniagaan yang dianjurkan MATRADE dalam usaha membina kebolehan mereka. Sepanjang program bimbingan ini syarikat-syarikat Malaysia di bawah program ini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Oman, Jepun dan Singapura. Selain itu, sebanyak RM 50.78 juta jualan eksport telah dijana syarikat-syarikat yang terlibat dalam program BWEDP sepanjang tahun 2016.

Menurut Pengerusi MATRADE, YB Dato' Dr. Noraini Ahmad, inisiatif ini adalah sejajar dengan kempen Beyond Nations yang telah dirasmikan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Razak pada 1 September 2016 yang lalu. "Sebagai agensi promosi eksport negara, MATRADE menyediakan pelbagai inisiatif dan bimbingan kepada para usahawan terutamanya PKS dalam usaha untuk menjadikan mereka lebih kompetitif dan berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan dalam peringkat antarabangsa," kata beliau.

"Kami berharap selepas menjalani program BWEDP ini syarikat-syarikat yang terlibat akan mampu mengembleng tenaga dan mengorak strategi yang efektif untuk berjaya sebagai seorang pengeksport." kata Dato' Dr. Noraini lagi.