SELASA, 7 MAC, 2017, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangungan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Usahawan Muda ASEAN Malaysia (MAAYE) anjur Program Inkubator Jaguh Eksport ASEAN (IJEA) di Kelantan untuk mengukuhkan pengetahuan perniagaan perusahaan luar bandar di dalam aktiviti eksport.

Program IJEA telah dilancarkan pada Jun tahun lepas di Karnival Usahawan Muda ASEAN yang dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato' Sri Mustapa Mohamed. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kempen Beyond Nations anjuran MATRADE yang bertujuan untuk merakyatkan eksport di kalangan penduduk Malaysia. Kempen Beyond Nations telah dilancarkan pada September 2016 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Program IJEA melibatkan empat fasa iaitu Tadbir Urus Syarikat; Komunikasi, Penjenamaan dan Pemasaran; Pembiayaan dan Kewangan serta Ketahui Eksport. Peserta-peserta di dalam program ini berpeluang mempelajari topik-topik seperti pendaftaran harta intelek, pemasaran digital, penjenamaan, komunikasi antarabangsa, akses pasaran, padanan perniagaan dan banyak lagi. Inisiatif ini bertujuan untuk mempersiapkan usahawan-usahawan di kawasan luar bandar dengan skil dan kebolehan untuk mengeksport ke pasaran antarabangsa.

Dalam edisi pertama Program IJEA ini, usahawan-usahawan dari Gabungan Usahawan Parlimen Jeli (GUPJ) telah dipilih sebagai kumpulan perintis. Usahawan GUPJ ini dipilih berikutan lokasi Jeli yang strategik dan adanya pergerakan aktif dalam aktiviti eksport rentas sempadan. Tambahan, Jeli juga mempunyai kelompok usahawan mikro yang ramai - sekurang-kurangnya 700 pengusaha mikro berstatus Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari sektor pertanian, penternakan, pembuatan, runcit, gaya hidup dan makanan.

MATRADE melalui satu kenyataan berkata Program IJEA adalah seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan PKS ASEAN 2016 yang berfokus kepada inklusiviti dan penglibatan menyeluruh usahawan luar bandar dalam perniagaan antarabangsa. "Dengan teknologi digital, lebih ramai di kalangan komuniti perniagaan Malaysia yang dapat melibatkan diri dalam aktiviti eksport. Walaupun impak dari segi jualan tidak berapa besar, program sebegini memberi kesan yang positif kepada pembangunan sosio ekonomi negara kerana adanya elemen akses pasaran," kata MATRADE di dalam satu kenyataan.

"Program ini akan dapat meningkatkan daya saing dan memupuk kepada pembentukan komuniti perniagaan yang lebih produktif. Inisiatif ini akan mampu meningkatkan kualiti hidup bukan sahaja kepada kehidupan usahawan luar bandar tetapi kepada komuniti perniagaan di kawasan mereka," kata Pengasas MAAYE, Tuan Syed Nabil Al Jeffri. Beliau menambah, Program IJEA ini adalah sesuai untuk dijadikan 'case study' kepada negara-negara ASEAN yang lain.

Program IJEA akan berlangsung sehingga bulan Julai 2017 dan mungkin akan dikembangkan ke kawasan luar bandar yang lain di seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut, emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..