RABU, 15 MAC 2017, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama SIRIM Berhad menganjurkan Sesi Taklimat bertajuk "Ke Arah Pasaran Eksport" hari ini untuk mendedahkan kepada syarikat Malaysia tentang manfaat Pusat Intergrasi Eksport (ICE) serta kepentingan rekabentuk dan pembungkusan untuk pasaran eksport.

ICE yang diperkenalkan MATRADE pada bulan Disember 2014 berfungsi sebagai pusat sehenti untuk syarikat-syarikat tempatan yang sedang mengeksport dan akan mengeksport mendapatkan informasi berkaitan eksport. Bertempat di Tingkat 2, Menara MATRADE, ICE dibuka kepada orang awam pada setiap hari Rabu dan Khamis, dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Antara wakil-wakil agensi yang terlibat di Pusat Integrasi Eksport ini selain daripada MATRADE adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian (MOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SME Corp., Jabatan Kastam Diraja Malaysia, EXIM Bank, SME Bank, SIRIM QAS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF). Dengan penubuhan ICE, syarikat tempatan tidak perlu ke beberapa lokasi untuk mendapatkan akses kepada maklumat penting dalam menjalankan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

"Pusat ini bertujuan untuk menambahbaik sistem penyampaian agensi Kerajaan kepada syarikat-syarikat tempatan terutamanya PKS. Ia berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti khidmat nasihat dan menyeluruh merangkumi maklumat berkaitan insentif kerajaan, perkhidmatan perbankan, logistik serta standard dan pensijilan. Penubuhan ICE di MATRADE ini diharap dapat mengukuhkan pemahaman eksport di kalangan PKS dan secara tidak langsung mambantu mencapai sasaran sumbangan eksport PKS daripada 17.6% kepada 23% menjelang tahun 2020," kata Ir. Dr. Mohd Shahreen.

Di program ini juga, SIRIM Berhad berkongsi maklumat tentang kepentingan mempertingkatkan kualiti produk mereka dari segi rekabentuk, teknik percetakan, keselamatan dan pembungkusan produk untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Sesi taklimat ini dirasmikan YBrs. Ir. Dr. Mohd Shahreen Zainooreen Madros, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM. Antara agensi-agensi yang terlibat dalam menyampaikan taklimat kepada peserta-peserta termasuklah SME Bank, EXIM Bank, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), SME Corp, dan MIDF.

Seramai 70 peserta yang terdiri daripada usahawan-usahawan terlibat di dalam program ini. Peserta-peserta ini telah pun menyertai Program InnoPack anjuran SIRIM dan telah berjaya mempromosikan produk mereka di pasaraya serta telah dikenal pasti bersedia untuk mengeksport.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, program InnoPack ini telah membimbing lebih daripada 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setiap tahun. Pada tahun 2016, seramai 264 usahawan PKS telah menyertai program ini manakala seramai 1,399 usahawan telah menerima latihan dan khidmat nasihat daripada PSDC. Melalui program InnoPack, usahawanusahawan yang terlibat diberikan bantuan dan nasihat daripada SIRIM tentang konsep rekabentuk jenama, aplikasi kesesuaian bahan pembungkusan, rekabentuk grafik, pengujian nutrisi makanan, pendaftaran cap dagangan serta pengeluaran percetakan bahan pembungkusan.

Program yang dianjurkan di Menara MATRADE hari ini merupakan kolaborasi strategik antara agensi-agensi Kerajaan, selari dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada dan berpegang kepada prinsip kos rendah, berimpak tinggi dan pelaksanaan yang pantas.