SELASA, 18 APRIL 2017, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyeru kepada usahawan Bumiputera untuk lebih giat dalam membangunkan perniagaan mereka ke arah eksport. Ini adalah seiring dengan aspirasi untuk mencipta lebih ramai jaguh bisnes dunia dari Malaysia di kalangan usahawan Bumiputera.

Mesej ini disampaikan oleh MATRADE dan TERAJU di sidang akhbar bersempena Pameran Memacu Agenda Bumiputera 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula hari ini.

MATRADE selaku agensi galakan eksport negara mempunyai program khas yang dinamakan Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) yang berfungsi untuk meningkatkan kapasiti syarikat-syarikat Bumiputera dalam eksport. Program bimbingan 3 tahun ini diperkenalkan pada tahun 2004 untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran antarabangsa.

Syarikat-syarikat yang terlibat dalam program ini telah dinilai dari segi keupayaan dan kesediaan eksport, pengurusan syarikat serta kapasiti kewangan. Sejak pelancarannya, sebanyak 299 buah syarikat Bumiputera telah menerima manfaat daripada program BEDP. Syarikat-syarikat tersebut adalah daripada pelbagai sektor seperti minyak & gas, ICT, kesihatan, makanan & minuman, bahan binaan, elektrik & elektronik, perkhidmatan, gaya hidup, animasi dan kreatif industri dan lain-lain lagi.

Syarikat-syarikat Malaysia di bawah program ini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Oman, Jepun dan Singapura. Sebanyak RM53.32 juta jualan eksport telah dijana syarikat-syarikat yang terlibat dalam program BEDP sepanjang tahun 2016.

"Program berimpak tinggi seperti BEDP akan mampu menambah keyakinan syarikat Bumiputera untuk bersaing di peringkat global kerana terdapat elemen fasilitasi khusus dan latihan praktikal. Program ini adalah program khas yang membantu syarikat Bumiputera dari aspek promosi eksport, skil keusahawanan global, kewangan dan sesi bersama mentor," kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir. Dr. Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

"Usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang untuk bersaing di peringkat global tambahan apabila adanya program-program dan insentif daripada kerajaan. Peluang untuk berniaga secara global kini amat besar kerana adanya platform digital. Selain itu, Perjanjian Perdagangan Bebas yang dimeterai juga dapat meluaskan akses syarikat tempatan ke serata dunia. Negara memerlukan lebih ramai pengeksport di kalangan Bumiputera dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam eksport daripada 17.8 peratus kepada 23 peratus menjelang tahun 2020," tambah beliau.

Menurut Dato' Husni Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, "Kita perlu mengubah cara Bumiputera berfikir, bekerja dan bertindak. Kita mahu mendorong "mindset change" di kalangan Bumiputera untuk melihat keperluan dalam membangunkan kapasiti dan bersedia untuk bersaing serta meneroka pasaran global yang lebih luas. Bantuan daripada Kerajaan tidak harus dianggap sebagai hak, malah ia adalah satu batu loncatan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing di kalangan Bumiputera berdasarkan merit."

"Keupayaan dan kualiti tidak boleh dikompromi. Secara keseluruhan, terdapat ramai usahawan Bumiputera yang mempunyai kebolehan dan berpotensi untuk berkembang dalam dan luar negara. Mereka mempunyai keupayaan dan kepakaran, berdaya saing, kehendak untuk berjaya dan kesediaan untuk bekerja keras," katanya lagi.

TERAJU selaku unit strategik di Jabatan Perdana Menteri bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara telah mengenalkan program TERAS pada tahun 2011 untuk membantu membina kapasiti syarikat Bumiputera. Pada tahun 2016, bilangan syarikat yang menyertai Program TERAS telah berkembang kepada 1,014 syarikat (purata pertumbuhan tahun ke tahun 18 peratus) yang purata pendapatan berjumlah RM39.1 bilion (meningkat sebanyak 22 peratus) berbanding tahun 2012 iaitu 300 syarikat dengan jumlah pendapatan purata RM14.4 bilion.

Kebanyakan syarikat TERAS berada di dalam industri perkhidmatan termasuklah sektor pembinaan dan berkaitan, minyak dan gas serta industri perkilangan. Sehingga Mac 2017, 26 peratus syarikat-syarikat TERAS telah mengeksport seluruh dunia. Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura dan Thailand menjadi destinasi utama eksport bagi syarikat TERAS.

Pameran Memacu Agenda Bumiputera 2017 ini berlangsung selama 2 hari bermula hari ini dan mengetengahkan kisah kejayaan inisiatif-inisiatif di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0. Majlis pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 19 April 2017.