ISNIN, 9 JULAI 2018, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil inisiatif untuk menyemarakkan semangat keusahawanan global dalam kalangan usahawan-usahawan Kelantan dengan menganjurkan seminar PKSGlobal@KB pada hari ini.

Seminar ini mengetengahkan topik peluang pasaran global, strategi mengakses pasaran global dan fasilitasi-fasilitasi MATRADE untuk syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kelantan. Inisiatif ini adalah sejajar dengan misi MATRADE sebagai agensi promosi perdagangan Malaysia untuk meningkatkan jumlah pengeksport di Malaysia.

Sesi seminar ini adalah kesinambungan beberapa inisiatif MATRADE sebelum ini di Kelantan untuk memupuk lebih ramai usahawan dari Pantai Timur menjadi jaguh eksport negara. Antara usaha-usaha terdahulu yang dijalankan di Kelantan adalah Srikandi Global @Jeli, Taklimat DFTZ Alibaba dan Seminar Panduan Asas Penghantaran Barangan Bagi Eksport & Halal Logistik. Pengarah Kanan Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital, En Amran Yem berkata usaha untuk mencari bakat-bakat eksport di Kelantan dilakukan berikutan adanya sifat keusahawanan yang tinggi dalam kalangan komuniti Kelantan.

“Bagi seminar kali ini, selain memberi penerangan tentang sokongan-sokongan yang diberi oleh MATRADE kepada usahawan, kami turut menjalankan beberapa sesi perkongsian pengalaman daripada syarikat-syarikat yang berjaya di peringkat global dan pengalaman MATRADE dalam memudahcara ekspedisi eksport syarikat Malaysia. Kami dapati sesi perkongsian sebegini dapat membantu menyampaikan mesej tentang eksport dengan efektif kepada komuniti usahawan di Pantai Timur,” kata beliau.

Sesi turun padang untuk membimbing usahawan tempatan dilihat penting dalam mendekatkan mereka dengan aktiviti mengeksport. Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan sumbangan PKS dalam eksport daripada 18.6 peratus yang dicatat sekarang kepada 23 peratus menjelang tahun 2020.

“MATRADE berharap dengan adanya program seperti ini warga Kelantan akan dapat mendekatkan diri dengan agensi Kerajaan seperti MATRADE. Ramai usahawan mungkin merasa segan untuk berurusan dengan kami memandangkan kami terlibat dalam banyak aktiviti promosi perdagangan di peringkat global. Namun, kini dengan adanya pelbagai laman e-dagang dan Internet berkelajuan tinggi, akses ke pasaran global menjadi lebih mudah. Atas faktor ini, aktiviti eksport kini bukan lagi tertumpu kepada syarikat besar semata-mata,” ujar En Amran.

Selain seminar PKSGlobal@KB ini, MATRADE melalui pejabat Wilayah Timur akan terus mengadakan seminar di beberapa kawasan lain di Pantai Timur antaranya di Kuala Terengganu pada bulan Julai dan September, serta Kuantan pada bulan Ogos.

“Selain itu, kami akan melawat ke beberapa kilang di Pantai Timur yang berpotensi untuk mengeksport dan akan mengenal pasti masalah dan cabaran mereka sebelum memanjangkan bantuan yang diperlukan kepada syarikat-syarikat berkenaan,” kata En Amran.

MATRADE yang diperkenalkan pada tahun 1993 di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyambut ulangtahunnya yang ke-25 tahun ini. Agensi ini menjalankan aktiviti Promosi Eksport dan Pembangunan Pengeksport buat syarikat tempatan dan bertanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perdagangan yang kompetitif.