FORUM PROGRAM IJEA BERI PENDEDAHAN EKSPORT KEPADA USAHAWAN JELI

SABTU, 3 SEPTEMBER, 2016, JELI: Komuniti usahawan Jeli diberi pendedahan eksport  dan keusahawanan di Forum Program Inkubator Jaguh Eksport ASEAN (Program IJEA) anjuran agensi promosi eksport negara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Usahawan Muda ASEAN Malaysia (MAAYE). Acara ini telah dilangsungkan di Pondok Moden, Jeli, Kelantan.

Forum ini diadakan untuk memberi pencerahan tentang persekitaran perniagaan di ASEAN dan kepentingan operasi perniagaan yang berteraskan amalan inovasi, kreatif dan penggunaan teknologi digital untuk berjaya di pasaran eksport. Antara topik yang dibentangkan di forum hari ini adalah Taklimat Pencerahan Program IJEA, Peluang Pembiayaan untuk Usahawan, Program Pembangunan Usahawan Belia, Inovasi dan Kreativiti untuk Keusahawanan, Pasaran Mikro di ASEAN dan Fahami Pasaran ASEAN.

Selain MATRADE dan MAAYE, agensi yang terlibat di dalam forum ini adalah SME Bank, MaGIC, Halal Industry Development Corporation, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

Kemuncak acara ialah sesi bengkel pengenalan Program IJEA yang memberi pendedahan kepada bakal peserta tentang sesi latihan yang akan disampaikan melalui empat topik utama iaitu Tadbir Urus Syarikat; Komunikasi, Penjenamaan dan Pemasaran; Pembiayaan dan Bantuan Kewangan dan Ketahui Eksport.

Program IJEA telah dilancarkan pada 13 Ogos 2016 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed susulan sebuah Memorandum Persefahaman yang ditandatangani MATRADE dan MAAYE di Karnival Usahawan Muda ASEAN. Sebagai program inkubator pertama yang diperkenalkan di Malaysia untuk usahawan luar bandar, Program IJEA meletakkan target untuk mencipta sekurang-kurangnya 10 jaguh eksport ASEAN di kalangan usahawan yang terpilih dalam program ini. Dalam Program IJEA kali pertama ini, usahawan di bawah Gabungan Usahawan Parlimen Jeli atau GUPJ telah diserapkan sebagai kumpulan perintis.

Program ini juga adalah salah satu inisiatif di bawah Kempen Beyond Nations yang dilancarkan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak baru-baru ini dalam usaha untuk merakyatkan eksport.