LEBIHAN DAGANGAN YANG KE-14 TAHUN
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Dato' Sri Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2011 bernilai RM1.269 trilion, meningkat 8.7% berbanding tahun 2010 dan merupakan jumlah perdagangan tertinggi direkodkan setakat ini. Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun 2011 kekal kukuh walaupun pemulihan ekonomi yang perlahan di Amerika Syarikat (AS), ketidaktentuan berikutan krisis hutang di zon Euro, gangguan perdagangan di Asia Barat berikutan pertelingkahan di antara negara-negara Arab, gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh tsunami di Jepun dan banjir di Thailand. Faktor-faktor ini telah memberi kesan kepada perdagangan dunia, dalam pelbagai aspek di kebanyakan negara tahun lepas.
Eksport menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan sebanyak 8.7% kepada RM694.55 bilion bagi tahun 2011 dan import meningkat sebanyak 8.6% kepada RM574.23 bilion. Lebihan dagangan mengembang 9.4% kepada RM120.31 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-14 tahun berturut-turut dicapai sejak tahun 1998. Ini setanding dengan negara-negara maju di rantau ini di mana Singapura dan Republik Korea (ROK) juga telah mencatatkan pencapaian yang sama.
EKSPORT BULAN DISEMBER MENCATATKAN NILAI TERTINGGI
Eksport Malaysia pada bulan Disember 2011 berjumlah RM60.74 bilion, merupakan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Disember. Eksport meningkat 6.1% berbanding tahun lalu.
Import bagi bulan Disember 2011 meningkat 10.4% kepada RM52.43 bilion berbanding RM47.48 bilion pada bulan Disember 2010. Ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan RM2.47 bilion import barang pengantara yang merupakan input penting bagi sektor perkilangan. Bagi tempoh 11 bulan pertama 2011, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang merupakan petunjuk bagi aktiviti perkilangan telah berkembang sebanyak 1.2%.
Jumlah perdagangan bagi Disember 2011 mengembang 8.1% kepada RM113.17 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM8.31 bilion telah dicatatkan.
Berbanding November 2011, eksport pada bulan Disember 2011 meningkat 6.8% manakala import meningkat 10.7%. Jumlah perdagangan mengembang 8.6%.
Peningkatan eksport sebanyak RM3.48 bilion pada Disember 2011 berbanding tahun lalu disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan perkilangan dan komoditi seperti gas cecair asli (LNG), minyak sawit, jentera, perkakasan dan peralatan, barangan getah, petroleum mentah, kimia dan bahan kimia, barangan besi dan keluli serta barangan makanan.








