Laporan Tahunan 2020
Memacu Eksport Dalam Norma Baharu Matlamat Teras MATRADE 103 01 02 03 04 05 Dana Eksport Perkhidmatan (SEF) merupakan bantuan kewangan dalam bentuk pembayaran semula terhadap perbelanjaan yang telah dilakukan oleh syarikat dan juga pinjaman dengan kadar faedah rendah (soft loan) bagi membantu meringankan beban Syarikat Penyedia Perkhidmatan Malaysia (MSPs) untuk mengembangkan eksport dan menjalankan aktiviti-aktiviti penerokaan ke pasaran luar negara. Kelayakan siling bagi setiap syarikat yang memohon geran dan pinjaman mudah adalah berjumlah RM5 juta. Kemudahan SEF bertujuan untuk meningkatkan daya saing, kebolehcapaian dan memperluas peluang eksport bagi MSPs ke pasaran global, serta menjenamakan dan meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai Penyedia Perkhidmatan yang kompeten. Sepanjang tahun 2020, sebanyak 61 sesi program promosi telah dilaksanakan untuk mempromosikan SEF. Sejumlah 83 syarikat dengan 141 projek dan aktiviti telah diluluskan di bawah SEF yang berjumlah RM10.7 juta, meningkat 415% daripada sasaran KPI program, iaitu 20 syarikat setiap tahun. Sementara itu, potensi penjualan eksport yang dijana dari geran SEF yang telah diluluskan pada tahun 2020 ialah RM1.9 bilion. DANA EKSPORT PERKHIDMATAN Antara projek signifikan yang telah diluluskan di bawah SEF ialah kajian kemungkinan (feasibility studies) bagi pelbagai projek, iaitu: • Pelan Induk bagi Mengembangkan Pasaran Kewangan Islam untuk Pusat Kewangan Antarabangsa Astana dan Republik Kazakhstan; • Projek Rintis Berkenaan Penerapan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Pengawasan Wabak Denggi & Ramalan Wabak masa depan di Vientiane, Laos; • Projek Xp Chip untuk kegunaan pelbagai Aplikasi di China; dan • Projek Sistem Telekomunikasi dalam Bidang Pendigitalisasian di Republik Uzbekistan. Di antara pasaran baharu yang ditembusi oleh MSPs adalah Republik Benin, Bahrain, Kuwait, Qatar, Norway, Jerman, India, Sri Lanka, Nepal, Fiji, Laos, dan Timor-Leste. Antara sektor baharu yang diterokai dan dipromosikan oleh MSPs adalah seperti berikut: • Teknologi Kecerdasan Buatan (AI); • Khidmat Nasihat Kewangan Islam dan Syariah; • Kandungan Kreatif dan Perundingan Bakat; • Penyedia Perkhidmatan/ Penyelesaian berkaitan eCommerce; • Telekomunikasi; • Perundingan berkaitan Marin; • Kejuruteraan berkaitan Keretapi; • Perkhidmatan Perlindungan Alam Sekitar; dan • Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan. Untuk perancangan masa hadapan, MATRADE akan terus menggalakkan MSPs untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian geran atau insentif yang diberikan oleh kerajaan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0