Laporan Tahunan 2020

Memacu Eksport Dalam Norma Baharu Organisasi MATRADE 15 01 02 03 04 05 Program eTRADE oleh MATRADE yang dibangunkan pada 2004 juga terus membantu pengeksport Malaysia yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan untuk menjangkau pasaran global menerusi penyenaraian dalam platform eDAGANG tempatan dan antarabangsa. Untuk terus memberikan peluang eksport kepada syarikat Malaysia apabila acara perdagangan fizikal tidak boleh dianjurkan, MATRADE buat julung kalinya telah menganjurkan pameran maya komprehensif iaitu #MyAPEC2020 Exhibition yang berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember. Pameran ini dianjurkan bersempena dengan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020. Sebagai tambahan kepada pameran maya, acara ini juga bertindak sebagai platform perniagaan komprehensif dengan menyediakan pitching perniagaan dalam talian, mesyuarat B2B dan webinar. Menerusi inisiatif ini, pengeksport Malaysia telah berhubung dengan pembeli antarabangsa yang diatur oleh 46 pejabat luar negara MATRADE di seluruh dunia. Seterusnya, acara Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) juga telah beralih ke format digital sepenuhnya pada bulan November, dengan sesi penstriman langsung, perbincangan panel interaktif dan kandungan on-demand oleh pakar industri. KLIABC 2020 terbukti sebagai penyelesaian menyeluruh untuk pemain global yang memerlukan kepakaran serantau dalam bidang aeroangkasa. Program pembangunan pengeksport MATRADE juga berteraskan platform digital di mana webinar telah dianjurkan untuk menggantikan seminar konvensional. Sepanjang 2020, pelbagai webinar dianjurkan dengan usaha sama pejabat luar negeri dan rakan niaga termasuk Asian Development Bank (ADB), Pusat Pembangunan Perdagangan Islam (ICDT), The Star, eBay dan McKinsey & Co. Topik yang dibincangkan merangkumi maklumat pasaran yang terkini, strategi promosi perdagangan, pengurusan rantaian bekalan dan kesan COVID-19 kepada kelangsungan perniagaan. Hari Eksport Kebangsaan, iaitu acara perdagangan utama untuk para pengeksport, turut ditukar ke format maya dengan gelaran eNED2020. Program dalam talian selama tiga hari yang merangkumi perbincangan tahap tinggi, perkongsian pengetahuan dan dialog perdagangan ini telah menghimpunkan lebih dari 2,000 peserta dari serata dunia. Minat yang tinggi terhadap eNED ini adalah bukti bahawa syarikat-syarikat cenderung meneruskan perniagaan eksport meskipun menghadapi masalah penutupan sempadan. Laporan risikan pasaran yang disediakan oleh pejabat luar negara turut disalurkan menerusi MyExport, satu aplikasi dalam talian khusus bagi syarikat Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE. Aplikasi MyExport telah diperkenalkan sebelum bermulanya pandemik, memandangkan platform digital merupakan tunjang utama bagi organisasi memberikan perkhidmatannya kepada pelanggan. Laporan yang disalurkan melalui MyExport memastikan syarikat memperolehi maklumat terkini mengenai pasaran, peluang eksport dan polisi perdagangan. MyExport telah meraih anugerah tempat ketiga bagi Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik di acara 2020 World Trade Promotion Awards di Geneva anjuran International Trade Centre (ITC). Anugerah ini merupakan testimoni terhadap usaha MATRADE yang memanfaatkan platform digital bagi menyampaikan maklumat terkini kepada syarikat, terutamanya ketika dilanda pandemik. Sebagai tambahan, laporan risikan pasaran turut dikongsi bersama persatuan perdagangan dan agensi untuk disebarkan kepada ahli- ahli mereka.

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0