Laporan Tahunan 2020
MATRADE Laporan Tahunan 2020 16 Bagi meneruskan hubungan dengan pelanggan luar negara, MATRADE menerbitkan e-majalah setiap suku tahun iaitu Exclusive from Malaysia (EFM) untuk memaparkan produk dan perkhidmatan Malaysia yang inovatif, unik serta mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara. Sektor-sektor yang dipaparkan dalam penerbitan 2020 merangkumi pembinaan, perkhidmatan perniagaan dan peralatan pembinaan, makanan dan minuman, peralatan perubatan dan farmaseutikal serta mesin, peralatan dan peranti. Menyedari perlunya meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh PKS, MATRADE telah meluaskan skop Geran Pembangunan Pasaran (MDG) untuk meliputi kos penyertaan di dalam acara perdagangan maya serta pembatalan atau penundaan acara promosi perdagangan ekoran daripada sekatan perjalanan. Sebagai tambahan, MDG juga menawarkan bantuan bagi kos logistik yang melambung akibat pandemik. Pada 2020, MATRADE telah meneruskan program pembangunan bersasar bagi mengukuhkan daya saing syarikat untuk menembusi pasaran antarabangsa. Inisiatif ini merangkumi Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) dan Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWYEDP). MATRADE juga telah meneruskan agenda kelestariannya melalui program Nilai Kelestarian Untuk Pengeksport (S.A.V.E), bagi menggalakkan dan berkongsi nilai-nilai kelestarian syarikat dalam perniagaan. Program ini adalah selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) oleh Bangsa Bangsa Bersatu yang bermatlamat memastikan pengeksport Malaysia kekal relevan di dalam rantaian bekalan global. S.A.V.E berfokus terhadap inisiatif membina kapasiti untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengeksport terhadap kelestarian di dalam perniagaan. Menyedari pentingnya eksport terhadap ekonomi Malaysia, pada tahun 2020, MATRADE telah memulakan suatu kajian untuk membangunkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional yang pertama dengan menggariskan keutamaan strategik bagi meningkatkan daya saing eksport negara bagi tempoh 2021-2025. Pelaksanaan Rangka Tindakan ini akan melibatkan usaha kolaboratif dan komitmen yang utuh dari pelbagai pihak yang berkepentingan dalam ekosistem eksport termasuk Kementerian, agensi dan sektor swasta. Khususnya, ia mensasarkan bidang yang menjadi perhatian iaitu penyelidikan, pembangunan dan inovasi, teknologi, sumber manusia, pembiayaan, peraturan, pensijilan, promosi dan penjenamaan. Rangka Tindakan ini dijangka melonjakkan daya saing perdagangan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport terkemuka. Secara keseluruhan, matlamat utama MATRADE pada tahun 2020 adalah memastikan bahawa komuniti eksport Malaysia kekal terhubung dengan klien luar negara dan mendapat maklumat terkini mengenai trend global semasa, di samping mengekalkan perniagaan eksport walaupun menghadapi kos perniagaan yang kian meningkat. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan, terutama sekali Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas kerjasama yang diberikan sepanjang tahun 2020. Penghargaan juga ditujukan kepada Lembaga Pengarah dan seluruh warga MATRADE. Terima kasih. DATO’ WAN LATIFF WAN MUSA Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0