47 Matlamat Teras MATRADE Laporan Tahunan MATRADE 2022 Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (YBMK), YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah dilaksanakan dari 9 - 18 Mei 2022. Tujuan utama misi ini adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala di antara Malaysia dan AS dengan membincangkan perkara berikut: 1. Kerjasama mengenai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG); dan 2. isu berkenaan rantaian bekalan serta sektor-sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan. Ini selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations – NIA) yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan melibatkan teknologi terkini. Semasa misi tersebut, YBMK juga telah mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama rakan-rakan sejawatan beliau seperti: 1. Puan Yang Terutama (PYT) Gina M. Raimondo, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat; 2. PYT Katherine Tai, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat; dan 3. Tuan Yang Terutama (TYT) Muhammad Lutfi, Menteri Perdagangan Republik Indonesia. Ia melibatkan sesi pertukaran pandangan dan penerokaan peluang kerjasama dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (Indo-Pacific Economic Framework - IPEF), daya tahan rantaian bekalan global, isu perburuhan dan pembangunan industri. Perbincangan turut menyifatkan Malaysia sebagai negara yang strategik bagi keberadaan Amerika Syarikat di rantau ASEAN dan Asia Pasifik. Semasa pertemuan antara YBMK dan PYT Gina M. Raimondo, mereka juga telah mempengerusikan satu mesyuarat meja bulat yang disertai oleh pemain-pemain industri semikonduktor di Amerika Syarikat bagi membincangkan peluang-peluang pelaburan di Malaysia. Mesyuarat ini penting bagi meningkatkan komitmen syarikat dan pembeli berpotensi untuk produk dan perkhidmatan dari Malaysia. Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat Amerika Syarikat (Washington DC, San Francisco, Seattle and Los Angeles) 9 - 18 Mei 2022 MATRADE juga telah mengaturkan pertemuan secara bersemuka (one-on-one) dengan empat (4) syarikat pengimport. Pertemuan ini adalah bagi meningkatkan jumlah perdagangan dalam industri termasuk sektor tenaga hijau (panel solar), sektor gaya hidup (perabot berasaskan kayu) dan produk berasaskan getah (sarung tangan pakai buang untuk pemeriksaan dan pembedahan). Hasil pertemuan ini menyaksikan komitmen syarikat pengimport untuk meningkatkan kuantiti permintaan pada masa hadapan serta meluaskan jangkauan penyumberan produk dan perkhidmatan mereka kepada syarikat-syarikat pembekal lain dari Malaysia. Selain itu, satu Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan Semikonduktor telah ditandatangani semasa TIM tersebut. Ia bertujuan bagi mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang berdaya tahan, selamat dan lestari. Memorandum ini turut dilihat sebagai pengiktirafan Amerika Syarikat kepada Malaysia sebagai pemain industri semikonduktor utama di dunia yang komited dengan jaminan keselamatan, kestabilan dan peningkatan ketelusan bekalan rantaian di peringkat global. TIM ini berjaya dilaksanakan dengan mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) dan panduan ditetapkan oleh negara yang dilawati. Program ini juga dilihat sebagai faktor pemangkin bagi mengukuhkan keyakinan komuniti perniagaan di Amerika Syarikat terhadap keupayaan Malaysia dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan secara dua hala. Pencapaian misi ini membuktikan Malaysia kekal sebagai rakan dagang yang kompetitif dan destinasi pelaburan dinamik bagi Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara serta Asia Pasifik.
RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0