Laporan Tahunan MATRADE 2022

74 KE ARAH MASA DEPAN EKSPORT MAMPAN Program Latihan Pengeksport MATRADE menawarkan latihan berorientasikan eksport kepada syarikat Malaysia yang telah bersedia untuk mengeksport supaya lebih berdaya saing dan mampan untuk menerokai dan meluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan ke peringkat global. Sepanjang tahun 2022, sebanyak 47 program latihan telah diadakan melalui webinar, seminar dan bengkel atas talian. Sebanyak 24 program telah dilaksanakan berkaitan penerokaan pasaran antarabangsa dan sesi perkongsian pengalaman bersama Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE kepada pengeksport Malaysia khususnya untuk pasaran ASEAN, China dan Asia Timur, Timur Tengah, Afrika, Asia Barat, Amerika dan Eropah. Sejumlah 17 program pula yang berkaitan dengan peluang pasaran bagi sektor produk dan perkhidmatan yang berpotensi seperti perkhidmatan profesional, pembinaan dan pendigitalan. Sebanyak enam program latihan berkaitan topik asas pengeksportan turut diadakan antaranya pelabelan, pembungkusan, penjenamaan, pensijilan, kemudahan pembiayaan perniagaan daripada bank tempatan termasuk geran yang disediakan oleh MATRADE. Sebanyak 6,046 buah syarikat telah menyertai programprogram latihan ini. MATRADE turut bekerjasama dengan syarikat teknologi multinasional antarabangsa, penyedia platform e-Dagang, agensi kerajaan, perkhidmatan professional, persatuan perdagangan, institusi kewangan dan perbankan, dalam menjayakan program latihan tersebut. Antara yang terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Bank Exim, Bank Islam, Affin Bank Berhad, Dagang Net Technologies Sdn Bhd, Digital Perak Corporation Holdings, Shorages Fullfillment Centre Dubai dan Tadeling Group. Selain itu, bagi memastikan kelangsungan pembelajaran untuk tidak hanya bergantung kepada latihan secara fizikal, MATRADE telah melancarkan satu platform pembelajaran secara maya iaitu MATRADE Digital Learning (MDL). Platform ini telah dilancarkan pada 8 September 2022 oleh bekas YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Pavilion MITI dan MATRADE sempena MIHAS 2022. MDL merupakan salah satu usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama MATRADE untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengeksport secara holistik kepada syarikat Malaysia termasuklah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Platform ini mengandungi 13 modul praktikal dan MATRADE juga telah berkolaborasi dengan Google Malaysia dalam salah satu modulnya. Exporters Training Programme 2022 Matlamat 5 LATIHAN PENGEKSPORT

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0