Membina Kemajuan Eksport Demi Rakyat dan Negara 69 Latihan Pengeksport 5Matlamat Memperkasa Syarikat Malaysia Demi Kejayaan Global Program Latihan Pengeksport MATRADE memainkan peranan penting dalam membentuk, membangunkan dan memperkasakan syarikat Malaysia untuk bersedia menembusi pasaran antarabangsa. Dengan tumpuan kepada persediaan eksport, penerokaan pasaran berpotensi dan penambahbaikan sektor strategik, pelaksanaan program latihan pengeksport membantu syarikat tempatan untuk kekal berdaya saing di peringkat global. MATRADE komited untuk memperkukuh kesediaan eksport PMKS serta meningkatkan kesedaran dan potensi pengeksport dengan menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan dan peluang perniagaan di peringkat global. Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan bilangan syarikat Malaysia yang mampu menawarkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia, menepati piawaian negara pengimport serta bersedia untuk ke pasaran antarabangsa. Sepanjang tahun 2024, MATRADE telah menganjurkan 46 program latihan pengeksport melalui sesi webinar dan bengkel fizikal. Sesi ini merangkumi 15 program mengenai akses pasaran antarabangsa dengan kerjasama pejabat Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, kisah kejayaan oleh pengeksport Malaysia serta panduan langsung berkaitan strategi pasaran merentasi pelbagai rantau. Selain itu, 14 program telah dilaksanakan berkaitan penerokaan peluang pasaran dalam sektor tertentu seperti perkhidmatan profesional, pembinaan, pendigitalan (platform e-Dagang dan alat digital berkaitan eksport). Manakala, 17 program merangkumi topik penting seperti persediaan eksport, pensijilan dan pelabelan, FTA dan ESG. Sesi latihan interaktif ini telah memberi manfaat kepada 2,882 syarikat Malaysia dan disertai seramai 5,302 peserta. Program berimpak tinggi ini telah berjaya melatih 407 syarikat Bumiputra, 503 syarikat Wanita dan 286 syarikat Belia. MATRADE turut memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, persatuan perdagangan, syarikat multinasional, platform e-Dagang, institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan profesional. Antaranya termasuk SIRIM, Kastam Diraja Malaysia, Dagang Net Technologies, FedEx, DHL Express, Malaysia Exporters Association (MEXPA) dan SME Bank. Melalui sinergi ini, program latihan pengeksport terus menjadi platform strategik untuk syarikat-syarikat Malaysia mempersiapkan diri menghadapi cabaran dan peluang dalam landskap perdagangan global yang sentiasa berubah. Bermula 1 April 2024, yuran penyertaan telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha penjanaan hasil bagi menyokong kelestarian inisiatif ini, selari dengan penambahan nilai pada kandungan strategik dalam program latihan pengeksport MATRADE. MATRADE Digital Learning (MDL) adalah antara satu daripada usaha MITI dan MATRADE untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengeksport secara holistik kepada syarikat-syarikat Malaysia khususnya PMKS. MDL yang terdiri daripada 13 modul praktikal kini telah dilanggan oleh lebih daripada 708 individu pada tahun 2024.
RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0