Laporan Tahunan & Penyata Kewangan (LTPK) MATRADE 2024

Laporan Tahunan MATRADE 2024 96 Portal MATRADE: Platform Digital untuk Memperkasa Pengeksport Malaysia Mengukuh dan Mengembangkan Aplikasi Portal rasmi MATRADE berperanan sebagai pusat maklumat dan penyampaian perkhidmatan yang menyokong usaha promosi perdagangan antarabangsa. Portal ini menyediakan pelbagai sumber seperti peluang eksport, maklumat perdagangan, program promosi serta perkhidmatan khidmat nasihat kepada syarikat tempatan. Sepanjang tahun 2024, portal ini telah mencatat lebih daripada 370,000 pelawat unik dan 1.8 juta paparan halaman, menjadikannya medium digital utama dalam menyampaikan maklumat perdagangan. Berdasarkan statistik tahun 2024, halaman Market Development Grant paling banyak dilawati dengan jumlah pelawat seramai 57,663, diikuti oleh halaman Malaysia Products/Services Directory, Tariff Code References, Laporan Tahunan dan halaman pendaftaran sebagai ahli MATRADE. Singapura mencatatkan jumlah pelawat luar negara tertinggi ke portal MATRADE, diikuti oleh Indonesia, India, RRC, Jepun, Hong Kong SAR, AS, United Kingdom dan Türkiye. Memacu Teknologi Maklumat MATRADE menitikberatkan penyediaan ekosistem digital yang efektif dan efisien dalam meningkatkan keupayaan perkhidmatan digital kepada komuniti perniagaan dan warganya. Inisiatif strategik dalam usaha mengukuhkan prestasi serta memperluaskan fungsi aplikasi sedia ada diteruskan demi menyokong kecekapan operasi MATRADE. Penekanan diberikan kepada penambahbaikan sistem, peningkatan kebolehgunaan, serta pembangunan modul-modul baharu yang relevan dengan keperluan semasa. Pada tahun 2024, penggunaan Sistem Customer Relationship Management (CRM) telah diperluaskan kepada Pejabat Perdagangan Luar Negara MATRADE melalui modul baharu Foreign Customer untuk merekodkan maklumat pembeli luar negara yang ingin mendapatkan produk dan perkhidmatan Malaysia. Modul ini mempunyai fungsi paparan rekod pelanggan asing, penjejakan dan pelaporan yang ditambah baik. Sistem ini juga merekod maklumat tambahan seperti profil syarikat dan senarai penglibatan pelanggan dengan MATRADE. Selain itu, sistem IT Support juga telah dibangunkan semula dengan penambahbaikan dari segi fungsi dan antaramuka. Ia merupakan aplikasi berasaskan web yang membolehkan warga MATRADE melaporkan sebarang isu atau memohon bantuan berkaitan IT melalui pelbagai saluran, termasuk laman web, e-mel dan panggilan telefon. Sistem ini turut dilengkapi dengan ciri pengesahan status secara masa nyata (real-time acknowledgement), yang membolehkan pengguna mengetahui status terkini aduan mereka. Di samping itu, satu modul knowledge base turut disediakan untuk merekod kaedah penyelesaian bagi isu-isu tertentu. Maklumat ini boleh dirujuk semula oleh pengguna lain pada masa akan datang, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sokongan teknikal bagi masalah yang berulang. Kedua-dua sistem ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemugaran sistem aplikasi yang dirancang dalam Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MATRADE 2022-2026. Penyelenggaraan sistem aplikasi kritikal juga diteruskan bagi memastikan kestabilan sistem supaya dapat beroperasi secara optimum, bersesuaian dengan perubahan dasar dan keperluan MATRADE. Usaha-usaha ini telah memberi impak positif kepada kualiti perkhidmatan digital MATRADE kepada warga pengguna dalaman dan luaran.

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0