Pertumbuhan Kukuh Dua Digit bagi Perdagangan, Eksport dan Import pada Ogos 2024
Pertumbuhan Tahun ke Tahun Perdagangan Terpantas Dalam Tempoh 22 Bulan, Prestasi Kukuh Eksport Disumbangkan oleh E&E dan Barangan Berasaskan Minyak Sawit
Pada Ogos 2024, perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi memberangsangkan dan terus merekodkan trajektori peningkatan dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit. Perdagangan meningkat 18.6% tahun ke tahun, kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan mencecah nilai RM252.65 bilion. Eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1% kepada RM129.16 bilion dan import mengembang sebanyak 26.2% kepada RM123.49 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Pertumbuhan eksport pada Ogos 2024 telah dipacu terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Selain daripada itu, eksport barangan perkilangan mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan. Eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16% pada tahun 2024 disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih kukuh.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini, meningkat 10.9% kepada RM1.905 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport naik 6% kepada RM991.36 bilion dan import mengembang sebanyak 16.8% kepada RM913.18 bilion, menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 bilion.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global sebanyak 3.2% pada tahun 2024, pada masa yang sama menekankan mengenai risiko inflasi yang mungkin berlaku dan ketegangan perdagangan yang berterusan. Bagi Malaysia, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada tahun 2024, menggambarkan prospek ekonomi yang stabil. Ini adalah dilihat konsisten dengan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1% pada separuh tahun pertama (1H) 2024 yang melebihi pertumbuhan 4.1% dicatatkan pada 1H 2023. Di sebalik perkembangan positif ini, MITI dan agensinya akan terus memberikan perhatian untuk menangani sebarang cabaran atau gangguan global yang berkemungkinan akan berlaku agar Malaysia dapat mengekalkan momentum ekonominya.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Rekod Pertumbuhan Kukuh Eksport
Pada Ogos 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.8% daripada jumlah eksport mengembang sebanyak 14.1% kepada RM112.08 bilion, merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keenam bulan berturut-turut. Peningkatan ini disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik.
Eksport keluaran pertanian (7.1% syer) meningkat 19.4% kepada RM9.14 bilion, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut. Ini disumbangkan oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, dipacu oleh pertambahan kuantiti dan harga eksport.
Sementara itu, eksport hasil galian (5.6% syer) mengurang 16.1% tahun ke tahun kepada RM7.21 bilion berikutan penyusutan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG) berikutan penurunan kuantiti dan harga eksport.
Barangan eksport utama pada Ogos 2024:
• Barangan E&E, bernilai RM50.43 bilion dan merangkumi 39% daripada jumlah eksport, meningkat 16.5% berbanding Ogos 2023;
• Keluaran petroleum, RM11.04 bilion, 8.5% daripada jumlah eksport, ↓11.2%;
• Kimia dan bahan kimia, RM6.81 bilion, 5.3% daripada jumlah eksport, ↑13.7%;
• Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.67 bilion, 5.2% daripada jumlah eksport, ↑18.9%; dan
• Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.02 bilion, 4.7% daripada jumlah eksport, ↑21.2%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing menurun sebanyak 0.002%, 9.1% dan 10.3%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, eksport barangan perkilangan mengembang 6% kepada RM847.83 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, disokong oleh eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik, barangan makanan diproses, barangan besi dan keluli serta barangan E&E. Eksport hasil galian meningkat 1.7% kepada RM70.06 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport petroleum mentah. Sementara itu, eksport keluaran pertanian naik 9.3% kepada RM66.87 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Ogos 2024, rakan dagang utama Malaysia adalah ASEAN, China, AS, EU dan Taiwan, merangkumi 69.8% syer daripada jumlah perdagangan Malaysia.
ASEAN – Eksport Meningkat Secara Konsisten sejak April 2024
Pada Ogos 2024, perdagangan dengan ASEAN yang menyumbang 25.5% kepada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 8.7% tahun ke tahun kepada RM64.45 bilion, pertumbuhan yang keenam bulan berturut-turut. Eksport meningkat sejak April 2024, naik sebanyak 8.2% kepada RM36.05 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN naik 9.3% kepada RM28.4 bilion.
Pecahan Eksport ke Negara ASEAN:
• Singapura RM18.88 bilion, meningkat 12.4%, tahun ke tahun;
• Indonesia RM5.52 bilion, ↑38.2%;
• Thailand RM4.58 bilion, ↑2.1%;
• Viet Nam RM3.84 bilion, ↓11.7%;
• Filipina RM2.46 bilion, ↓14.7%;
• Brunei RM445.3 juta, ↑4.5%;
• Kemboja RM182.5 juta, ↑8.7%;
• Myanmar RM147.9 juta, ↓27.8%; dan
• Lao PDR RM4.2 juta, ↓75.4%.
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan adalah Singapura yang meningkat RM2.08 bilion tahun ke tahun disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E, Indonesia (↑RM1.53 bilion, keluaran petroleum) dan Thailand, (↑RM93 juta, barangan besi dan keluli).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 9.3%, 10.1% dan 8.2%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan ASEAN meningkat 8.4% kepada RM515.44 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau ini mengembang 6.2% kepada RM296.06 bilion dipacu oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Import dari ASEAN bertambah sebanyak 11.6% kepada RM219.38 bilion.
China – Eksport Pulih pada Ogos
Pada Ogos 2024, perdagangan dengan China yang mewakili 16.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 17.4% tahun ke tahun kepada RM41.95 bilion. Ini merupakan pertumbuhan dua digit yang kelima bulan berturut-turut dan pertumbuhan terpantas direkodkan sejak September 2022. Eksport meningkat sebanyak 4.8% kepada RM15.52 bilion, setelah mencatatkan penyusutan tahun ke tahun bagi dua bulan berturut-turut disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan keluaran getah. Import dari China mengembang 26.3% kepada RM26.44 bilion.
Berbanding Julai 2024, perdagangan dan eksport masing-masing naik 0.6% dan 5.1%, manakala import menguncup 1.9%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan China meningkat 10.5% kepada RM317.74 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport jatuh 1.8% kepada RM120.98 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport barangan E&E serta bijih logam dan serpihan logam. Meskipun mengalami penyusutan, kenaikan eksport telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, barangan perkilangan logam dan LNG. Import dari China meningkat 19.7% kepada RM196.77 bilion.
AS – Nilai Perdagangan dan Eksport Tertinggi Direkod Setakat ini
Perdagangan dengan AS pada Ogos 2024 yang merangkumi 13.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia merekodkan nilai tertinggi setakat ini, melonjak 69.7% tahun ke tahun kepada RM35.09 bilion. Eksport terus mencatatkan peningkatan dua digit tahun ke tahun sebanyak 45.4% kepada RM19.64 bilion, jumlah tertinggi dicatatkan dan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelapan bulan berturut-turut. Kenaikan ini disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari AS melonjak 115.7% kepada RM15.44 bilion.
Berbanding Julai 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 10.5%, 10.4% dan 10.5%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan AS naik 29.4% kepada RM207.38 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport terus mencatatkan peningkatan dua digit tahun ke tahun sebanyak 18.8% kepada RM124.34 bilion disokong oleh permintaan kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS meningkat 49.4% kepada RM83.03 bilion.
EU – Pertumbuhan Kukuh bagi Perdagangan, Eksport dan Import
Pada Ogos 2024, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 10.6% tahun ke tahun kepada RM19.35 bilion. Eksport mengembang 8.6% kepada RM10.39 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, keluaran getah serta keluaran petroleum. Import dari EU meningkat 13.1% kepada RM8.95 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
• Jerman RM2.95 bilion, meningkat 19%, tahun ke tahun;
• Belanda RM2.87 bilion, ↓10.8%;
• Sepanyol RM807.8 juta, ↑52.6%;
• Belgium RM759.7 juta, ↓5.9%;
• Perancis RM604.0 juta, ↑16.1%;
• Itali RM471.0 juta, ↓21.1%;
• Hungary RM359.1 juta, ↑175.0%;
• Poland RM300.7 juta, ↑34.7%;
• Republik Czech RM255.4 juta, ↑32.4%; dan
• Sweden RM168.9 juta, ↑45.6%.
Antara pasaran utama EU yang merekodkan pertumbuhan dua digit adalah Jerman yang meningkat sebanyak RM470.3 juta dan Perancis, naik sebanyak RM83.7 juta masing-masing disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E manakala eksport ke Sepanyol meningkat RM278.4 juta berikutan pertambahan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport naik sebanyak 1.1% manakala perdagangan dan import masing-masing menurun 2.3% dan 6%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan EU bertambah 6.6% kepada RM145.21 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport meningkat 2.9% kepada RM76.75 bilion disumbangkan oleh kenaikan permintaan bagi minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, keluaran getah, barangan makanan diproses serta barangan E&E. Import dari EU mengembang sebanyak 11.1% kepada RM68.46 bilion.
Taiwan – Eksport Catat Pertumbuhan Ketara sejak Januari 2024
Pada Ogos 2024, perdagangan dengan Taiwan yang menyerap 6.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 52.3% kepada RM15.54 bilion berbanding Ogos 2023. Eksport melonjak 75.1% kepada RM5.46 bilion, pertumbuhan dua digit yang kelapan bulan berturut-turut sejak Januari 2024 disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia. Import dari Taiwan mengembang 42.2% kepada RM10.08 bilion.
Berbanding Julai 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 1.1%, 2.6% dan 0.3%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan Taiwan meningkat 37.1% kepada RM113.8 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport melonjak 49.1% kepada RM41.63 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG. Import dari Taiwan mengembang sebanyak 31% kepada RM72.16 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Ogos 2024, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 62.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 9.7% tahun ke tahun kepada RM157.73 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 5.1% kepada RM83.57 bilion manakala import meningkat 15.4% kepada RM74.16 bilion.
Pasaran yang merekodkan pertumbuhan eksport adalah Hong Kong SAR yang mengembang sebanyak 11.7% tahun ke tahun kepada RM7.03 bilion dan Kanada, melonjak 119.5% kepada RM782.7 juta berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke India naik 3.1% kepada RM4.01 bilion, Australia (↑10.1% kepada RM4.73 bilion) dan Chile (↑39.5% kepada RM81.1 juta) disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum.
Sementara itu, eksport ke Mexico mengembang 19.2% kepada RM1.46 bilion disumbangkan oleh pertambahan permintaan bagi barangan besi dan keluli, Pakistan (↑5.6% kepada RM434.2 juta, kimia dan bahan kimia) dan Peru (↑61.3% kepada RM68.2 juta, barangan makanan diproses).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 4.2%, 4.9% dan 3.4%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA naik 7.1% kepada RM1.244 trilion, eksport meningkat 2.6% kepada RM672.18 bilion dan import bertambah 12.9% kepada RM572.31 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Prestasi Import
Jumlah import pada Ogos 2024 meningkat 26.2% tahun ke tahun kepada RM123.49 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 79% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
• Barangan perantaraan, bernilai RM72.29 bilion atau 58.5% daripada jumlah import, melonjak 40.4% tahun ke tahun, disumbangkan oleh kenaikan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
• Barangan modal, bernilai RM14.95 bilion atau 12.1% daripada jumlah import, mengembang 39.6%, berikutan kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
• Barangan penggunaan, bernilai RM10.34 bilion atau 8.4% daripada jumlah import, mengembang sebanyak 21.2%, hasil pertambahan import barangan tahan lama.
Berbanding Julai 2024, import pada Ogos 2024 menurun 1%. Import barangan perantaraan naik 4.5% manakala import barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing menurun sebanyak 1% dan 5.8%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2024, import naik sebanyak 16.8% kepada RM913.18 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan perantaraan mengembang 26.1% kepada RM503.15 bilion, barangan modal (↑36.9% kepada RM107 bilion) dan barangan penggunaan (↑17.3% kepada RM78.64 bilion).