MATRADE SARAN SELEBRITI MALAYSIA BERUSAHAMA SEBAGAI SATU KONGLOMERAT UNTUK MENGEKSPORT

ISNIN, 15 OGOS, 2016, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyaran agar selebriti Malaysia yang terlibat dalam bidang perniagaan untuk memulakan langkah dalam aktiviti eksport untuk mengembangkan perniagaan mereka secara global. Dalam menyokong inisiatif ini, agensi promosi eksport Malaysia ini telah memperkenalkan satu kempen yang dipanggil CelebExport – iaitu satu kempen pengukuhan penjenamaan eksport di kalangan artis tempatan.

Kempen ini juga adalah satu usaha untuk menggalakkan selebriti Malaysia mengeksport sebagai satu konglomerat. Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Dato’ Dzulkifli Mahmud berkata pendekatan ini akan mampu memberi lebih peluang kepada selebriti Malaysia untuk Berjaya dalam eksport kerana mereka bergerak secara berkumpulan (konglomerat).

“Malaysia mempunyai ramai selebriti yang terlibat dalam bidang perniagaan namun kebanyakannya berfokus kepada pasaran domestik. Terdapat banyak peluang di luar sana contohnya di pasaran ASEAN yang mempunyai 633 juta orang dan pasaran TPP yang mempunyai populasi 800 juta orang. Selebriti Malaysia perlu mengambil peluang yang terbuka luas ini (dengan mengeksport) yang pastinya akan menjanjikan pulangan yang besar buat mereka,”

“Negara kita adalah amat kompetitif dalam bidang eksport. Pada masa ini Malaysia berada di kedudukan negara pengeksport ke-23 terbesar di dunia. Kita sudah pun mengeksport ke lebih 200 negara di seluruh dunia dan komuniti selebriti tempatan boleh menjadi sebahagian daripada rantaian penyumberan global ini,” kata Dato’ Dzulkifli.

Sidang media kempen CelebExport yang diadakan di Menara MATRADE hari ini telah dihadiri bintang terkenal negara Neelofa yang memiliki jenama, Naelofar Hijab. Jenama ini sudah pun menembusi 37 negara antaranya Singapura, Brunei, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Saudi Arabia, Perancis, Norway dan Emiriah Arab Bersatu.

“Melalui bantuan MATRADE, kami mulai faham perkara-perkara seperti akses ke pasaran, maklumat risikan pasaran, peluang kerjasama global serta kepentingan mewujudkan model perniagaan yang ideal dalam mengembangkan operasi perniagaan,” kata Neelofa yang juga Pengarah Naelofar Hijab.

“Saya amat menggalakkan artis tempatan yang lain untuk turut mempelajari eksport dan segera mengambil peluang eksport yang ada buat mereka di luar sana. MATRADE boleh membantu membimbing mereka dalam menjadi pengeksport yang berjaya,” tambah beliau. Syarikat Neelofa juga adalah peserta Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) anjuran MATRADE. Melalui MTCDP, syarikat ini diberi bimbingan yang pragmatik dan khusus dalam memastikan jenama mereka dapat memasuki pasaran global. Setakat ini, jualan eksport mereka dilaporkan mencecah RM5 juta di mana RM2.1 juta adalah daripada perniagaan atas laman (online) dan RM2.9juta melalui perkhidmatan stokis.

Melalui kempen ini, selebriti Malaysia dijemput untuk ke mendapatkan konsultasi secara percuma di Pusat Integrasi Eksport atau Pusat Khidmat Pelanggan MATRADE yang terletak di Aras 2, Menara MATRADE di Kuala Lumpur. Pusat Integrasi Eksport ini dibuka setiap Rabu dan Khamis manakala Pusat Khidmat Pelanggan dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

“Kami mengharapkan penyertaan yang lebih baik dalam eksport di kalangan selebriti Malaysia. Penglibatan mereka tentunya akan mendorong syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang lain akan turut serta dalam bidang eksport. Ini adalah amat penting untuk meningkatkan sumbangan eksport PKS daripada 17% kepada 23 %menjelang 2020,” kata Dato’ Dzulkifli.

Malaysia mempunyai kepakaran dalam pelbagai industri seperti elektikal dan elektronik; peralatan perubatan; farmaseutikal; minyak dan gas; ICT; makanan dan minuman; perbankan Islam; kandungan kreatif dan multimedia dan banyak lagi. Sejajar dengan pendekatan Majlis Eksport Negara, MATRADE akan terus memacu perkembangan eksport negara untuk menjadi lebih mampan. Antara pendekatan yang diambil adalah untuk mewujudkan lebih ramai jaguh eksport dari Malaysia yang secara tidak langsung akan memastikan negara mempunyai kapasiti eksport yang cukup.

Jumlah perdagangan Malaysia pada separuh pertama 2016 telah berkembang 1.3% kepada RM704 bilion, daripada RM694.98 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama tahun lepas. Pengembangan ini disokong perdagangan dengan Amerika Syarikat, ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU), Bangladesh, Turki dan Mexico.

Pada tempoh tersebut, eksport meningkat 1.2% atau RM4.56 bilion kepada RM372.9 bilion dan import naik 1.4% atau RM4.46 bilion kepada RM331.11 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM41.79 bilion telah direkodkan pada separuh pertama 2016 berbanding RM41.69 bilion yang dicatatkan di durasi yang sama pada 2015.

Prestasi lebih baik yang direkodkan pada separuh pertama 2016 telah disumbang sebahagiannya oleh pertumbuhan perdagangan pada bulan Jun 2016 yang meningkat sebanyak 5.7% tahun ke tahun kepada RM127.38 bilion. Eksport pada bulan Jun 2016 pulih dengan catatan pertumbuhan 3.4% kepada RM66.45 bilion, setelah merekodkan pertumbuhan negatif pada Mei 2016. Import meningkat sebanyak 8.3% atau RM4.65 bilion kepada RM60.93 bilion.

Lebihan dagangan pada bulan Jun 2016 berjumlah RM5.52 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-224 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.