KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2026 (JUMAAT) – Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bakal menganjurkan Hari Eksport Perak 2026 pada 14 Oktober 2026 bertempat di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh.

Program forum ini ditawarkan secara percuma khusus untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi, serta perusahaan sosial berasaskan produk dan perkhidmatan di negeri Perak. Ia bertujuan memberi pendedahan berasaskan langkah praktikal untuk membantu peniaga tempatan menilai potensi, meningkatkan kesiapsiagaan, dan meluaskan capaian pasaran antarabangsa. Penyertaan dihadkan kepada dua orang wakil bagi setiap syarikat.

Inisiatif ini menggabungkan kepakaran pembangunan eksport nasional MATRADE dan Majlis Pembangunan Usahawan Perak (MPUP) serta Jawatankuasa Kecil Kluster Perluasan Pasaran dan Perkhidmatan Usahawan, dengan sokongan pemain utama ekosistem eksport Malaysia.

Sepanjang program berjalan dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, peserta akan didedahkan dengan enam sesi forum utama bersama agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia logistik, dan pengeksport berpengalaman. Topik yang bakal diketengahkan merangkumi:

  • Kesediaan eksport dan akses pembiayaan sebelum ke pasaran global.

  • Pendigitalan perniagaan untuk penembusan pasaran global.

  • Kelancaran perdagangan rentas sempadan dan daya tahan perniagaan.

  • Integrasi ke dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) dan syarikat peringkat pertengahan (SPP).

Penganjuran Hari Eksport Perak 2026 memberi penekanan kepada tiga mesej utama untuk usahawan tempatan: membina asas pengetahuan eksport yang kukuh, meningkatkan celik kewangan eksport, serta memahami dinamik ekonomi dan geopolitik antarabangsa. Selain perkongsian maklumat dan fasilitasi kerajaan, program ini bertindak sebagai platform strategik untuk menghubungkan usahawan dengan pemain utama ekosistem eksport serta mengenal pasti perniagaan berpotensi bagi program bimbingan dan tindakan susulan.

 

Pendaftaran kini dibuka. Usahawan Perak yang berminat digalakkan mendaftar awal memandangkan tempat adalah terhad. Pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster promosi rasmi Hari Eksport Perak 2026. 

 

FaLang translation system by Faboba