Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
How did Malaysia perform in trade throughout the challenging year of 2023? Which markets reigned supreme and what sectors were the key export contributors for Malaysia? What are MATRADE’s initiatives in 2023 to Malaysian companies during country’s recovery phase? These are some of the questions answered in MATRADE’s Annual Report for year 2023. Read more to gain the insights.
MATRADE telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai matlamat penubuhannya yang merangkumi pembangunan pengeksport dan promosi eksport. Usaha ini melibatkan program pembangunan keupayaan pengeksport, penggalakan eksport, penyebaran maklumat perdagangan dan penyediaan khidmat nasihat serta sokongan berterusan.
MATRADE meneruskan inisiatif memanfaatkan teknologi dan platform digital untuk memastikan kelangsungan eksport negara. Program sedia ada telah disesuaikan dengan amalan norma baharu dalam mengatasi kekangan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan negara.
Usaha ini membolehkan MATRADE berupaya melaksanakan mandatnya dalam memacu eksport dan menjadikan Malaysia sebuah negara perdagangan yang kompetitif di persada antarabangsa.
Pada tahun 2023, prestasi perdagangan Malaysia telah dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dunia yang mencabar berikutan permintaan luar yang lemah, kadar inflasi global yang tinggi, ketegangan geopolitik, harga komoditi yang lebih rendah, penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas yang tinggi.
Perdagangan Malaysia berjumlah RM2.637 trilion, melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut turut, mengurang 7.3% berbanding tahun 2022.
Eksport bernilai RM1.426 trilion dan ini merupakan tahun ketiga berturut-turut eksport melebihi RM1 trilion dan negara terus mencatatkan lebihan dagangan untuk 26 tahun berturut-turut sejak 1998.
Import bagi tahun 2023 telah mencatat satu lagi pencapaian baharu dengan melepasi aras RM1 trilion untuk kali kedua namun mengurang 6.4% kepada RM1.211 trilion berbanding tahun 2022.
MATRADE mempunyai pangkalan data melebihi 14,000 syarikat Malaysia yang masih aktif menjalankan perniagaan berorientasikan eksport. Syarikat ini dibantu dalam melestarikan pertumbuhan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia. Pada tahun 2023, program pembangunan keupayaan pengeksport MATRADE telah memanfaatkan 22,694 syarikat dan program promosi eksport melibatkan sebanyak 3,750 syarikat.
MATRADE juga terus menawarkan hala tuju strategik baharu kepada syarikat Malaysia dengan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi digital serta kelestarian bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang. MATRADE akan tetap komited ke arah mengukuhkan ekonomi negara serta bertindak sebagai organisasi peneraju dalam mendukung dan menggalakkan aktiviti eksport negara pada masa akan datang




