Lebihan Dagangan Januari-September 2019 Tertinggi dalam Masa Sedekad

Lebihan dagangan Malaysia pada Januari hingga September 2019 bernilai RM100.86 bilion, meningkat 15.3% berbanding RM87.47 bilion pada tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan Januari-September yang tertinggi dicatatkan sejak 10 tahun yang lalu.

Sejajar dengan permintaan luar yang lemah dan persekitaran global yang mencabar, jumlah perdagangan pada 9 bulan pertama tahun 2019 menyusut 2.2% kepada RM1.356 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis dan Jepun. Peningkatan perdagangan walau bagaimanapun direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi dan Filipina. Eksport menurun 1.1% kepada RM728.52 bilion manakala import berkurang 3.3% kepada RM627.66 bilion.

Jumlah perdagangan bernilai RM147.07 bilion pada September 2019, berkurang 2.7% tahun ke tahun. Pengurangan perdagangan telah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Taiwan, Australia, Thailand dan Belanda. Namun begitu, peningkatan perdagangan direkodkan dengan China, India, Republik Korea (ROK), AS dan Arab Saudi. Eksport menurun 6.8% kepada RM77.7 bilion. Import berjumlah RM69.37 bilion, 2.4% lebih tinggi berbanding September 2018.

Lebihan dagangan Malaysia pada September 2019 bernilai RM8.34 bilion, menyusut 46.5% berbanding September 2018 dan mencatatkan lebihan dagangan yang ke-263 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pengurangan 3.1%, 4.5%, 1.6% dan 23.5%.

Jumlah perdagangan pada suku ketiga (S3) tahun 2019 menyusut 3.7% kepada RM460.53 bilion berbanding S3 2018. Eksport pada suku ini bernilai RM247.02 bilion, 1.9% lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan import menurun 5.8% kepada RM213.51 bilion. Lebihan dagangan bagi S3 2019 merekodkan peningkatan dua digit 33.3% kepada RM33.51 bilion berbanding RM25.14 bilion yang dicatatkan pada S3 2018.

Berbanding suku kedua (S2) 2019, jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing naik sebanyak 0.01%, 0.6% dan 10.2%, manakala import turun 0.7%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2019 dan Januari - September 2019