Nilai Eksport Bulanan Tertinggi Bagi Tahun 2019

Eksport Malaysia pada Oktober 2019 bernilai RM90.59 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi direkodkan bagi tahun 2019. Eksport menyusut 6.7% tahun ke tahun disebabkan oleh kesan nilai asas yang tinggi sebanyak RM97.12 bilion pada Oktober 2018. Peningkatan eksport direkodkan ke Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia manakala eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Australia, China, Jepun, Thailand dan India.

Jumlah perdagangan bernilai RM163.86 bilion, berkurang 7.6% dan import berjumlah RM73.27 bilion, menurun 8.7% berbanding Oktober 2018. Lebihan dagangan pada Oktober 2019 bernilai RM17.33 bilion, meningkat 2.8% berbanding RM16.85 bilion yang dicatatkan pada Oktober 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-264 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan lebihan dagangan bulanan tertinggi direkodkan setakat ini.

Berbanding September 2019, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 11.4%, 16.6%, 5.6% dan 107.4%.

Jumlah perdagangan bagi 10 bulan pertama tahun 2019 bernilai RM1.52 trilion, menyusut 2.8%. Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 1.8% kepada RM819.13 bilion. Eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Hong Kong SAR, Australia, Jepun, Indonesia dan China. Eksport yang lebih tinggi pula dicatatkan ke Taiwan, AS, India dan Filipina. Import berkurang 3.9% kepada RM700.93 bilion. Selain itu, lebihan dagangan berkembang 13.3% kepada RM118.2 bilion dan mencatatkan lebihan dagangan Januari-Oktober yang tertinggi sejak tahun 2009.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Oktober 2019 dan Januari - Oktober 2019