Lebihan Dagangan Januari-November Tertinggi Sejak 2009
Lebihan dagangan Malaysia pada bulan Januari hingga November 2019 bernilai RM124.74 bilion, meningkat sebanyak 10.6% berbanding RM112.82 bilion yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang direkodkan untuk tempoh Januari hingga November sejak 2009.
Berlatarbelakangkan keadaan ekonomi global yang mencabar dan ketegangan perdagangan yang berterusan, jumlah perdagangan Malaysia sejak 11 bulan yang lalu menyusut 3% kepada RM1.675 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis, Jepun dan Thailand. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina dan United Kingdom (UK). Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 2.1% kepada RM899.93 bilion dan import berkurang 3.9% kepada RM775.19 bilion.
Jumlah perdagangan pada November 2019 menurun 4.6% tahun ke tahun kepada RM155.06 bilion. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Thailand, Taiwan dan Perancis manakala peningkatan perdagangan dicatatkan dengan China, AS, UAE dan UK. Eksport berjumlah RM80.8 bilion, menyusut 5.5% dan import bernilai RM74.26 bilion, menurun 3.6%.
Lebihan dagangan Malaysia pada November 2019 bernilai RM6.54 bilion, turun 23.1% tahun ke tahun berbanding RM8.5 bilion yang dicatatkan pada November 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-265 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Berbanding Oktober 2019, import Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.4% manakala eksport, jumlah perdagangan dan lebihan dagangan masing-masing menyusut 10.8%, 5.4% dan 62.3%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : November 2019 dan Januari - November 2019