Eksport Tertinggi bagi Bulan September

Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5% kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019. Kenaikan perdagangan telah direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong SAR, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan. Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6% kepada RM88.93 bilion, merupakan nilai eksport yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September. Import menyusut 3.6% kepada RM66.96 bilion.

Lebihan dagangan pada September 2020 melonjak 149.3% tahun ke tahun kepada RM21.97 bilion dan merupakan lebihan dagangan tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September.

Berbanding Ogos 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 7.5%, 12.4% dan 1.6%. Lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan ketara 66.3%.

Jumlah perdagangan bagi suku ketiga (S3) tahun 2020 bernilai RM460.87 bilion, mengurang secara marginal sebanyak 0.5% berbanding S3 2019. Eksport naik 4.4% kepada RM260.62 bilion manakala import turun 6.3% kepada RM200.25 bilion. Lebihan dagangan meningkat 68.4% kepada RM60.36 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2020 dan Januari - September 2020