Lebihan Dagangan Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Oktober
Lebihan dagangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit 25.9% tahun ke tahun dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Oktober.
Eksport bernilai RM91.05 bilion pada Oktober 2020, naik 0.2% berbanding Oktober 2019 dan merupakan nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini. Peningkatan ini telah disokong oleh kenaikan eksport ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom. Import berjumlah RM68.93 bilion, berkurang 6% manakala jumlah perdagangan bernilai RM159.98 bilion, menyusut 2.5%.
Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 2.6%, 2.4% dan 2.9%. Lebihan dagangan meningkat sebanyak 0.8%.
Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.3% kepada RM147.04 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Jumlah perdagangan bernilai RM1.454 trilion, turun 4.9%. Eksport berjumlah RM800.59 bilion, menyusut 3.3% manakala import bernilai RM653.55 bilion, berkurang 6.8%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Oktober 2020 dan Januari - Oktober 2020