Perdagangan, Eksport dan Lebihan Dagangan Catat Rekod Tertinggi

Perdagangan Malaysia terus merekodkan prestasi yang kukuh pada September 2021, dengan rekod nilai bulanan tertinggi baharu bagi perdagangan, eksport dan lebihan dagangan. Perdagangan berkembang 25.5% kepada RM195.54 bilion berbanding September 2020, pertumbuhan dua digit yang kelapan bulan berturut-turut sejak Februari 2021. Eksport mencatatkan nilai melebihi RM100 bilion bagi kali keempat tahun ini, naik 24.7% kepada RM110.83 bilion. Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-13 bulan berturut-turut sejak September 2020. Import meningkat 26.5% kepada RM84.7 bilion dan lebihan dagangan naik 19.1% kepada RM26.13 bilion.

Pertumbuhan eksport ini telah disumbangkan oleh permintaan luar yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan elektrik dan elektronik (E&E). Eksport barangan perkilangan logam, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan E&E telah mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. Sementara itu, eksport ke ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. Eksport ke China juga mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 15.2%, 16%, 14.2% dan 22.2%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2021 dan Januari - September 2021

Prestasi Perdagangan : September 2021 dan Januari - September 2021 (Infografik)