KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2023:  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE) bakal menganjurkan Hari Eksport Selangor 2023 bagi memperluaskan bilangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk ke pasaran ke peringkat antarabangsa. 

Program tersebut bakal berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Ogos di Pusat Konvensyen Shah Alam dan bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport yang boleh menjadi pelengkap ekonomi dan mendokong kepada komitmen mereka di dalam dasar-dasar keusahawanan sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata PKNS menyediakan pelbagai peluang kepada para usahawan untuk memperluaskan perniagaan dan melengkapi mereka dengan ilmu keusahawan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul yang tersedia. Diharapkan bagi mereka yang berminat dan ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini serta berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menekankan Hari Eksport Selangor adalah satu program outreach untuk membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport di peringkat negeri terutamanya di Selangor dengan berteraskan objektif menyeluruh untuk memberi pendedahan berkenaan maklumat-maklumat asas untuk mengeksport serta mendapatkan pendedahan kepada bantuan Kerajaan serta perkhidmatan oleh pemain ekosistem eksport.

“Dengan usaha ini, MATRADE turut berharap ia dapat memberi kesedaran kepada PMKS mengenai bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan institusi swasta yang terlibat di dalam ekosistem eksport negara,” tambahnya.

Sebanyak enam sesi forum akan diadakan pada Hari Eksport Selangor, termasuk sesi mengenali kemudahan pembiayaan dan insurans eksport yang akan memberi pendedahan kepada peserta untuk mengenalpasti rakan perbankan yang bersesuaian dan kepentingan jaminan insurans untuk perniagaan eksport.

Selain itu, sesi forum tersebut akan turut memberi penerangan berkenaan solusi eksport MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform, MyExport, serta MATRADE Digital Learning, bagi membantu syarikat untuk menerokai pasaran antarabangsa dan mengenalpasti platform terbaik bagi perniagaan e-Dagang.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Exim Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Fusionex Group dan Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., selaku Penaja Perak bagi Hari Eksport Selangor.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri pertama program Hari Eksport diadakan dan akan diikuti dengan dengan 11 lagi negeri di seluruh Malaysia.

Program tersebut akan diadakan di Terengganu pada bulan September, serta diikuti dengan Pahang, Johor dan Melaka pada bulan Oktober akan datang.

Walaubagaimanapun, Hari Eksport untuk negeri-negeri lain masih lagi di peringkat perancangan bersama Kerajaan Negeri. 

Untuk ini, MATRADE mensasarkan minima 200 peserta di setiap negeri yang terdiri dari syarikat-syarikat di bawah naungan Kerajaan Negeri dan agensi tempatan negeri tersebut.

"Kami berharap syarikat-syarikat PMKS, terutama yang bersedia/berminat untuk mengeksport tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah untuk mengeskport dapat menyertai program ini," kata Dato’ Mahmud.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Abu Bakar Yusof turut menyeru agar PMKS supaya berdaftar dengan MATRADE dan menjalani Export Readiness Assessment Tool (ERAT), yang merupakan satu sistem yang direka untuk syarikat bagi mengukur tahap kesediaan atau potensi untuk mengeksport produk/perkhidmatan mereka.

"ERAT menilai kesediaan mengeksport syarikat tersebut dari segi sumber eksport, kaedah pemasaran, komitmen pengurusan dan potensi produk/perkhidmatan syarikat mereka.

"Setelah mengetahui tahap ERAT mereka, syarikat tersebut akan didedahkan dengan pelbagai khidmat nasihat dan latihan berkaitan eksport untuk mereka belajar tentang eksport. Salah satunya adalah program seperti Hari Eksport ini," katanya.