KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2023 - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) telah menganjurkan Hari Eksport Terengganu 2023 bagi menggalakkan eksport produk Malaysia, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam usaha meningkatkan perdagangan antarabangsa.

Program tersebut berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 September 2023 di Pusat Dagangan Terengganu bermula jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang. Hari Eksport Terengganu ini telah mengumpulkan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan untuk berkongsi pengetahuan, menjalin hubungan perniagaan serta meneroka peluang pasaran eksport.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) MATRADE, Puan Sharimahton Mat Saleh menegaskan bahawa Hari Eksport Terengganu merupakan satu platform untuk membuka peluang membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport khususnya di peringkat negeri Terengganu dengan menyediakan maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta pendedahan terhadap khidmat sokongan yang disediakan oleh Kerajaan.

“MATRADE berharap usahawan negeri Terengganu yang berminat untuk meneroka pasaran antarabangsa akan memanfaatkan program ini untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan berkaitan eksport dan seterusnya mengambil langkah-langkah awal untuk mula mengeksport,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Encik Mohd Rashdan bin Muda berkata, selain daripada menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah (no-riba) sebagai usaha membantu meningkatkan keupayaan usahawan Terengganu, YPU juga menyediakan  pelbagai peluang kepada para usahawan untuk memperluaskan perniagaan dan melengkapi mereka dengan ilmu keusahawan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul yang tersedia. “Diharapkan bagi mereka yang ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini serta berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami,” kata beliau.

YPU juga berharap akan menjadi one-stop centre bagi usahawan-usahawan Terengganu sama ada usahawan mikro, kecil atau sederhana mahupun usahawan yang telah diiktiraf di peringkat global.

Para peserta Hari Eksport Terengganu didedahkan dengan pelbagai informasi penting seperti penyediaan dokumentasi eksport dan keperluan logistik, aktiviti promosi serta solusi eksport efektif yang disediakan oleh MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), MyExport dan MATRADE Digital Learning (MDL) bagi mendedahkan mereka kepada strategi pemasaran digital yang berkesan untuk memperluaskan jangkauan eksport.

Antara pengisian menarik yang dikongsikan semasa Hari Eksport Terengganu termasuk juga sesi mengenali kemudahan pembiayaan dan insurans eksport yang akan membimbing peserta mengenai rakan perbankan yang bersesuaian dan kepentingan jaminan insurans untuk perniagaan eksport. Pakar-pakar industri serta wakil daripada MATRADE, YPU dan PEUTER juga akan berkongsi pengetahuan tentang proses eksport, peluang pasaran dan langkah-langkah praktikal untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Program ini turut mendapat kerjasama dari EXIM Bank Malaysia, selaku penaja bagi Hari Eksport Terengganu.

Negeri Terengganu merupakan lokasi kedua bagi program ini selepas diadakan di negeri Selangor pada bulan Ogos yang lalu. Program ini seterusnya juga akan diadakan di negeri Pahang pada 3 & 4 Oktober, diikuti dengan Johor dan Pulau Pinang pada hujung tahun ini.

MATRADE menyasarkan sekurang-kurangnya 200 peserta di setiap negeri yang terdiri dari syarikat-syarikat di bawah naungan Kerajaan Negeri dan agensi tempatan negeri tersebut.

Hari Eksport Terengganu adalah peluang yang penting untuk meningkatkan ekonomi Malaysia melalui perdagangan dan ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Selain itu, PMKS yang berdaftar dengan MATRADE berpeluang menjalani kaji selidik Export Readiness Assessment Tool (ERAT) iaitu satu sistem yang direka bagi mengukur tahap kesediaan atau potensi syarikat berkenaan untuk mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi MATRADE di www.matrade.gov.my.