Eksport Bulan Julai Cecah RM140 Bilion, Dipacu oleh Eksport Barangan E&E

Infografik Prestasi Perdagangan Julai 2025.JPG        Infografik Prestasi Perdagangan Januari-Julai 2025.JPG

Prestasi perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai 2025, dengan merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan daya tahan eksport negara serta daya saing dalam perdagangan global. Nilai perdagangan meningkat sebanyak 3.8% tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion. Eksport mencatat pertumbuhan 6.8% kepada RM140.45 bilion, iaitu nilai bulanan tertinggi sejak September 2022, mencerminkan permintaan global yang berterusan terhadap barangan Malaysia. Import meningkat 0.6% kepada RM125.47 bilion, manakala lebihan dagangan kekal direkodkan bagi 63 bulan berturut-turut, berjumlah RM14.98 bilion pada Julai 2025.

Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) mencatat peningkatan ketara sebanyak hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion, kenaikan sebanyak 22.5% tahun ke tahun, berbanding Julai 2024. Ia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia, di samping barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses. Kesemua barangan ini merekodkan nilai eksport tertinggi setakat ini. Barangan lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport adalah jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Dari segi destinasi, eksport ke kesemua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan positif, dengan eksport ke Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini. Eksport ke negara-negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, dengan pertumbuhan ketara eksport dicatatkan ke Mexico dan Republik Korea (ROK), disokong terutamanya oleh peningkatan eksport barangan E&E.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan nilai kumulatif tertinggi setakat ini. Perdagangan meningkat 4.7% kepada RM1.731 trilion tahun ke tahun, dengan eksport naik 4.3% kepada RM900.47bilion dan import berkembang 5.1% kepada RM830.16 bilion, menghasilkan lebihandagangan sebanyak RM70.32 bilion.

Prestasi perdagangan Malaysia yang memberangsangkan pada tujuh bulan pertama tahun 2025 direkodkan di sebalik penyemakan semula prospek perdaganga• Lao PDR RM7.1 juta, ↑17.6%.n global. Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi volum perdagangan barangan dunia pada tahun 2025 kepada 0.9%, berbanding unjuran terdahulu iaitu penguncupan 0.2%. Pemulihan sederhana ini dipacu
terutamanya oleh peningkatan mendadak dalam import AS yang direkodkan pada awal tahun.

Selain itu, keputusan kerajaan AS untuk mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25% kepada 19% mencerminkan pendekatan diplomasi perdagangan yang terancang dan berdisiplin oleh MITI. Kadar tarif ini yang dilihat sejajar dengan kebanyakan rakan negara ASEAN, akan terus menyokong daya saing negara.

Walaupun berdepan dengan cabaran perdagangan global dan tekanan tarif daripada AS, prestasi perdagangan Malaysia yang stabil telah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.4% bagi suku kedua tahun 2025. MITI dan MATRADE akan terus berwaspada dalam mengendali landskap perdagangan antarabangsa yang semakin berubah serta ketegangan geopolitik yang kian meningkat.


Prestasi Eksport Sektor Utama


Eksport Barangan Perkilangan Pulih

Pada Julai 2025, eksport barangan perkilangan yang menyumbang sebanyak 87% kepada jumlah eksport keseluruhan mencatatkan peningkatan sebanyak 9% tahun ke tahun kepada RM122.14 bilion, didorong oleh prestasi kukuh eksport barangan E&E,jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses. Eksport bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses telah mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan.

Eksport keluaran pertanian (6.5% syer) pada Julai 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 8.6% tahun ke tahun kepada RM9.19 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, berikutan penyusutan dalam kuantiti eksport.

Eksport hasil galian (5.7% syer) pada Julai 2025 menyusut 4.3% tahun ke tahun kepada RM8.06 bilion. Pengurangan ini disebabkan terutamanya oleh harga eksport yang lebih rendah bagi gas asli cecair (LNG). Walau bagaimanapun, eksport bijih logam dan serpihan logam mencatatkan peningkatan.

Barangan eksport utama pada Julai 2025:

• Barangan E&E, bernilai RM63.31 bilion yang merangkumi 45.1% daripada jumlah eksport, meningkat 22.5% berbanding Julai 2024;
• Keluaran petroleum, RM8.12 bilion, 5.8% daripada jumlah eksport, ↓27.2%;
• Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.84 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↑15.9%;
• Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.72 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, ↓12.1%; dan
• Barangan perkilangan logam, RM5.7 bilion, 4.1% daripada jumlah eksport, ↑1%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing mengembang sebanyak 15.2%, 2.6% dan 44.5%.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2025, eksport barangan perkilangan meningkat 5.8% kepada RM778.7 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024 dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport keluaran pertanian mengembang 7.8% kepada RM62.38 bilion, disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Sebaliknya, eksport hasil galian menyusut 18.3% kepada RM52.11 bilion, berikutan penurunan eksport LNG dan petroleum mentah.

 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

Pada Julai 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 70.9% syer daripada jumlah perdagangan.

 

ASEAN – Perdagangan dan Eksport Kembali Meningkat

Pada Julai 2025, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 27.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.7% tahun ke tahun kepada RM72.29 bilion. Eksport kembali meningkat sebanyak 8.4% kepada RM43.47 bilion, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E. Import dari ASEAN menyusut 6.8% kepada RM28.83 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

  • Singapura RM25.75 bilion meningkat 22.2%, tahun ke tahun;
  • Thailand RM5.80 bilion, ↑4.4%;
  • Viet Nam RM4.70 bilion, ↓4.7%;
  • Indonesia RM4.01 bilion, ↓11.3%;
  • Filipina RM2.23 bilion, ↓21.8%;
  • Kemboja RM501.7 juta, ↑77.4%;
  • Brunei RM257.4 juta, ↓64.5;
  • Myanmar RM200.1 juta, ↑26.0%; dan
  • Lao PDR RM7.1 juta, ↑17.6%.

Pasaran utama ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan eksport adalah Singapura, meningkat sebanyak RM4.68 bilion tahun ke tahun dan Thailand yang naik sebanyak RM245.4 juta, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Begitu juga, eksport ke Kemboja bertambah sebanyak RM218.8 juta, didorong oleh peningkatan eksport keluaran petroleum. Eksport ke Singapura dan Kemboja merekodkan nilai tertinggi setakat ini.

Berbanding Jun 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 24.3%, 31.4% dan 15%.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan dengan ASEAN menyusut 1.2% kepada RM445.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport naik 0.8% kepada RM262.1 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN menyusut 3.8% kepada RM183.75 bilion.

China – Eksport Pulih

Perdagangan dengan China pada Julai 2025 meningkat 6.5% tahun ke tahun kepada RM44.43 bilion, merangkumi 16.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.8% kepada RM15.8 bilion selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut turut, disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum. Import dari China mengembang 6.3% kepada RM28.63 bilion.

Berbanding Jun 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 4.1%, 6.5% dan 2.8%.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan China naik 6.3% kepada RM293.26 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mencatatkan penurunan 2.7% kepada RM102.6 bilion berikutan penyusutan eksport LNG, barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia. Di sebalik pengurangan ini, pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China menokok 11.9% kepada RM190.66 bilion.

AS – Perdagangan, Eksport dan Import Kekal Pertumbuhan

Pada Julai 2025, perdagangan dengan AS yang menyerap 11% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 7.6% tahun ke tahun kepada RM29.34 bilion. Eksport meningkat 3.8% kepada RM18.47 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan perkilangan logam dan barangan getah. Import dari AS menyusut 22.2% kepada RM10.88 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing naik sebanyak 7.4% dan 13.5%, manakala import menurun 1.5%.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan dengan AS menokok 25.2% tahun ke tahun kepada RM215.96 bilion. Eksport mengembang 23.9% kepada RM130.06 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS naik 27.1% kepada RM85.91 bilion.

Taiwan – Eksport Rekod Nilai Tertinggi Baharu

Pada Julai 2025, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 8.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit 49.9% tahun ke tahun kepada RM23.06 bilion. Eksport melonjak 46.6% kepada RM7.82 bilion, disebabkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan turut melonjak sebanyak 51.6% kepada RM15.24 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing- masing naik sebanyak 36.9%, 12% dan 54.5%.

Perdagangan dengan Taiwan mencatatkan pertumbuhan 35% pada tempoh Januari hingga Julai 2025 kepada RM132.68 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Eksport melonjak 30.1% kepada RM47.11 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan meningkat 37.8% kepada RM85.57 bilion.

EU – Pertumbuhan Eksport bagi Enam Bulan Berturut-Turut

Pada Julai 2025, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan 2.1% tahun ke tahun kepada RM19.38 bilion. Eksport meningkat 5.7% kepada RM10.87 bilion, merupakan pertumbuhan yang keenam bulan berturut-turut, disumbangkan oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran petroleum. Import dari EU menyusut 10.6% kepada RM8.52 bilion.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.1% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:

• Belanda RM3.62 bilion, meningkat 37.4%, tahun ke tahun;
• Jerman RM2.91 bilion, ↑0.1%;
• Itali RM758.5 juta, ↓28.8%;
• Belgium RM643.0 juta, ↓1.9%;
• Perancis RM449.9 juta, ↓19.4%;
• Sepanyol RM370.1 juta, ↑6.8%;
• Ireland RM367.9 juta, ↑463.6%;
• Republik Czech RM285.7 juta, ↑62.5%;
• Poland RM250.9 juta, ↓29.3%; dan
• Hungary RM242.9 juta, ↓57.7%.

Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM983.6 juta dan eksport ke Jerman naik sebanyak RM4.2 juta, didorong oleh pertambahan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Sepanyol naik sebanyak RM23.6 juta, disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Berbanding Jun 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengembang sebanyak 14.2%, 18.7% dan 9%.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan dengan EU menurun 0.3% kepada RM125.52 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Eksport meningkat 5.2% kepada RM69.84 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan kelengkapan pengangkutan. Import dari EU menyusut 6.4% kepada RM55.68 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA

Pada Julai 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 64.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan peningkatan 3.4% tahun ke tahun kepada RM172.14 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA naik 5.4% kepada RM93.83 bilion, manakala import berkembang 1.1% kepada RM78.31 bilion.

Pertumbuhan eksport telah direkodkan ke Mexico, yang naik 48.6% kepada RM3.16 bilion dan ROK, yang berkembang 5.5% kepada RM5.12 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Begitu juga, eksport ke Turkiye meningkat 7.2% kepada RM1.96 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan logam, eksport ke New Zealand bertambah 19.3% kepada RM497.6 juta berikutan peningkatan eksport keluaran petroleum dan eksport ke United Kingdom mengembang 2.1% kepada RM769 juta hasil kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, eksport ke Pakistan menokok 4.3% kepada RM385.5 juta disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi kimia dan bahan kimia dan eksport ke Jepun naik 0.2% kepada RM6.87 bilion, berikutan pertambahan eksport petroleum mentah.

Berbanding Jun 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 12.4%, 16.3% dan 8.1%.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA naik 0.6% kepada RM1.104 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.4% kepada RM592.48 bilion dan import meningkat 1.8% kepada RM511.89 bilion.

Prestasi Import

Jumlah import pada Julai 2025 meningkat 0.6% tahun ke tahun kepada RM125.47 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 68.1% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

• Barangan perantaraan, bernilai RM56.82 bilion atau 45.3% daripada jumlah import, menyusut 17.8%, disebabkan oleh penurunan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;

• Barangan modal, bernilai RM18.19 bilion atau 14.5% daripada jumlah import, meningkat 20.6%, berikutan kenaikan import barangan modal bukan
kelengkapan pengangkutan; dan

• Barangan penggunaan, bernilai RM10.43 bilion atau 8.3% daripada jumlah import, menurun 5%, disebabkan oleh penyusutan import barangan tidak tahan lama.

Berbanding Jun 2025, jumlah import meningkat 10.9%, dengan import barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 26.2% dan 10.9%, manakala import barangan perantaraan menyusut 5.8%.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, jumlah import meningkat 5.1% kepada RM830.16 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Import barangan perantaraan menurun 2.9% kepada RM418.84 bilion, import barangan modal melonjak 36.4% kepada RM125.59 bilion dan import barangan penggunaan naik 0.3% kepada RM68.49 bilion.