KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2025 (JUMAAT) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyambut Bulan Kemerdekaan 2025 dengan penuh semangat patriotik menerusi Program Semarak Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung pada hari ini. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE, dengan penyertaan lebih 300 warga kerja MATRADE, termasuk penyertaan oleh warga MATRADE dari 48 pejabat MATRADE luar negara secara talian. 

Selari dengan tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, program ini bukan sekadar simbolik pengibaran Jalur Gemilang, ianya turut mencerminkan sokongan MATRADE terhadap komitmen kerajaan dalam memperkukuh penbangunan negara dengan pendekatan berteraskan nilai kemanusian, kesejahteran sosial dan keadilan. 

“Hari ini, kita berkumpul bukan sekadar untuk melancarkan Program Semarak Kibar Jalur Gemilang, tetapi juga untuk menyemarakkan jiwa patriotik dalam diri kita sebagai anak Malaysia,” kata Dato’ Seri Reezal Merican. 

“Bayangkan, setiap kali Jalur Gemilang berkibar di luar negara seperti di astaka Malaysia di ekspo-ekspo antarabangsa, di pejabat kedutaan dan pejabat perdagangan kita, dunia melihat kekuatan kita. Dunia melihat semangat kita. Dan di situlah terletaknya tanggungjawab kita sebagai warga MATRADE: memastikan nama Malaysia berdiri megah, dihormati dan dikagumi,” tambah Pengerusi. 

Majlis ini turut dihadiri oleh Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE (Akselerasi Eksport) dan Encik Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE (Pembangunan Pengeksport).

Pengerusi MATRADE turut berkata, “Sebagai Agensi perdagangan negara, MATRADE harus menterjemahkan semangat ini dengan memastikan setiap inisiatif, setiap program dan setiap misi perdagangan yang kita laksanakan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat. Ianya merangkumi perancangan program promosi perdagangan melibatkan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat-syarikat peringkat pertengahan.”

Perdagangan Malaysia pada Julai 2025 mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini disokong oleh peningkatan eksport dan import. Eksport turut merekodkan paras bulanan tertinggi dalam tempoh 34 bulan, didorong oleh kenaikan ketara barangan elektrik dan elektronik (E&E). 

Peningkatan ini dipacu oleh permintaan tinggi serta penggunaan secara meluas teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), perkhidmatan awan, pembelajaran mesin (machine learning) dan pengkomputeran berprestasi tinggi yang telah mendorong pertumbuhan eksport pada Julai. 

MATRADE terus komited memperkukuh daya saing eksport negara melalui pemerkasaan syarikat PMKS, penerokaan pasaran baharu, meningkatkan inovasi produk serta penyesuaian kepada landskap perdagangan global yang semakin kompleks dan mencabar dengan mengadaptasikan perniagaan berasakan teknologi digital dan lestari.

Program sambutan bulan kemerdekaan di peringkat MATRADE merupakan acara tahunan dengan tujuan membangkitkan rasa cinta tanah air dan menyatukan warga kerja di bawah panji kemerdekaan.