Perdagangan, Eksport dan Import Pulih pada Januari  

Perdagangan Malaysia pada Januari 2024 mencatatkan peningkatan dua digit 13.3% kepada RM234.73 bilion setelah merekodkan penyusutan tahun ke tahun bagi 10 bulan berturut-turut. Eksport meningkat 8.7% kepada RM122.43 bilion dan import naik 18.8% kepada RM112.3 bilion. Ini merupakan nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi bulan Januari. Sementara itu, lebihan dagangan berjumlah RM10.12 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. 

Pertumbuhan eksport telah disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam. Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan. 

Berbanding bulan Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 4.3%, 3.4%, dan 5.3%, manakala lebihan dagangan menyusut 13.8%.

   

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan Kekal Kukuh 

Pada Januari 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.7% daripada jumlah eksport meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM103.65 bilion. Hampir kesemua barangan perkilangan merekodkan pertumbuhan dua digit eksport kecuali barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang menurun sebanyak 6.5% terutamanya ke China dan Singapura. Pertumbuhan eksport direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam.

Eksport hasil galian (7.9% syer) mengurang sebanyak 4.9% tahun ke tahun kepada RM9.72 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG). 

Eksport keluaran pertanian (6.7% syer) mencatatkan peningkatan dua digit 17.5% kepada RM8.24 bilion setelah merekodkan pertumbuhan negatif tahun ke tahun sejak November 2023. Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Kesemua keluaran pertanian merekodkan pertumbuhan eksport dua digit.

 

Barangan eksport utama pada Januari 2024:   

  • Barangan E&E, bernilai RM44.02 bilion dan merangkumi 36% daripada jumlah eksport, mengurang 6.5% berbanding Januari 2023;
  • Keluaran petroleum, RM14.81 bilion, 12.1% daripada jumlah eksport, meningka24.2%; 
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.15 bilion, 5% daripada jumlah eksport, meningkat 16.3%;
  • LNG, RM6.05 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, mengurang 9.3%; dan
  • Kimia dan bahan kimia, RM6.03 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, meningkat 4.4%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing mengembang 4.8% dan 0.9%, manakala eksport hasil galian menguncup 6.1%.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama 

ASEAN –  Perdagangan Catat Pertumbuhan Dua Digit

Pada Januari 2024, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan dua digit 17.4% tahun ke tahun kepada RM64.87 bilion. Eksport naik 9.5% kepada RM37.33 bilion, disokong oleh pertambahan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia. Import dari ASEAN mengembang 30.2% kepada RM27.54 bilion. 

 

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

Singapura 

RM17.44 bilion, mengurang 2.6%, tahun ke tahun;

Viet Nam

RM6.00 bilion, ↑53.7%;

Indonesia 

RM5.57 bilion, ↑60.6%;

Thailand 

RM4.92 bilion, ↓12.6%;

Filipina

RM2.28 bilion, ↑24.3%;

Myanmar

RM474.1 juta, ↓6.1%;

Brunei 

RM344.2 juta, ↓41.5%;

Kemboja

RM286.5 juta, ↑20.1%; dan

Lao PDR 

RM4.5 juta, ↓41.8%.

Pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan eksport ialah Viet Nam yang meningkat sebanyak RM2.1 bilion disebabkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, Indonesia (↑RM2.1 bilion) dan Filipina (↑RM446.5 juta), masing-masing disokong oleh eksport keluaran petroleum yang kukuh. 

Berbanding bulan Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengembang sebanyak 14%, 12.9% dan 15.7%.

 

China – Perdagangan Rekod Peningkatan

Pada Januari 2024, perdagangan dengan China yang merangkumi 16.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 6.9% tahun ke tahun kepada RM39.57 bilion. Eksport ke China bernilai RM13.87 bilion, mengurang 7.4% berikutan penurunan eksport barangan E&E. Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta barangan kertas dan palpa. Import dari China bertambah 16.7% kepada RM25.7 bilion.

Berbanding bulan Disember 2023, import mengembang 11% manakala perdagangan dan eksport masing-masing mengurang 3% dan 21.5%.

 

AS – Perdagangan, Eksport dan Import Rekod Pertumbuhan Dua Digit

Perdagangan dengan AS yang mewakili 9.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2024 merekodkan peningkatan dua digit 18.2% tahun ke tahun kepada RM22.11 bilion. Eksport naik 11.9% kepada RM13.48 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta barangan kayu. Import dari AS menokok sebanyak 29.5% kepada RM8.63 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import mengembang sebanyak 0.9%, manakala perdagangan dan eksport masing-masing mengurang sebanyak 4.7% dan 7.9%.

 

EU – Perdagangan, Eksport dan Import Pulih

Pada Januari 2024, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.4% tahun ke tahun kepada RM17.87 bilion. Eksport naik 6.4% kepada RM9.95 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Import dari EU bertambah 4.1% kepada RM7.92 bilion. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.2% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

Jerman 

RM2.92 bilion, meningkat 27.4%, tahun ke tahun;

Belanda

RM2.79 bilion, ↓2.8%;

Belgium 

RM827.0 juta, ↓11.5%;

Itali        

RM781.2 juta, ↑66.7%;

Perancis 

RM621.5 juta, ↑2.2%;

Sepanyol 

RM535.6 juta, ↓1.9%;

  Poland   RM254.1 juta, ↑3.9%;
  Hungary   RM217.8 juta, ↑19.9%;
  Republik Czech   RM190.4 juta, ↓50.3%; dan
  Sweden   RM139.9 juta, ↑12.2%.

Eksport ke pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan adalah Jerman dan Perancis, masing-masing meningkat sebanyak RM627 juta dan RM13.2 juta, disokong oleh eksport barangan E&E yang kukuh. Sementara itu, eksport ke Itali naik sebanyak RM312.6 juta, disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan perkilangan logam.

Berbanding bulan Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7%, 10.1% dan 3.2%. 

 

Jepun – Eksport Rekod Kenaikan

Pada Januari 2024, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia mengurang sebanyak 1% tahun ke tahun kepada RM13.95 bilion. Eksport meningkat 2.8% kepada RM8.41 bilion, disumbangkan oleh pertambahan eksport petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta keluaran petroleum. Import dari Jepun menyusut 6.3% kepada RM5.53 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 4.6% dan 11.5%, manakala import menurun 4.4%.

   

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA   

Pada Januari 2024, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyerap 66.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 11% tahun ke tahun kepada RM156.99 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA mengembang 5.1% kepada RM84.12 bilion dan import naik 18.6% kepada RM72.87 bilion. 

Pasaran yang merekodkan pertumbuhan eksport adalah Republik Korea (ROK) yang meningkat 5.1% kepada RM4.22 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Australia naik 34.6% kepada RM4.89 bilion dan Pakistan, (↑83.9% kepada RM570.7 juta), masing-masing disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum. 

Pertumbuhan eksport turut dicatatkan ke India yang mengembang sebanyak 18.7% kepada RM3.68 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, Chile (↑38.4% kepada RM51.9 juta, barangan makanan diproses) dan Türkiye (↑28.8% kepada RM1.84 bilion, barangan besi dan keluli). 

Berbanding bulan Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 5.9%, 3.5% dan 8.8%.

 

Pretasi Import 

Pada Januari 2024, jumlah import mengembang 18.8% tahun ke tahun kepada RM112.3 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.8% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barangan pengantara, bernilai RM58.79 bilion atau 52.3% daripada jumlah import, meningkat 21.4%, disebabkan oleh pertambahan import bekalan perindustrian diproses;
  • Barangan modal, bernilai RM13.72 bilion atau 12.2% daripada jumlah import, naik 41.8%, berikutan pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, bernilai RM10.34 bilion atau 9.2% daripada jumlah import, mengembang 25.4%, hasil kenaikan import barangan makanan dan minuman diproses khusus untuk kegunaan isirumah.

Berbanding bulan Disember 2023, import barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 11.7% dan 12.3%, manakala import bagi barangan pengantara mengurang sebanyak 2.1%. 

# Nota:

  • Perlu diambil perhatian bahawa dari segi konsep, angka eksport dan import dalam perangkaan perdagangan luar negeri adalah berbeza daripada apa yang terdapat dalam akaun barangan untuk perhitungan imbangan pembayaran. Penyusunan perangkaan perdagangan antarabangsa biasanya dibuat berdasarkan rekod kastam yang mencerminkan pergerakan barangan fizikal dari satu sempadan ke sempadan yang lain, dan mengikut garis panduan antarabangsa mengenai konsep-konsep dan definisi-definisi contohnya International Merchandise Trade Statistics: Concepts and Definitions 2010 (IMTS 2010) yang berbeza dengan prinsip-prinsip Sistem Akaun Negara (SNA) dan perhitungan Imbangan Pembayaran (BOP). Dalam SNA, barangan didefinisikan sebagai “barangan fizikal yang ada permintaan dan di mana hak milik boleh dikenal pasti serta hak miliknya boleh dipindahkan dari satu institusi ke institusi lain melalui pasaran”.
  • Ini adalah keluaran awalan, keterangan terperinci akan diterbitkan dalam laporan “PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BULANAN” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk kegunaan umum pada Rabu, 28 Februari 2024 dan boleh dimuat turun melalui eStatistik di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam).
  • Data bulan Januari 2024 adalah provisional dan tertakluk kepada semakan/pindaan dalam keluaran berikutnya.
  • Mulai bulan rujukan April 2018, pemilihan kod untuk eksport dan import bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit telah dikaji semula serta dikemaskini untuk lebih mewakili barangan tersebut, dan ini telah menyebabkan sedikit perubahan pada data.
  • 22 rakan dagang FTA terdiri daripada China, Singapura, Jepun, Thailand, Republik Korea, Indonesia, India, Australia, Viet Nam, Filipina, New Zealand, Türkiye, Pakistan, Myanmar, Kemboja, Brunei, Chile, Lao PDR, Hong Kong SAR, Kanada, Mexico dan Peru.
  • Mulai bulan rujukan Februari 2020, United Kingdom tidak lagi menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
  • Bermula bulan rujukan Jun 2022, Harmonised Commodity description and Coding system 2022 (HS2022) yang juga dikenali sebagai Perintah Duti Kastam (PDK2022) telah digunakan dalam penyusunan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri (barangan). Klasifikasi ini menggantikan HS2017 yang digunapakai daripada April 2017 sehingga Mei 2022. Walau bagaimanapun, pengkelasan mengikut Standard International Trade Classification (SITC) Rev.4 masih digunakan dengan penyelarasan bersesuaian.
  • Jumlah tidak semestinya terhasil disebabkan pembundaran.