PRESTASI PERDAGANGAN LUAR BAGI TAHUN 2023 DAN BULAN DISEMBER 2023 #

Pada tahun 2023, perdagangan global mengekalkan pertumbuhan pada kadar yang lebih perlahan kesan daripada beberapa faktor seperti harga komoditi yang lebih rendah, ketegangan geopolitik yang berpanjangan, kadar inflasi yang tinggi serta penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia. Harga komoditi yang lebih rendah terus memberi kesan kepada prestasi perdagangan, khasnya minyak sawit mentah, petroleum mentah serta gas asli cecair (LNG). Selain daripada itu, ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika Syarikat (AS)-China, Rusia-Ukraine serta konflik di Timur Tengah turut menjejaskan ekonomi global dan mempengaruhi permintaan terhadap barangan eksport Malaysia manakala inflasi global yang tinggi turut mengurangkan kuasa beli di kalangan pengguna di negara pengimport.

Meskipun berdepan dengan landskap ekonomi global yang tidak menentu, perdagangan Malaysia pada tahun 2023 melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut dan mengekalkan trend lebihan dagangan yang ke-26 tahun berturut-turut sejak 1998. Eksport negara melebihi nilai RM1 trilion bagi tiga tahun berturutturut dan telah mencapai 82.4% daripada unjuran yang ditetapkan bagi eksport pada tahun 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas      (RMKe-12). Sementara itu, import merekodkan satu lagi pencapaian baharu pada tahun 2023, melebihi nilai RM1 trilion buat kali kedua. Prestasi perdagangan negara juga telah mencecah unjuran yang ditetapkan di dalam Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan (MOF) di mana perdagangan, eksport dan import masingmasing telah mencapai 100.1%, 99.7% dan 100.5% daripada sasaran.

Walaupun prestasi eksport dicatat lemah pada tahun 2023, kenaikan eksport ketara telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan. Eksport ke beberapa pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut merekodkan pertumbuhan terutamanya ke Republik Korea (ROK), Australia, Mexico, Türkiye dan New Zealand meskipun eksport keseluruhan ke negara rakan dagang FTA menyusut.

Di samping pemulihan perdagangan global, FTA, khususnya Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka akan memperluaskan lagi prospek positif bagi perdagangan luar Malaysia. Dalam masa yang sama, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut memberi penekanan kepada peningkatan dalam penggunaan FTA di kalangan pengeksport Malaysia.

Eksport Malaysia pada tahun 2023 didominasi oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi 40.4% syer daripada jumlah eksport, merekodkan pengurangan berbanding tahun sebelumnya. Meskipun kitaran sektor semikonduktor dunia mengalami penurunan, eksport negara bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs) meningkat.

Mengorak langkah ke hadapan, kerajaan akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Ini akan turut disokong oleh inisiatif di bawah Kajian Separuh Penggal RMKe-12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan NIMP 2030.

PRESTASI PERDAGANGAN TAHUN 2023

Malaysia Kekal Catat Lebihan Dagangan bagi Tahun ke-26 dengan Jumlah Perdagangan Melepasi Aras RM2 Trilion bagi Tiga Tahun Berturut-Turut

Pada tahun 2023, perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut yang berjumlah RM2.637 trilion, mengurang 7.3% berbanding tahun 2022, sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi yang lebih rendah, ketegangan geopolitik yang berpanjangan, kadar inflasi yang tinggi, penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas yang tinggi direkodkan pada tahun lepas.

Eksport menguncup 8% kepada RM1.426 trilion, merupakan tahun yang ketiga berturut-turut melebihi aras RM1 trilion serta mencapai 82.4% daripada unjuran yang ditetapkan bagi tahun 2025 di bawah kajian separuh penggal RMKe-12. Sementara itu, import bagi tahun 2023 mencatat satu lagi pencapaian baharu dengan melepasi aras RM1 trilion untuk kali kedua, mengurang 6.4% kepada RM1.212 trilion berbanding tahun 2022. Malaysia mengekalkan lebihan dagangan yang ke-26 tahun berturut-turut sejak 1998, bernilai RM214.1 bilion. 

Landskap ekonomi global yang mencabar pada tahun 2023 telah memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa termasuk prestasi perdagangan Malaysia yang mencatatkan pengurangan. Ini dilihat selari dengan rakan dagang utama yang lain seperti China, Taiwan RoC, ROK dan Indonesia yang turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Pada tahun 2023, rakan dagang utama Malaysia adalah ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mewakili 67.7% syer daripada jumlah perdagangan Malaysia.

 

ASEAN Kekal Sebagai Rakan Dagang Terpenting Malaysia

ASEAN kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia, merangkumi 27.3% daripada jumlah perdagangan negara pada tahun 2023. Perdagangan dengan ASEAN berjumlah RM720.66 bilion, mengurang 6.5% berbanding tahun lepas. 

Eksport ke ASEAN menurun 7.2% kepada RM420.3 bilion berikutan pengurangan permintaan bagi barangan E&E, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Walau bagaimanapun, penyusutan ini telah diimbangi oleh pertumbuhan positif bagi eksport barangan galian bukan logam, petroleum mentah, barangan makanan diproses dan barang kemas.

   

Pecahan eksport ke negara ASEAN: 

Singapura 

RM219.33 bilion, mengurang 5.7%, tahun ke tahun;

Thailand 

RM58.71 bilion, ↓10.7%;

Viet Nam

RM52.01 bilion, ↓3.0%; 

Indonesia 

RM50.91 bilion, ↓8.7%;

Filipina

RM26.45 bilion, ↓6.3%;

Brunei 

RM6.40 bilion, ↓16.3%;

Myanmar

RM4.00 bilion, ↓32.9%; 

Kemboja

RM2.35 bilion, ↑1.6%; dan  

Lao PDR 

RM135.1 juta, ↓85.7%.

Tiga pasaran utama eksport ASEAN pada tahun 2023 adalah Singapura, Thailand dan Viet Nam yang merangkumi 78.5% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini. Eksport ke semua negara ASEAN merekodkan penurunan kecuali Kemboja. Eksport ke Kemboja meningkat sebanyak RM36.9 juta disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi bijih logam dan serpihan logam.

Import dari ASEAN jatuh 5.6% kepada RM300.36 bilion dengan barangan import utama adalah barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.

China – Rakan Dagang Utama bagi 15 Tahun Berturut-turut

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, mewakili 17.1% syer daripada jumlah perdagangan negara. Perdagangan dengan China jatuh sebanyak 7.3% kepada RM450.84 bilion berbanding tahun lepas.

Eksport menguncup 8.7% kepada RM192.21 bilion berikutan pengurangan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli. Namun begitu, pertumbuhan eksport telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, bijih logam dan serpihan logam, barangan makanan diproses serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

China juga merupakan sumber import utama Malaysia, menyerap 21.3% syer daripada jumlah import. Import dari China menyusut 6.2% kepada RM258.63 bilion dengan barangan import utama terdiri daripada barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.

 

Eksport ke AS Rekod Nilai Kedua Tertinggi Setakat Ini

Pada tahun 2023, perdagangan dengan AS, sebagai rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar sejak 2015, menyusut 6.5% kepada RM250.25 bilion berbanding tahun 2022 dan merangkumi 9.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia. 

Eksport ke AS pada tahun 2023 merekodkan nilai kedua tertinggi setakat ini bernilai RM161.3 bilion, menguncup 3.5% berikutan penurunan eksport barangan kayu, keluaran getah serta barangan besi dan keluli. Walau bagaimanapun, kesan pengurangan ini telah diimbangi terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E yang merangkumi 62.8% syer daripada jumlah eksport Malaysia ke negara ini. Barangan lain yang turut merekodkan peningkatan eksport adalah kelengkapan pengangkutan, barangan galian bukan logam serta barangan optik dan saintifik.

Import dari AS mengurang 11.4% kepada RM88.96 bilion dengan barangan import utama adalah barangan E&E, kelengkapan pengangkutan serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

 

EU – Eksport Barangan E&E Terus Meningkat

Perdagangan dengan EU pada tahun 2023 yang merangkumi 7.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia menurun 4.4% kepada RM206.69 bilion berbanding tahun lepas.

Eksport jatuh sebanyak 10.5% kepada RM112.88 bilion berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, keluaran getah dan keluaran petroleum. Namun begitu, pengurangan ini diimbangi oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan makanan diproses, minyak sayuran lain serta barangan kertas dan palpa. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.7% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

Belanda         

RM35.85 bilion, mengurang 14.5%, tahun ke tahun;

Jerman          

RM30.56 bilion, ↑1.8%;

Belgium         

RM9.34 bilion, ↑3.8%;

Itali                

RM6.28 bilion, ↓25.5%;

Perancis        

RM6.12 bilion, ↓29.5%;

Sepanyol       

RM5.65 bilion, ↓0.9%;

Poland           

RM3.21 bilion, ↓15.0%; 

Republik Czech

RM2.64 bilion, ↓26.8%;

Hungary         

RM2.38 bilion, ↓4.6%; dan

Sweden         

RM1.44 bilion, ↓30.2%.

Eksport ke pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan adalah Jerman yang meningkat sebanyak RM532.3 juta dan Belgium yang naik sebanyak RM343.8 juta, berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E.

Import dari EU meningkat 4% kepada RM93.81 bilion dengan barangan import utama adalah barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan. 

 

Jepun – Rakan Dagang Keempat Terbesar Sejak 2015

Pada tahun 2023, Jepun kekal sebagai rakan dagang yang keempat terbesar bagi sembilan tahun berturut-turut sejak 2015. Perdagangan dengan Jepun yang menyumbang 5.9% kepada jumlah perdagangan Malaysia, mengurang 13.8% kepada RM156.64 bilion berbanding tahun lepas.

Eksport menurun 13.1% kepada RM85.7 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport LNG, barangan E&E serta keluaran petroleum manakala eksport yang lebih tinggi telah direkodkan bagi petroleum mentah, barangan optik dan saintifik, barangan makanan diproses serta tekstil, pakaian dan kasut.

Import dari Jepun jatuh 14.6% kepada RM70.94 bilion dan barangan import utama terdiri daripada barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kelengkapan pengangkutan.

 

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA   

Malaysia telah memeterai sebanyak 16 FTA serantau dan dua hala yang membolehkan eksport menikmati akses keutamaan dalam pasaran dengan tarif yang lebih rendah. Pada tahun 2023, perdagangan dengan negara rakan dagang FTA berjumlah RM1.776 trilion atau 67.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mengurang 7.2% berbanding tahun 2022. 

Eksport ke negara rakan dagang FTA menyumbang 69.6% syer atau RM992.81 bilion kepada jumlah eksport, menguncup 7.1%. Barangan eksport utama adalah barangan E&E, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, LNG serta barangan perkilangan logam yang menyumbang 66.1% kepada jumlah eksport Malaysia ke pasaran FTA. 

Walaupun mencatatkan pengurangan, beberapa pasaran telah merekodkan pertumbuhan eksport iaitu ROK, Australia, Mexico, Türkiye dan New Zealand. Kesemua pasaran ini telah merekodkan nilai eksport tertinggi setakat ini. Eksport ke ROK, mengembang 1.8% kepada RM55.88 bilion, Australia (↑3.8% kepada RM49.9 bilion), Mexico (↑12% kepada RM18.72 bilion) dan New Zealand (↑7.5% kepada RM7.38 bilion), masing-masing disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum. Manakala, eksport ke Türkiye meningkat 0.8% kepada RM17.53 bilion berikutan pertumbuhan eksport barangan besi dan keluli. 

Import dari negara rakan dagang FTA menguncup 7.3% kepada RM783.49 bilion dengan barangan import utama terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.

 

Pertumbuhan Eksport ke Pasaran Baharu

Pada tahun 2023, kenaikan eksport telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan. 

Eksport ke Kenya meningkat 6.4% kepada RM5.4 bilion, Brazil (↑7.2% kepada RM5 bilion), Nigeria (↑1.4% kepada RM2.37 bilion) dan Namibia (↑322.6% kepada RM215.4 juta), masing-masing disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum. Eksport ke Tanzania mengembang 13.9% kepada RM2.03 bilion, Yaman (↑66.8% kepada RM1.11 bilion) dan Maghribi (↑24.8% kepada RM624.2 juta), disebabkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. 

Sementara itu, eksport ke Puerto Rico meningkat 177.9% kepada RM399.8 juta dan eksport ke Kyrgyzstan melonjak 317.2% kepada RM161.1 juta, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E. 

  

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan Melepasi Aras RM1 Trilion bagi Tiga Tahun Berturut-turut 

Pada tahun 2023, eksport barangan perkilangan telah melepasi aras RM1 trilion bagi tiga tahun berturut-turut, bernilai RM1.217 trilion atau 85.4% daripada jumlah eksport Malaysia. Ini merupakan pengurangan sebanyak 6.7% berbanding tahun 2022, disebabkan oleh penyusutan eksport keluaran petroleum, barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia. Walau bagaimanapun, pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan makanan diproses, barangan kertas dan palpa, barangan galian bukan logam, barangan minuman dan tembakau serta barang kemas. 

Lima barangan eksport utama yang merangkumi 63.4% daripada jumlah eksport Malaysia adalah:

  • Barangan E&E, mengurang 3% kepada RM575.45 bilion;
  • Keluaran petroleum, ↓11% kepada RM143.49 bilion;
  • Kimia dan bahan kimia; ↓11.3% kepada RM71.46 bilion;
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, ↓5.2% kepada RM57.28 bilion; dan
  • Barangan perkilangan logam, ↓11.4% kepada RM56.33 bilion.

Barangan E&E memegang syer terbesar sebanyak 40.4% daripada jumlah eksport, menyusut 3% kepada RM575.45 bilion. Walaupun eksport barangan E&E mencatatkan pengurangan, eksport bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik meningkat sebanyak 0.03% kepada RM387.45 bilion.

Barangan E&E yang merekodkan peningkatan eksport ketara pada tahun 2023 adalah:

  • Peranti semikonduktor fotosensitif, meningkat 15.6% kepada RM30.18 bilion;
  • Bateri dan akumulator elektrik, ↑14.3% kepada RM8.5 bilion;
  • Penukar statik, ↑21.8% kepada RM5.37 bilion;
  • Panel kawalan elektrik dan alat ganti bagi peralatan pensuisan dan panel kawalan elektrik, ↑6.8% kepada RM10.35 bilion; dan
  • Alat ganti bagi diod, transistor, kristal piezoelektrik dan peranti semikonduktor, ↑9.5% kepada RM6.91 bilion.

Hasil Galian - Serap 7.4% Syer daripada Jumlah Eksport

Pada tahun 2023, eksport hasil galian yang menyerap 7.4% syer daripada jumlah eksport menurun 10.1% kepada RM105.46 bilion berbanding tahun 2022, disebabkan oleh pengurangan eksport LNG dan petroleum mentah. 

 

Keluaran Pertanian - Harga Lebih Rendah Beri Kesan pada Eksport Minyak Sawit

Pada tahun 2023, eksport keluaran pertanian yang merangkumi 6.6% syer daripada jumlah eksport menurun 22.1% kepada RM94.24 bilion berbanding tahun lepas. Pengurangan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan harga minyak sawit yang lebih rendah.

 

Prestasi Import

Import Barangan Modal dan Barangan Penggunaan Rekod Peningkatan

Pada tahun 2023, jumlah import Malaysia mengurang 6.4% kepada RM1.212 trilion berbanding tahun 2022. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 70.5% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barangan pengantara, bernilai RM620.87 bilion atau 51.2% syer daripada jumlah import, mengurang 12.1%, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, berjumlah RM128.83 bilion atau 10.6% daripada jumlah import, meningkat 7.2%, disumbangkan oleh kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, mencecah RM104.1 bilion atau 8.6% daripada jumlah import, mengembang 0.1%, hasil import yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isirumah.

China kekal sebagai sumber import terbesar sejak 2011, diikuti oleh Singapura, AS, Taiwan RoC dan Jepun. Kesemua pasaran ini menyumbang 53.3% kepada jumlah import Malaysia. Sementara itu, import dari ASEAN berjumlah RM300.36 bilion atau 24.8% syer daripada jumlah import Malaysia dan import dari EU berjumlah RM93.81 bilion dengan syer sebanyak 7.7%.

PRESTASI PERDAGANGAN BAGI BULAN DISEMBER 2023

Lebihan Dagangan yang ke-44 Bulan Berturut-turut

Pada Disember 2023, Malaysia merekodkan lebihan dagangan yang ke-44 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, berjumlah RM11.8 bilion. Eksport menurun 10% tahun ke tahun kepada RM118.45 bilion manakala import merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Disember, meningkat 2.9% kepada RM106.66 bilion. Berikutan itu, perdagangan telah direkodkan lebih rendah berbanding tahun 2022, menyusut 4.3% kepada RM225.11 bilion.

Berbanding bulan November 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menurun sebanyak 2.6%, 2.7%, 2.6% dan 3.6%.

 

Prestasi Eksport Sektor Utama

Barangan Perkilangan Dominasi Eksport 

Pada Disember 2023, eksport barangan perkilangan yang menyerap 83.6% daripada jumlah eksport menyusut 10.3% tahun ke tahun kepada RM99.01 bilion dengan pengurangan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, keluaran petroleum, kelengkapan pengangkutan serta kimia dan bahan kimia. Walau bagaimanapun, eksport barangan besi dan keluli, barangan kertas dan palpa, barangan makanan diproses, barang kemas serta barangan galian bukan logam merekodkan kenaikan.

Eksport hasil galian mencatatkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut, menokok 9.1% tahun ke tahun kepada RM10.37 bilion (8.8% syer). Ini juga merupakan nilai eksport bulanan yang tertinggi bagi tahun 2023. Peningkatan eksport ini disumbangkan oleh kenaikan eksport petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain. 

Eksport keluaran pertanian (6.9% syer) menguncup 25.9% tahun ke tahun kepada RM8.17 bilion berbanding bulan Disember 2022 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan harga minyak sawit yang lebih rendah.

Berbanding bulan November 2023, eksport hasil galian meningkat 2% manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing menguncup sebanyak 3.3% dan 2.1%.

Prestasi Import

Import Rekod Pertumbuhan Positif bagi Dua Bulan Berturut-Turut pada Disember

Pada Disember 2023, import merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Disember, meningkat 2.9% tahun ke tahun kepada RM106.66 bilion dan merupakan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut. Import barangan pengantara meningkat 10.1% kepada RM59.96 bilion, barangan modal (↑24.6% kepada RM12.38 bilion) dan barangan penggunaan (↓0.7% kepada RM9.2 bilion).

PRESTASI PERDAGANGAN BAGI SUKU KEEMPAT TAHUN 2023 

Nilai Import Tertinggi bagi Suku Keempat 

Jumlah perdagangan pada suku keempat (S4) tahun 2023 berjumlah RM695.63 bilion, menyusut 3.2% berbanding S4 tahun 2022. Eksport menurun 6.9% kepada RM366.28 bilion. Import merekodkan nilai tertinggi bagi S4 setakat ini, mengembang 1.3% kepada RM329.35 bilion. Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM36.93 bilion, menurun 45.9%. 

Walau bagaimanapun, berbanding suku ketiga (S3) tahun 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 6.5%, 2.8% dan 10.8%, manakala lebihan dagangan menurun 37.3%.

PROSPEK PERDAGANGAN TAHUN 2024

Prestasi perdagangan Malaysia dijangka pulih pada tahun 2024 sejajar dengan unjuran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana jumlah perdagangan global dijangka berkembang sebanyak 3.3%.

Pada tahun 2024, perdagangan Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5% manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat sebanyak 5.1% dan 4.9% menurut Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh MOF. 

Permintaan yang berterusan bagi barangan E&E yang disokong oleh peningkatan kitaran dalam sektor tersebut adalah selari dengan unjuran dikeluarkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) yang menjangkakan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 13.1% pada tahun 2024. Dari segi pertumbuhan pasaran, penggunaan FTA khasnya RCEP dan CPTPP turut dilihat penting dalam membantu barangan Malaysia meneroka ke pasaran yang lebih luas seterusnya menyokong pertumbuhan eksport seperti ditekankan di dalam NIMP 2030 yang memberi tumpuan strategik kepada sektor berimpak dan bernilai tinggi.

Walau bagaimanapun, perdagangan dunia boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti ketidaktentuan yang timbul daripada ketegangan geopolitik yang berpanjangan, kemampuan dan kesediaan pengeksport dalam mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), gangguan rantaian bekalan dunia serta ketidakstabilan harga komoditi utama. Tahun 2024 turut dilihat sebagai tahun peralihan politik di mana pilihan raya utama akan diadakan di beberapa rakan dagang utama seperti AS, ROK, Indonesia dan India yang dilihat boleh memberi kesan yang ketara terhadap perdagangan dan hubungan antarabangsa.

 

# Nota:

  • Perlu diambil perhatian bahawa dari segi konsep, angka eksport dan import dalam perangkaan perdagangan luar negeri adalah berbeza daripada apa yang terdapat dalam akaun barangan untuk perhitungan imbangan pembayaran. Penyusunan perangkaan perdagangan antarabangsa biasanya dibuat berdasarkan rekod kastam yang mencerminkan pergerakan barangan fizikal dari satu sempadan ke sempadan yang lain, dan mengikut garis panduan antarabangsa mengenai konsep-konsep dan definisi-definisi contohnya International Merchandise Trade Statistics: Concepts and Definitions 2010 (IMTS 2010) yang berbeza dengan prinsipprinsip Sistem Akaun Negara (SNA) dan perhitungan Imbangan Pembayaran (BOP). Dalam SNA, barangan didefinisikan sebagai “barangan fizikal yang ada permintaan dan di mana hak milik boleh dikenal pasti serta hak miliknya boleh dipindahkan dari satu institusi ke institusi lain melalui pasaran”.
  • Ini adalah keluaran awalan, keterangan terperinci akan diterbitkan dalam laporan “PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BULANAN” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk kegunaan umum pada Jumaat, 26 Januari 2024 dan boleh dimuat turun melalui eStatistik di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam).
  • Data bulan Disember 2023 adalah provisional dan tertakluk kepada semakan/pindaan dalam keluaran berikutnya.
  • Mulai bulan rujukan April 2018, pemilihan kod untuk eksport dan import bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit telah dikaji semula serta dikemaskini untuk lebih mewakili barangan tersebut, dan ini telah menyebabkan sedikit perubahan pada data.
  • 22 rakan dagang FTA terdiri daripada China, Singapura, Jepun, Thailand, Republik Korea, Indonesia, India, Australia, Viet Nam, Filipina, New Zealand, Türkiye, Pakistan, Myanmar, Kemboja, Brunei, Chile, Lao PDR, Hong Kong SAR, Kanada, Mexico dan Peru.
  • Mulai bulan rujukan Februari 2020, United Kingdom tidak lagi menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
  • Bermula bulan rujukan Jun 2022, Harmonised Commodity description and Coding system 2022 (HS2022) yang juga dikenali sebagai Perintah Duti Kastam (PDK2022) telah digunakan dalam penyusunan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri (barangan). Klasifikasi ini menggantikan HS2017 yang digunapakai daripada April 2017 sehingga Mei 2022. Walau bagaimanapun, pengkelasan mengikut Standard International Trade Classification (SITC) Rev.4 masih digunakan dengan penyelarasan bersesuaian.
  • Jumlah tidak semestinya terhasil disebabkan pembundaran.