Prestasi Perdagangan Luar Bagi Bulan April 2024
EKSPORT MALAYSIA REKOD PENINGKATAN KETARA PADA APRIL 2024
Perdagangan April Naik 12.1%, Eksport Meningkat 9.1% Tahun ke Tahun, Tanda Pemulihan Perdagangan Global 2024 Lebih Kukuh
Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1% kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023. Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut.
Sejajar dengan pemulihan perdagangan global, eksport pada April 2024 meningkat 9.1% tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli. Dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China (China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia.
Import pada April 2024 meningkat 15.6% tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport. Untuk bulan yang ke 48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.7 bilion.
Empat bulan pertama tahun 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport, dan import.Perdagangan meningkat 8.3% kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport meningkat 3.8% kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7% kepada RM435.22 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.
Sementara itu, berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 dicatat lebih rendah masing-masing sebanyak 9.3%, 10.8%, 7.6% dan 39.4%. Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan ROC, ASEAN, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dari segi barangan, perdagangan yang lebih rendah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan gas asli cecair (LNG).
Eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4% tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion. Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Hong Kong SAR, Mexico dan Kanada, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.
Trend positif bagi perdagangan, eksport dan import Malaysia pada tempoh Januari hingga April 2024 sejajar dengan unjuran pemulihan perdagangan global. Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan barangan global dijangka akan meningkat 2.6% tahun ini setelah mengalami penguncupan pada 2023. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pemulihan mendadak dalam aliran barangan pada 2024 setelah mengalami kelembapan pada 2023.
IMF dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024 telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global lebih tinggi kepada 3.2% bagi 2024 (anggaran pada Januari 2024: 3.1%) berikutan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan di AS. Pertumbuhan KDNK Malaysia pula dijangka berkembang 4.4% pada 2024 (anggaran pada Januari 2024: 4.3%).
Selain itu, menurut International Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Ranking 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-27 sebagai negara paling berdaya saing dalam tadbir urus ekonomi (2022: kedudukan ke-32). Prestasi yang lebih baik dalam kedudukan kompetitif global ini akan merangsang perdagangan Malaysia, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menyokong perkembangan ekonomi Malaysia.
Pelaburan berjumlah RM329.5 bilion yang diluluskan pada 2023, nilai tertinggi yang pernah direkodkan, turut melibatkan projek perkilangan bernilai RM152 bilion. Sebaik sahaja projek perkilangan ini dilaksanakan kelak, ia dijangka akan melonjakkan perdagangan khasnya daripada sektor bernilai tinggi. Pelaburan modal jangka masa panjang dan berkualiti (patient and enduring capital) ini juga dilihat akan mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka lebih banyak ruang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya yang membekal kepada pengeksport lebih besar dan rantaian bekalan multinasional. Daripada 2,386 projek perkilangan yang diluluskan dari tahun 2021 hingga 2023, sebanyak 1,802 (75.5%) projek telah dilaksanakan, manakala 551 (23.1%) masih dalam peringkat perancangan (mengenal pasti lokasi dan perundingan dengan pemaju).
Prestasi Eksport Sektor Utama
Eksport Barangan Perkilangan dan Hasil Galian Kekal Pertumbuhan
Pada April 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.8% daripada jumlah eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun dua bulan berturut-turut, meningkat 7.1% kepada RM97.32 bilion. Kenaikan ini didorong oleh eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia serta barangan besi dan keluli.
Eksport hasil galian (7.2% syer) mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketiga bulan berturut-turut pada April 2024 dengan kenaikan dua digit 27.5% kepada RM8.22 bilion. Ini disumbangkan oleh peningkatan eksport petroleum mentah dan LNG.
Sementara itu, eksport keluaran pertanian (7.2% syer) pada April 2024 meningkat 13.8% tahun ke tahun kepada RM8.2 bilion setelah merekodkan penyusutan bagi dua bulan berturut-turut. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.
Barangan eksport utama pada April 2024:
- Barangan E&E, bernilai RM44.46 bilion dan merangkumi 38.8% daripada jumlah eksport, meningkat 0.6% berbanding April 2023;
- Keluaran petroleum, RM9.37 bilion, 8.2% daripada jumlah eksport, ↓18.6%; • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit , RM6.19 bilion, 5.4% daripada jumlah eksport, ↑13.7%;
- Kimia dan bahan kimia, RM5.89 bilion, 5.1% daripada jumlah eksport, ↑22.3%; dan • Barangan perkilangan logam, RM5.07 bilion, 4.4% daripada jumlah eksport, ↑9.5%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keluaran pertanian mengembang 5.5% manakala eksport barangan perkilangan dan hasil galian masing-masing menguncup 11.2% dan 21.4%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, eksport barangan perkilangan mengekalkan peningkatan dengan pertumbuhan 3.5% kepada RM403.61 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, berikutan eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam. Eksport hasil galian mengembang 8% kepada RM39.18 bilion disebabkan oleh kenaikan eksport petroleum mentah dan LNG manakala eksport keluaran pertanian meningkat 0.7% kepada RM31 bilion disokong oleh kenaikan eksport getah asli.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
ASEAN – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan Dua Digit
Pada April 2024, perdagangan dengan ASEAN yang mewakili 27.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit 14.1% tahun ke tahun kepada RM60.77 bilion. Eksport naik setelah mencatatkan penyusutan tahun ke tahun selama dua bulan, meningkat dua digit sebanyak 11.1% kepada RM34.3 bilion. Ini disokong oleh pertambahan eksport petroleum mentah, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia. Import dari ASEAN mengembang 18.2% kepada RM26.47 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
- Singapura RM18.24 bilion, meningkat 9%, tahun ke tahun; • Thailand RM4.83 bilion, ↑13.6%;
- Viet Nam RM4.16 bilion, ↑15.8%;
- Indonesia RM3.54 bilion, ↓13.4%;
- Filipina RM2.53 bilion, ↑48.2%;
- Brunei RM408.1 juta, ↑149.9%;
- Myanmar RM311.9 juta, ↑68.8%;
- Kemboja RM276.7 juta, ↑83.8%; dan
- Lao PDR RM5.2 juta, ↓56.5%.
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan peningkatan adalah Singapura yang naik sebanyak RM1.51 bilion berikutan pertambahan eksport barangan E&E, Thailand (↑RM578.3 juta, petroleum mentah) dan Viet Nam (↑RM566.2 juta, keluaran petroleum).
Berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang 6.8%, 8.8% dan 4%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, perdagangan dengan ASEAN meningkat 7.4% kepada RM246.46 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau ini naik 3.4% kepada RM141.22 bilion disokong oleh permintaan yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta petroleum mentah. Import dari ASEAN menokok 13.3% kepada RM105.24 bilion.
China – Eksport Pulih daripada Pertumbuhan Negatif Sejak Ogos 2023
Pada April 2024, perdagangan dengan China yang menyumbang 17.5% kepada jumlah perdagangan Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut turut sebanyak 13.9% tahun ke tahun kepada RM38.78 bilion. Eksport meningkat 2.1% kepada RM14.1 bilion, merupakan pertumbuhan positif pertama sejak Ogos 2023 disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan kertas dan palpa, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan logam. Import dari China naik 22% kepada RM24.68 bilion.
Berbanding Mac 2024, import mengembang 9.1% manakala perdagangan dan eksport masing-masing menurun 0.4% dan 13.7%.
Perdagangan dengan China pada Januari hingga April 2024 mengembang 5.9% kepada RM151.06 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Walau bagaimanapun, eksport menyusut 2% kepada RM58.6 bilion disebabkan oleh penurunan eksport barangan E&E. Meskipun mencatatkan pengurangan, eksport yang lebih tinggi telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, barangan perkilangan logam dan keluaran petroleum. Import dari China naik sebanyak 11.6% kepada RM92.46 bilion.
AS – Perdagangan, Eksport dan Import Kekal Kukuh
Perdagangan dengan AS pada April 2024 yang merangkumi 9.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 23.1% tahun ke tahun kepada RM21.92 bilion. Eksport mencatatkan peningkatan dua digit 17.3% kepada RM13.2 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan besi dan keluli. Import dari AS meningkat 33.1% kepada RM8.72 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import menokok 2% manakala perdagangan dan eksport masing-masing menyusut 7% dan 12.1%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, perdagangan dengan AS meningkat 14.7% kepada RM88.84 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport kekal kukuh, mencatatkan peningkatan dua digit 10.1% kepada RM55.28 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan E&E serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS mengembang 23.3% kepada RM33.57 bilion.
EU – Perdagangan, Eksport dan Import Pulih dengan Pertumbuhan Dua Digit
Pada April 2024, perdagangan dengan EU menyerap 8% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat dua digit sebanyak 13.3% tahun ke tahun kepada RM17.69 bilion. Eksport mengembang 11.3% kepada RM8.97 bilion setelah merekodkan penyusutan tahun ke tahun selama dua bulan berturut-turut, disebabkan oleh kenaikan eksport
minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, keluaran petroleum serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari EU naik 15.4% kepada RM8.72 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.2% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Belanda RM2.91 bilion, meningkat 2.8%, tahun ke tahun; • Jerman RM2.46 bilion, ↑21.2%
- Sepanyol RM634.6 juta, ↑33.0%;• Belgium RM626.7 juta, ↓5.0%;
- Perancis RM441.4 juta, ↓1.7%;
- tali RM433.5 juta, ↑20.8%;
- Poland RM293.3 juta, ↑43.6%;
- Hungary RM263.9 juta, ↑57.2%;
- Republik Czech RM173.3 juta, ↓6.3%; dan
- Sweden RM127.6 juta, ↑28.5%.
Eksport ke pasaran utama EU yang merekodkan pertumbuhan adalah Belanda, meningkat sebanyak RM78.9 juta disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, Jerman (↑RM431.1 juta, barangan E&E) dan Sepanyol (↑RM157.5 juta, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit).
Berbanding Mac 2024, import meningkat 4.6% manakala perdagangan dan eksport masing-masing mengurang 2.7% dan 8.9%.
Bagi tempoh empat bulan pertama 2024, perdagangan dengan EU naik 3.5% kepada RM70 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport menokok 0.6% kepada RM37.55 bilion hasil eksport yang kukuh bagi barangan E&E yang disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs) serta alat ganti dan aksesori bagi mesin pejabat. Import dari EU naik 7% kepada RM32.45 bilion.
Jepun – Perdagangan Meningkat pada April
Pada April 2024, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mengembang 5.5% kepada RM11.86 bilion berbanding April tahun lepas. Eksport menguncup 4.3% kepada RM5.75 bilion berikutan eksport yang lemah bagi barangan E&E, petroleum mentah serta kimia dan bahan kimia. Meskipun mencatatkan penurunan, kenaikan eksport telah direkodkan bagi LNG, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan kayu. Import dari Jepun bertambah 16.7% kepada RM6.12 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 0.7% manakala perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 14.6% dan 26.6%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, perdagangan dengan Jepun naik 0.3% kepada RM53.69 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport jatuh 0.2% kepada RM29.59 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, penyusutan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport petroleum mentah, barangan makanan diproses dan LNG. Import dari Jepun meningkat 0.9% kepada RM24.1 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada April 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 66.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 10.6% tahun ke tahun kepada RM148.13 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 4.4% kepada RM78.03 bilion manakala import naik sebanyak 18.4% kepada RM70.1 bilion.
Pertambahan eksport telah direkodkan ke Hong Kong SAR yang naik 9% kepada RM7.47 bilion, Mexico (↑9.4% kepada RM1.68 bilion) dan Kanada (↑81.2% kepada RM526.7 juta), disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.
Sementara itu, eksport ke India mengembang 10.5% kepada RM3.93 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport ke Chile meningkat 22% kepada RM39 juta berikutan kenaikan eksport barangan kayu dan eksport ke Türkiye naik 28.7% kepada RM2 bilion, disokong oleh pertambahan eksport barangan besi dan keluli.
Berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 7.2%, 11.7% dan 1.7%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA naik sebanyak 5.8% kepada RM604.16 bilion, eksport meningkat 1.3% kepada RM326.19 bilion dan import mengembang 11.7% kepada RM277.96 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Prestasi Import
Jumlah import pada April 2024 meningkat 15.6% tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74.8% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan pengantara, bernilai RM59.21 bilion atau 55.3% daripada jumlah import, meningkat 30.5% tahun ke tahun, berikutan kenaikan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM11.12 bilion atau 10.4% daripada jumlah import, mengembang 9.7%, disumbangkan oleh pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM9.75 bilion atau 9.1% daripada jumlah import, meningkat 19.5%, hasil peningkatan import barangan makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding Mac 2024, import pada April 2024 jatuh 7.6%. Import barangan pengantara dan barangan modal masing-masing menurun 0.2% dan 31.3%, manakala import barangan penggunaan naik 3.9%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2024, import meningkat 13.7% kepada RM435.22 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan pengantara naik 18.6% kepada RM232.78 bilion, barangan modal (↑36.9% kepada RM51.2 bilion) dan barangan penggunaan (↑15.8% kepada RM37.89 bilion).