Prestasi Perdagangan Luar Bagi Bulan Mei 2024
PERDAGANGAN MALAYSIA PADA MEI 2024 CECAH REKOD TERTINGGI DALAM TEMPOH 20 BULAN #
Pertumbuhan Dua Digit Hasilkan Nilai Perdagangan Tertinggi Sejak Oktober 2022, Tanda Pemulihan Kukuh bagi Perdagangan 2024
Perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan kukuh pada Mei 2024, mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 10.3% kepada RM246.31 bilion. Ini adalah nilai tertinggi dicatatkan sejak Oktober 2022 dan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut. Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, berkembang 7.3% kepada RM128.22 bilion. Sementara itu, import naik 13.8% kepada RM118.09 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Pertumbuhan eksport telah disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta barangan besi dan keluli. Eksport barangan E&E mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut. Tanda-tanda pemulihan ekonomi di pasaran eksport utama negara dapat dilihat apabila eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan peningkatan. Eksport ke ASEAN dan AS mencatatkan kenaikan ketara dengan pertumbuhan dua digit. Begitu juga, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 4.5% tahun ke tahun kepada RM87.64 bilion. Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Mexico dan Kanada, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.
Perdagangan, eksport dan import pada tempoh lima bulan pertama 2024 mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh tersebut. Perdagangan meningkat 8.7% kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport naik 4.5% kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7% kepada RM553.24 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini.
Sementara itu, berbanding April 2024, prestasi perdagangan pada Mei 2024 dilihat kukuh dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.1%, 11.8%, 10.4% dan 30.9%.
Bank Dunia dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2024, mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global meningkat 2.6% pada 2024 (unjuran pada Januari 2024: 2.4%) berikutan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan di AS. Ia juga menganggarkan pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat 4.3% pada 2024.
Mengorak langkah ke hadapan, sektor pembuatan Malaysia dilihat bersedia untuk tumbuh secara positif pada 2024, disokong oleh reformasi industri yang diterajui oleh MITI serta peningkatan dalam unjuran permintaan semikonduktor global yang memberangsangkan. Baru-baru ini, World Semiconductors Trade Statistics (WSTS) menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam pasaran semikonduktor global sebanyak 16% pada tahun 2024 berikutan prestasi lebih kukuh dalam penggunaan pengkomputeran. Malaysia disenaraikan sebagai pengeksport global ke-10 terbesar bagi barangan E&E dan pengeksport ke-6 terbesar bagi semikonduktor pada tahun 2023.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Eksport Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Kekal Pertumbuhan
Pada Mei 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.2% daripada jumlah eksport mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketiga bulan berturutturut, meningkat 8.3% kepada RM110.55 bilion. Peningkatan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan perkilangan logam serta barangan optik dan saintifik. Eksport barangan E&E mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut.
Eksport keluaran pertanian (7.1% syer) pada Mei 2024 mengekalkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun yang kedua bulan berturut-turut, naik 22.1% kepada RM9.07 bilion. Ini telah disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.
Sementara itu, eksport hasil galian (6% syer) menyusut 17.2% tahun ke tahun kepada RM7.68 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) kesan penurunan kuantiti dan harga.
Barangan eksport utama pada Mei 2024:
- Barangan E&E, bernilai RM50.14 bilion dan merangkumi 39.1% daripada jumlah eksport, meningkat 7.6% berbanding Mei 2023;
- Keluaran petroleum, RM11.25 bilion, 8.8% daripada jumlah eksport, ↓18.6%;
- Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.8 bilion, 5.3% daripada jumlah eksport, ↑25.7%;
- Kimia dan bahan kimia, RM6.31 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↑0.8%; dan • Barangan perkilangan logam, RM6.02 bilion, 4.7% daripada jumlah eksport, ↑27.6%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing meningkat sebanyak 13.6% dan 10.8%, namun eksport hasil galian menurun 6.6%.
Pada tempoh lima bulan pertama 2024, eksport barangan perkilangan mengekalkan pertumbuhan dengan mencatatkan kenaikan 4.5% kepada RM514.14 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam. Eksport hasil galian meningkat 2.9% kepada RM46.86 bilion disokong oleh eksport petroleum mentah yang kukuh manakala eksport keluaran pertanian mengembang 4.8% kepada RM40.06 bilion berikutan peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
ASEAN – Eksport Kekal Kukuh dengan Pertumbuhan Dua Digit
Pada Mei 2024, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 27.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia mengembang 7.6% tahun ke tahun kepada RM68.44 bilion. Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit yang kedua bulan berturut-turut, naik 10.4% kepada RM40.14 bilion disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan besi dan keluli. Import dari ASEAN naik 3.9% kepada RM28.3 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
|
RM22.27 bilion, meningkat 13.7%, tahun ke tahun; |
|
RM4.81 bilion, ↑17.6%; |
|
RM4.52 bilion, ↓11.5%; |
|
RM4.30 bilion, ↑2.6%; |
|
RM2.97 bilion, ↑36.1%; |
|
RM518.9 juta, ↑26.2%; |
|
RM445.5 juta, ↓4.7%; |
|
RM287.8 juta, ↓5.1%; dan |
|
RM5.1 juta, ↓55.2%. |
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan adalah Singapura yang meningkat sebanyak RM2.69 bilion tahun ke tahun disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, Viet Nam (↑RM719.6 juta) dan Indonesia (↑RM109.6 juta), masing-masing disokong oleh pertambahan eksport keluaran petroleum.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing mengembang sebanyak 12.5%, 16.8% dan 7%.
Pada tempoh lima bulan pertama 2024, perdagangan dengan ASEAN meningkat 7.5% kepada RM314.95 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau ini naik 4.9% kepada RM181.43 bilion berikutan permintaan yang tinggi bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan besi dan keluli. Import dari ASEAN bertambah 11.2% kepada RM133.51 bilion.
China – Eksport Kekal Pertumbuhan bagi Dua Bulan Berturut-turut
Pada Mei 2024, perdagangan dengan China yang merangkumi 17% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan kenaikan dua digit tahun ke tahun sebanyak 13.2% kepada RM41.94 bilion, merupakan pertumbuhan positif yang ketiga bulan berturut-turut. Eksport naik dua bulan berturut-turut, meningkat 1.6% kepada RM15.73 bilion disokong oleh permintaan yang tinggi bagi barangan kertas dan palpa, keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari China bertambah 21.5% kepada RM26.2 bilion.
Berbanding April 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 8.1%, 11.5% dan 6.2%.
Perdagangan dengan China pada Januari hingga Mei 2024 naik 7.4% kepada RM192.99 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Walau bagaimanapun, eksport mengurang 1.3% kepada RM74.33 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport barangan E&E. Meskipun mencatatkan pengurangan, peningkatan eksport telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, barangan perkilangan logam dan keluaran petroleum. Import dari China menokok 13.6% kepada RM118.66 bilion.
AS – Barangan E&E Pacu Pertumbuhan Eksport
Perdagangan dengan AS pada Mei 2024 yang mewakili 11% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 30.5% tahun ke tahun kepada RM27.02 bilion. Eksport mengekalkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut, mengembang 17.4% kepada RM16.09 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari AS meningkat 56.4% kepada RM10.93 bilion.
Berbanding April 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.2%, 21.9% dan 25.3%.
Pada tempoh lima bulan pertama 2024, perdagangan dengan AS meningkat 18.1% kepada RM115.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport kekal kukuh, mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6% kepada RM71.37 bilion disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS meningkat 30% kepada RM44.49 bilion.
EU – Perdagangan, Eksport dan Import Kekal Kukuh
Pada Mei 2024, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi dua bulan berturutturut, naik 10.1% tahun ke tahun kepada RM18.72 bilion. Eksport meningkat 7.2% kepada RM9.81 bilion, disebabkan oleh pertambahan eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia. Import dari EU naik sebanyak 13.4% kepada RM8.91 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.4% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
|
RM3.03 bilion, meningkat 11.6%, tahun ke tahun; |
|
RM2.64 bilion, ↑4.1%; |
|
RM670.0 juta, ↑40.5%; |
|
RM667.0 juta, ↓10.8%; |
|
RM595.4 juta, ↑4.6%; |
|
RM527.1 juta, ↓13.0%; |
|
RM316.2 juta, ↑22.9%; |
|
RM270.0 juta, ↑50.4%; |
|
RM221.8 juta, ↑44.8%; dan |
|
RM122.9 juta, ↓24.8% |
Eksport ke pasaran utama EU yang merekodkan pertumbuhan adalah Belanda, meningkat sebanyak RM314.9 juta tahun ke tahun, disebabkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, Jerman (↑RM105 juta), Itali (↑RM193.2 juta) dan Sepanyol (↑RM26.2 juta), dipacu oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing bertambah sebanyak 5.8%, 9.4% dan 2.2%.
Pada tempoh Januari hingga Mei 2024, perdagangan dengan EU naik 4.8% kepada RM88.73 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport meningkat 1.9% kepada RM47.36 bilion hasil kenaikan eksport barangan E&E. Import dari EU mengembang 8.4% kepada RM41.37 bilion.
Jepun – Eksport Pulih Setelah Catat Penyusutan Dua Bulan Berturut-turut
Pada Mei 2024, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 0.9% kepada RM13.56 bilion berbanding Mei tahun lepas. Eksport menokok 2.4% kepada RM7.34 bilion setelah mengalami penurunan dua bulan berturut-turut disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan optik dan saintifik, barangan makanan diproses dan keluaran petroleum. Import dari Jepun menyusut 0.8% kepada RM6.22 bilion.
Berbanding April 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 14.4%, 27.7% dan 1.9%.
Pada tempoh Januari hingga Mei 2024, pertumbuhan perdagangan dengan Jepun kekal positif dengan peningkatan sebanyak 0.4% kepada RM67.24 bilion berbanding lima bulan pertama tahun 2023. Eksport naik 0.3% kepada RM36.94 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi petroleum mentah, barangan makanan diproses serta barangan optik dan saintifik. Import dari Jepun naik 0.5% kepada RM30.3 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Mei 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 65.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.5% tahun ke tahun kepada RM161.2 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA bertambah 4.5% kepada RM87.64 bilion manakala import naik 6.6% kepada RM73.56 bilion.
Peningkatan eksport telah direkodkan ke India yang naik sebanyak 26.4% tahun ke tahun kepada RM5.07 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, Mexico (↑17.6% kepada RM1.58 bilion) dan Kanada (↑124.4% kepada RM812 juta), berikutan kenaikan eksport barangan E&E. Eksport ke Turkiye melonjak 46% kepada RM2.05 bilion, hasil pertambahan eksport barangan besi dan keluli dan eksport ke Chile melonjak 99% kepada RM89.3 juta, disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kimia dan bahan kimia.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing meningkat sebanyak 8.9%, 12.4% dan 5%.
Pada tempoh Januari hingga Mei 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA naik 5.7% kepada RM765.29 bilion, eksport bertambah 1.9% kepada RM413.81 bilion dan import meningkat 10.6% kepada RM351.48 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Prestasi Import
Jumlah import pada Mei 2024 naik 13.8% tahun ke tahun kepada RM118.09 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 78.1% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan pengantara, bernilai RM68.13 bilion atau 57.7% daripada jumlah import, meningkat 24.1% tahun ke tahun, berikutan peningkatan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM13.9 bilion atau 11.8% daripada jumlah import, melonjak 40.5%, disebabkan oleh pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM10.17 bilion atau 8.6% daripada jumlah import, mengembang 14.7%, hasil kenaikan import barang tahan lama.
Berbanding April 2024, import pada Mei 2024 meningkat 10.4%. Import bagi barangan pengantara, barangan modal dan dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 15.1%, 26.3% dan 4.3%.
Pada tempoh lima bulan pertama 2024, import mengembang 13.7% kepada RM553.24 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan pengantara bertambah 19.8% kepada RM300.89 bilion, barangan modal (↑37.4% kepada RM64.98 bilion) dan barangan penggunaan (↑15.5% kepada RM48.06 bilion).
Nota:
- Perlu diambil perhatian bahawa dari segi konsep, angka eksport dan import dalam perangkaan perdagangan luar negeri adalah berbeza daripada apa yang terdapat dalam akaun barangan untuk perhitungan imbangan pembayaran. Penyusunan perangkaan perdagangan antarabangsa biasanya dibuat berdasarkan rekod kastam yang mencerminkan pergerakan barangan fizikal dari satu sempadan ke sempadan yang lain, dan mengikut garis panduan antarabangsa mengenai konsep-konsep dan definisidefinisi contohnya International Merchandise Trade Statistics: Concepts and Definitions 2010 (IMTS 2010) yang berbeza dengan prinsip-prinsip Sistem Akaun Negara (SNA) dan perhitungan Imbangan Pembayaran (BOP). Dalam SNA, barangan didefinisikan sebagai “barangan fizikal yang ada permintaan dan di mana hak milik boleh dikenal pasti serta hak miliknya boleh dipindahkan dari satu institusi ke institusi lain melalui pasaran”.
- Ini adalah keluaran awalan, keterangan terperinci akan diterbitkan dalam laporan “PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BULANAN” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk kegunaan umum pada Jumaat, 28 Jun 2024 dan boleh dimuat turun melalui eStatistik di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam).
- Siaran media ini boleh diakses daripada portal Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (http://www.miti.gov.my) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (http://www.matrade.gov.my).
- Data bulan Mei 2024 adalah provisional dan tertakluk kepada semakan/pindaan dalam keluaran berikutnya.
- Mulai bulan rujukan April 2018, pemilihan kod untuk eksport dan import bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit telah dikaji semula serta dikemaskini untuk lebih mewakili barangan tersebut, dan ini telah menyebabkan sedikit perubahan pada data.
- 22 rakan dagang FTA terdiri daripada China, Singapura, Jepun, Thailand, Republik Korea, Indonesia, India, Australia, Viet Nam, Filipina, New Zealand, Türkiye, Pakistan, Myanmar, Kemboja, Brunei, Chile, Lao PDR, Hong Kong SAR, Kanada, Mexico dan Peru.
- Mulai bulan rujukan Februari 2020, United Kingdom tidak lagi menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
- Bermula bulan rujukan Jun 2022, Harmonised Commodity description and Coding system 2022 (HS2022) yang juga dikenali sebagai Perintah Duti Kastam (PDK2022) telah digunakan dalam penyusunan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri (barangan). Klasifikasi ini menggantikan HS2017 yang digunapakai daripada April 2017 sehingga Mei 2022. Walau bagaimanapun, pengkelasan mengikut Standard International Trade Classification (SITC) Rev.4 masih digunakan dengan penyelarasan bersesuaian.
- WTO merujuk kepada perdagangan barangan manakala IMF merujuk kepada barangan dan perkhidmatan.
- Jumlah tidak semestinya terhasil disebabkan pembundaran.