KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2025 (JUMAAT) - Susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh YAB Perdana Menteri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menegaskan komitmen utuh dalam menyokong aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. RMK13 dilihat mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan perdagangan luar, khususnya sektor eksport, sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Sebagai agensi promosi perdagangan utama negara, MATRADE akan terus memainkan peranan strategik dalam memperluas jaringan dagang global, memperhebat promosi eksport dalam sektor-sektor berimpak tinggi yang sejajar dengan prinsip Ekonomi MADANI.
Pendekatan MATRADE di bawah RMK13
- Sasaran Eksport Barangan Dagangan
MATRADE menyokong sasaran pertumbuhan eksport kasar negara pada kadar purata 5.8 peratus setahun, dengan matlamat mencapai RM2.09 trilion menjelang 2030. Usaha akan dilonjakkan melalui padanan perniagaan, penyertaan pameran antarabangsa, promosi perdagangan digital, dan pembinaan jenama ‘Made by Malaysia’ di pasaran utama serta pasaran baharu.
- Sasaran Penskalaan PMKS
Sebagai tulang belakang ekonomi negara, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan digerakkan bagi mencapai pertumbuhan purata eksport tahunan antara 6 hingga 7 peratus sepanjang RMK13. MATRADE akan memperluas program pemadanan eksport, bimbingan pasaran luar negara, serta menyediakan program pembangunan kapasiti seperti seminar, bengkel dan kursus berkaitan kepada PMKS.
- Sasaran Industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV)
MATRADE mengambil langkah-langkah strategik dalam merancang program pembangunan dan promosi eksport yang sejajar dengan aspirasi kerajaan terutama dalam membangun industri HGHV yang merangkumi sektor elektrik dan elektronik (E&E), animasi dan permainan digital, Halal, pertanian moden, perkhidmatan global, dan francais. Penekanan diberi kepada mempromosikan eksport produk bernilai tinggi, pemerkasaan IP dan penjenamaan global agar Malaysia dikenali sebagai pengeluar pintar dan kompetitif.
Langkah-langkah pelengkap strategik:
- Memperluas Jaringan Perdagangan Global
MATRADE akan menumpukan kepada penerokaan pasaran baharu berpotensi tinggi seperti Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur. Usaha ini melibatkan peningkatan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas, program padanan perniagaan serta misi akselerasi eksport.
- Pengenalan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) 2.0
NTBp 2.0 akan menjadi dokumen hala tuju strategik baharu bagi menyelaras dasar, meningkatkan kecekapan pelaksanaan, dan memperkukuh ekosistem eksport. Ini termasuk pendigitalan proses perdagangan, penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) dan pemudahcaraan eksport PMKS.
Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bahawa MATRADE menyambut baik pengumuman dasar ekonomi negara oleh kerajaan.
“Inisiatif MATRADE akan diselaras untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam RMK13 ini. Keutamaan akan diberikan kepada memperkukuh daya saing eksport negara melalui pemerkasaan PMKS, penerokaan pasaran baharu, meningkatkan inovasi produk, serta penyesuaian kepada landskap perdagangan global yang semakin kompleks dan mencabar dengan mengadaptasi perniagaan berasaskan teknologi digital dan lestari.”
Beliau turut menambah bahawa usaha ini selaras dengan aspirasi RMK13 yang menekankan kepentingan memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan eksport, pengukuhan keterangkuman ekonomi, serta penyerapan teknologi dan inovasi dalam sektor strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata “Program Promosi Eksport memberi tumpuan kepada sektor utama seperti barangan elektrik dan elektronik, Halal, digital, pertanian, francais serta perkhidmatan. Usaha ini turut memanfaatkan rangkaian pejabat MATRADE di luar negara dalam membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih efektif.”
“MATRADE sentiasa menyokong agenda nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai negara perdagangan berpendapatan tinggi dan menyumbang dalam memperkukuh rantaian nilai global,” katanya lagi.
RMK13 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan, serta berteraskan kerangka Ekonomi MADANI, memperkukuh keutamaan negara dalam mencipta nilai, mempercepatkan pendigitalan dan mengangkat jenama ‘Made by Malaysia’ ke persada dunia. MATRADE kekal sebagai pemacu utama ke arah menjadikan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.