KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2025 (Jumaat) – Hari Eksport Selangor 2025 akan kembali untuk edisi ketiganya pada 25 dan 26 Ogos 2025 bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan turut disertai oleh rakan strategik dari Maybank, Affin Bank Berhad, Redly dan Exim Bank Malaysia.
Hari Eksport Selangor 2025 akan dirasmikan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor dan turut disertai YBrs. Haji Suhaimi Haji Kasdon, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat), PKNS. Turut akan hadir pada hari tersebut adalah YBhg. Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MATRADE.
“Hari Eksport Selangor bukan sahaja sebuah platform untuk menembusi pasaran antarabangsa, tetapi juga medan untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Selangor. PMKS adalah tulang belakang ekonomi negeri dan dengan sokongan strategik serta pendedahan kepada pasaran global, mereka mampu melonjakkan potensi eksport yang lebih mampan,” ujar YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi.
“Dalam era ekonomi digital hari ini, saya percaya bahawa keupayaan usahawan untuk mengadaptasi teknologi baharu, memanfaatkan e-Dagang dan menggunakan data pasaran akan menjadi penentu daya saing mereka. Justeru, usaha kolaboratif antara MATRADE dan kerajaan negeri melalui Hari Eksport Selangor ini penting untuk memastikan PMKS kita bukan sahaja bertahan, malah mampu berkembang pesat sebagai pengeksport berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau.
Hari Eksport Selangor 2025 dijangka akan menghimpunkan lebih dari 200 usahawan/ syarikat yang berdaftar di Selangor terutamanya PMKS dari pelbagai sektor industri. Program ini berpotensi untuk membuka peluang bagi usahawan-usahawan ini meneroka dan mengembangkan pasaran eksport, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai salah sebuah negeri pengeksport utama negara.
“Dengan nilai eksport mencecah RM357.06 bilion pada tahun 2024, dan peningkatan eksport sebanyak 7.3% berbanding tahun sebelumnya, Selangor terus menjadi pemacu utama dalam aspirasi perdagangan negara,” kata YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE.
“Hari Eksport Selangor bukan sekadar satu program usahawan biasa, ia merupakan satu platform untuk para usahawan saling berhubung, berkongsi idea, berinovasi dan mencetuskan idea dan inspirasi. Saya menyeru semua usahawan terutamanya di Selangor untuk merebut peluang berharga ini bagi mendapatkan informasi-informasi terkini berkaitan eksport dalam mempersiapkan diri ke pasaran global,” tambah beliau.
Program ini akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk klinik khidmat nasihat pengeksport, taklimat peluang pasaran antarabangsa, sesi perkongsian kisah kejayaan pengeksport serta kemudahan kewangan dan geran untuk pengeksport.