Menerokai Bidang Aeroangkasa & MRO di Peringkat Antarabangsa Melalui MATRADE
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya mengetengahkan kebolehan Malaysia sebagai negara pembekal komponenaeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di peringkat antarabangsa. Kebolehan Malaysia dalam bidang aeroangkasa terbukti melalui kejayaan syarikat – syarikat Malaysia membekalkan perkhidmatan kejuruteraan yang berkualiti tinggi, berpengalaman membaikpulih pesawat tentera dan komersial serta bekalan komponen – komponen pesawat kepada syarikat – syarikat aeroangkasa dari luar negara.
Untuk meningkatkan lagi keupayaan Malaysia dalam industri aeroangkasa dan MRO, MATRADE buat julung kalinya akan mengadakan program bertaraf antarabangsa iaitu Kuala Lumpur International Aerospace & Defence Business Convention pada 23 – 25 Jun 2014 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur. Acara yang diadakan bersama BCI Aerospace dari Perancis ini menyediakan peluang yang baik untuk syarikat – syarikat Malaysia menjalinkan hubungan langsung dan meningkatkan potensi perniagaan dengan syarikat – syarikat aeroangkasa yang terkenal dari seluruh dunia.
Program kemuncak semasa konvensyen perniagaan ini adalah sesi padanan perniagaan anjuran MATRADE untuk syarikat – syarikat Malaysia dengan pembeli-pembeli dari luar negara. Acara ini akan menemukan pengeksport tempatan dengan golongan professional dari industri aeroangkasa, pengendali syarikat penerbangan serta pengeluar komponen pesawat OEM untuk menerokai peluang perniagaan di arena global.
Menyedari pertumbuhan pesat industri aeroangkasa dan MRO, untuk tahun 2014 MATRADE menganjurkan tiga program galakan pemasaran khusus ke pasaran antarabangsa iaitu di Singapura (11 – 16 Februari), Farnborough Airshow 2014 di United Kingdom (14 – 16 Julai) serta Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi bersempena dengan Middle East Business Aviation (MEBA) pada 8 – 10 Disember.
Program eksport aeroangkasa yang telah diadakan di Singapura bersempena dengan pameran Singapore Airshow 2014 telah berjaya menjana jualan sebanyak RM61.6 juta untuk pelbagai produk dan perkhidmatan seperti kejuruteraan aeroangkasa, penukaran reka bentuk dalaman pesawat, perkhidmatan MRO, operasi tetap asas (FBO), integrasi sistem avionik, produk dan perkhidmatan peranti keselamatan, program pembangunan modal insan, dan pembuatan komponen.
Melangkah ke hadapan, Malaysia berpotensi baik untuk muncul sebagai hab aeroangkasa bagi rantau Asia Tenggara, sekaligus menjadi platform untuk mencapai tahap sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
Eksport aeroangkasa Malaysia pada tahun 2013 telah mencecah RM2.39 billion berbanding RM2.24 bilion pada tahun 2012. Negara-negara utama yang mengimport dari Malaysia adalah Singapura dengan jumlah sebanyak RM0.58 bilion; Amerika Syarikat, RM0.57 bilion and United Kingdom RM0.48 bilion. Pada tahun 2012 industri aeroangkasa menyumbang RM30.3 bilion atau sekitar 3.2% daripada KDNK Negara dan mempunyai jumlah tenaga kerja seramai 65,000 orang.
MATRADE akan terus membimbing syarikat-syarikat Malaysia untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa menerusi program seminar peningkatan kemahiran dan juga mempromosikan industri ini menerusi aktiviti-aktiviti promosi perdagangan khusus di peringkat antarabangsa. Salah satu syarikat SME Malaysia yang telah berjaya dalam bidang aeroangkasa adalah syarikat MyCopter Aviation Services Sdn Bhd. Perkhidmatan yang di tawarkan oleh syarikat ini termasuklah membekal komponen gantian dan membuat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter. Syarikat ini telah berjaya menembusi pasaran Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, UAE dan Qatar.
Selain daripada itu, syarikat Destini Prima Sdn Bhd turut aktif menyertai program – program MATRADE seperti misi pemasaran aeroangkasake Perancis, UAE dan Singapura.Syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam membekalkan dan menyelenggara kelengkapan alat keselamatan dalam pesawat penerbangan ini sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran lantikan sebagai wakil pengedar tunggal bagi beberapa jenama antarabangsa untuk pasaran Asia Tenggara.
Perkhidmatan MRO yang disediakan oleh MAS Engineering dan Airod Aerospace Technology Sdn Bhd juga memberi sumbangan penting dalam pembangunan sektor MRO di Malaysia dan serantau.
Melalui usaha-usaha yang berterusan oleh MATRADE, industri aeroangkasa dan MRO Malaysia akan terus dapat berdaya saing dan sekaligus menyumbang kepada peratusan hasil eksport negara yang lebih baik. Syarikat – syarikat Malaysia boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program – program yang dilaksanakan oleh MATRADE melalui laman web www.matrade.gov.my
Sebanyak 15 syarikat aeroangkasa dan MRO Malaysia telah berjaya menjana jualan sebanyak RM61.6 juta melalui penyertaan dalam Misi Pemasaran Khusus ke Singapura anjuran MATRADE yang diadakan bersempena pameran Singapore Airshow 2014.