SYARIKAT PANTAI TIMUR HADIRI BENGKEL PERTINGKAT KEMAHIRAN BERUNDING

RABU, 1 JUN, 2016, KUANTAN: Dalam usaha memberi lebih pendedahan kepada pengusaha di Pantai Timur, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menganjurkan satu Bengkel Kemahiran Berunding dan Berkomunikasi Dalam Perniagaan Antarabangsa (International Business Communication & Negotiation Skill)” di Rocana Hotel, Kuantan, Pahang. Bengkel ini dihadiri usahawan-usahawan di Pantai Timur termasuklah dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bengkel ini diadakan untuk meningkatkan lagi kemahiran para usahawan Pantai Timur semasa membuat proses perundingan dengan syarikat-syarikat luar negara terutamanya dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa. Selain daripada itu, bengkel ini juga bertujuan untuk membimbing para usahawan meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi secara menyeluruh.

Penceramah yang mengelolakan bengkel ini ialah En. Azman Zainal Khatib yang merupakan Pengarah Urusan Comprehensive Training and Consultancy Sdn Bhd, yang pernah berkhidmat sebagai Perunding Kewangan di Price Waterhouse Coopers.

Menerusi bengkel ini, penceramah menerangkan beberapa topik penting termasuklah komunikasi secara efektif dalam perniagaan antarabangsa, strategi dan kemahiran perundingan dalam perniagaan antarabangsa serta strategi-strategi pemasaran.

“Setelah berakhirnya bengkel ini, diharap para usahawan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran untuk berkomunikasi yang lebih efektif dalam memastikan mereka berjaya membuat impak positif dalam rundingan perniagaan mereka. Melalui proses perundingan yang strategik, usahawan tempatan akan mampu mengembangkan perniagaan eksport masing-masing dan ini akan memberi manfaat yang besar buat syarikat tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Dzulkifli Mahmud.

Bengkel anjuran MATRADE ini adalah sebahagian daripada program pembangunan kapasiti buat syarikat tempatan. Tahun ini, MATRADE akan menganjurkan sekurang-kurangnya 65 program pembangunan kapasiti. Secara keseluruhan, MATRADE akan mengajurkan 150 program untuk tahun ini, di mana 85 adalah aktiviti promosi eksport.

Program-program ini diharap akan mampu meningkatkan sumbangan eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana kepada 23 peratus menjelang tahun 2020 berbanding sumbangan 19 peratus sekarang. Syarikat-syarikat Malaysia disaran untuk berhubung dengan MATRADE untuk mendapatkan konsultasi eksport secara percuma dalam mempromosikan jenama mereka ke pasaran global.