MATRADE Tingkat Keupayaan Usahawan Wanita Sebagai Jaguh Eksport
KHAMIS, 16 MAC 2017, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menganjurkan 'Program Bimbingan MATRADE Bersama Usahawan Wanita' hari ini untuk mendedahkan kepada usahawan-usahawan wanita tempatan program-program MATRADE dan INSKEN yang boleh membantu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.
Program yang dirasmikan YB Dato' Dr. Noraini Ahmad, Pengerusi MATRADE memberi pencerahan kepada topik pembangunan keusahawanan dan kaedah mengeksport produk serta perkhidmatan ke luar negara. Selain itu, salah satu syarikat yang aktif menyertai program-program anjuran MATRADE, syarikat Dunia Herbs Sdn Bhd, telah berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan syarikat tersebut kepada para peserta yang hadir. Segmen ini bertujuan memberi motivasi kepada usahawan-usahawan wanita untuk lebih bersedia dan kompetitif dalam menembusi pasaran global.
Di acara tersebut, MATRADE telah memberi pendedahan tentang Program WEDP yang diperkenalkan MATRADE kepada peserta. Sejak tahun 2004 sehingga 2016, program ini telah membimbing sebanyak 120 syarikat milikan wanita yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Pada tahun 2016, sebanyak 11 syarikat milikan wanita telah diserap masuk ke dalam program WEDP dan berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM132.33 juta. Kebanyakan syarikat-syarikat ini adalah daripada sektor makanan & minuman, gaya hidup dan teknologi maklumat (ICT).
Selain itu, MATRADE juga memberi penerangan tentang Program eTRADE yang bertujuan untuk menggalakkan syarikat-syarikat tempatan menggunakan platform e-dagang bagi meningkatkan jualan eksport mereka. Melalui Program eTRADE, syarikat-syarikat yang terpilih layak menerima insentif sebanyak RM2,500 untuk menyenaraikan jenama mereka di laman edagang terkemuka dunia seperti Alibaba.com, Amazon.com dan JD.com. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan latihan daripada laman e-dagang tersebut. Program eTRADE ini diharap dapat membantu meningkatkan dan memperluaskan penampilan syarikat-syarikat tempatan di pasaran antarabangsa, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan sumbangan eksport PKS daripada 17.6% kepada 23% menjelang 2020. Penglibatan wanita dalam perniagaan antarabangsa juga adalah seiring dengan Pelan Induk PKS ASEAN 2016 yang menekankan inklusiviti dalam perniagaan global di kalangan wanita.
"Sebagai agensi galakan eksport negara, MATRADE akan terus menggiatkan usaha untuk melibatkan wanita dalam aktiviti eksport. Saya ingin menyarankan syarikat-syarikat wanita di Malaysia untuk berdaftar sebagai ahli MATRADE untuk memulakan langkah dalam industri eksport, " kata Dato' Dr. Noraini Ahmad.
Sebagai ahli MATRADE, syarikat akan mendapat maklumat peluang penyertaan di dalam aktiviti galakan perdagangan seperti padanan perniagaan (business matching) selain mendapat akses kepada maklumat-maklumat terkini perdagangan dan pasaran melalui medium 'Trade Leads', 'Market Alert', 'MATRADE Online News' yang disediakan MATRADE. Mereka juga perlu memanfaatkan fasiliti seperti Pusat Informasi Perniagaan dan Pusat Integrasi Eksport yang terletak di Menara MATRADE.
Sehingga pertengahan bulan Mac 2017, terdapat lebih kurang 19,000 syarikat Malaysia telah berdaftar dengan MATRADE dan daripada jumlah tersebut, 14% merupakan pengeksport wanita.
Program yang diadakan di Menara MATRADE hari ini telah dihadiri oleh seramai 100 peserta termasuk usahawan-usahawan wanita yang menyertai Program Wanita Kreatif Fest yang berlangsung tahun lepas. Program Wanita Kreatif Fest merupakan program tahunan dengan objektif untuk meningkatkan prestasi dan kreativiti di kalangan usahawan wanita melalui aktiviti-aktiviti seperti padanan perniagaan, sesi Bicara Niaga atau Biz Sharing Talk, pitching session, aktiviti jualan bazaar, pameran kerjaya, acara pentas, lelongan amal dan persembahan kebudayaan.
Program taklimat yang diadakan hari ini merupakan salah satu usaha Kerajaan di bawah Kempen Beyond Nations MATRADE yang telah dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak pada 1 September 2016. Program ini bertujuan untuk 'merakyatkan eksport' dan menambah jumlah pengeksport negara daripada semua golongan masyarakat terutamanya wanita.