Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
KUALA LUMPUR, 6 OGOS 2026 (KHAMIS) – MATRADE dalam memperkukuh agenda kelestarian bangunan awam dan menyokong ekonomi kitaran (circular economy) negara, telah melancarkan Program 5R dan Pengkomposan Sisa Makanan MATRADE Lestari pada 4 Ogos 2026. Ini merupakan kemuncak daripada aktiviti-aktiviti berterusan yang dijalankan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada bulan Jun setiap tahun.
Berpandukan teras utama Dasar Alam Sekitar Negara (DASN), inisiatif ini menyaksikan pakatan strategik unik terjalin antara MATRADE, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), serta METCO, pihak pengurusan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Melalui program berimpak tinggi ini, anggaran sebanyak 50 kilogram sisa makanan diasingkan setiap hari daripada premis operator makanan di bangunan MATRADE & MITEC dan menyasarkan sebanyak 16.8 tan sisa makanan diasingkan dalam tempoh setahun.
Sisa pepejal domestik yang dikumpulkan seperti lebihan makanan, sisa sayuran, dan kulit buah-buahan diproses menggunakan mesin pengkomposan bioteknologi. Proses ini seterusnya menghasilkan baja organik mesra alam premium yang dikenali sebagai Baja Kompos Eko MATRADE. Daripada inisiatif ini, MATRADE dijangka akan menjimatkan kos belian baja bagi kegunaan landskap dan tanaman sekitar bangunan MATRADE dan MITEC sebanyak RM700 sebulan atau RM8,400 setahun.
Inisiatif ini turut menyokong usaha menyelenggara sisa pepejal domestik negara secara keseluruhan. Malaysia menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, bersamaan dengan lebih kurang 3,000 buah lori sampah. Daripada jumlah tersebut, sekitar 17,000 tan atau 44.5% merupakan kategori sisa makanan.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, purata penjanaan sisa makanan oleh isi rumah dianggarkan mencecah sehingga 97.3 kilogram bagi setiap orang setahun. Namun begitu, dianggarkan hampir 4,000 tan sisa makanan yang dijana setiap hari sebenarnya masih boleh dielakkan daripada dibazirkan.
YBhg. Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE berkata, "MATRADE sentiasa komited dalam memacu amalan pengurusan fasiliti mampan. Kerjasama bersama SWCorp dan pihak pengurusan MITEC bukan sahaja membantu kami menguruskan sisa secara sistematik, malah mencipta peluang bagi sisa daripada industri acara dan domestik menjadi sumber bernilai tinggi. Ini adalah langkah konkrit ke arah menjadikan MATRADE dan MITEC bangunan lestari bertaraf dunia."
"Sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, MATRADE bukan sahaja menggalakkan pengeksport Malaysia mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa, malah turut menerapkan amalan tersebut dalam operasi harian organisasi.” tambah beliau.
Inisiatif seperti pengkomposan sisa makanan dan amalan 5R mencerminkan komitmen berterusan MATRADE membudayakan kelestarian dalam kalangan warga kerja dan penyewanya, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11, 12, 13 dan 15 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada budaya kelestarian di premis-premis milik kerajaan dan swasta demi masa depan negara yang lebih mampan.
Menurut Encik Nordin bin Amat, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, kejayaan pengurusan sisa yang mampan bukan sahaja bergantung pada kemudahan dan teknologi, malah memerlukan komitmen seluruh warga premis untuk melaksanakan pengasingan sisa secara konsisten. SWCorp Wilayah Persekutuan akan terus memberikan bimbingan teknikal, pemantauan dan pendidikan berterusan agar amalan ini dapat dibudayakan serta dijadikan contoh amalan terbaik untuk diperluaskan ke semua premis kerajaan, korporat dan pusat perdagangan lain, selaras dengan aspirasi “Sisa Menjadi Sumber”.
Menurut Puan Mala Dorasamy, Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, "MITEC berbesar hati menjadi rakan strategik kepada MATRADE dan SWCorp dalam menjayakan Program 5R dan Pengkomposan Sisa Makanan MATRADE Lestari. Kerjasama ini bukan sahaja mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan, malah memperkukuh amalan ekonomi kitaran serta menyokong agenda ESG melalui tindakan yang memberi impak jangka panjang."
"Sebagai pusat perdagangan dan pameran antarabangsa yang mengendalikan pelbagai acara berskala besar, MITEC komited menyokong inisiatif ini melalui melalui pengasingan sisa makanan daripada operasi harian kami untuk diproses menjadi baja kompos. Kami percaya industri acara mempunyai peranan penting dalam memacu amalan ekonomi kitaran dan menggalakkan pengurusan sisa yang lebih lestari. Selaras dengan komitmen terhadap agenda ESG dan inisiatif #myWorld, kami akan terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memacu ekosistem industri acara yang lebih lestari, bertanggungjawab dan berdaya tahan."
Kerjasama pintar ini mengintegrasikan peranan setiap pihak secara holistik:
MATRADE bertindak sebagai peneraju pelaksanaan dan penggerak budaya kesedaran hijau di tempat kerja.
SWCorp Malaysia menyokong menerusi perkongsian kepakaran, pemantauan pengurusan sisa pepejal, serta pengisian kempen kesedaran seperti program Trash to Cash dan taklimat Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi membendung pembuangan sampah haram.
Operator MITEC, METCO memandu operasi pengumpulan sisa pepejal domestik berskala besar daripada sektor acara/pameran bagi membekalkan sisa organik secara konsisten.
MATRADE telah melaksanakan pemantauan pertumbuhan tanaman selama empat minggu ke atas beberapa jenis sampel tanaman di premis berkenaan bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini. Tanaman yang menggunakan Baja Kompos Eko MATRADE menunjukkan kualiti pertumbuhan yang jauh lebih optimum, berdaun lebih hijau, dan subur berbanding tanaman yang hanya bergantung kepada siraman air biasa. Baja eko ini akan digunakan sepenuhnya untuk landskap dalaman MATRADE dan MITEC serta diedarkan kepada warga kerja bagi memupuk budaya tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.
Pelancaran program tersebut turut dimeriahkan dengan pameran interaktif daripada pihak SWCorp, demonstrasi praktikal pemprosesan mesin kompos, serta kaunter Trash to Cash bagi memupuk ekosistem "Sisa Menjadi Sumber" dalam kalangan warga kerja dan komuniti perniagaan tempatan.