Eksport Mencatatkan Pertumbuhan Konsisten Sejak Julai 2025, Disokong  oleh Kenaikan Ketara Eksport Barangan E&E

                         

Prestasi perdagangan Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh  pada Februari 2026, meningkat 9.5% tahun ke tahun kepada RM245.20 bilion,  mencatatkan kenaikan bagi bulan keenam berturut-turut. Pertumbuhan ini disokong  oleh peningkatan eksport yang konsisten sejak Julai 2025, naik 10.8% kepada  RM130.95 bilion, manakala import bertambah 8.2% kepada RM114.24 bilion. Ini  menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.71 bilion, merupakan yang  ke-70 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi bulan Februari. 

Peningkatan eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap  barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta  barangan optik dan saintifik, di samping hasil galian khasnya bijih logam dan serpihan logam. 

Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu Republik Rakyat China (China),  Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan dua digit. Walaupun eksport keseluruhan ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan  Bebas (FTA) merekodkan penyusutan, peningkatan telah dicatatkan ke Hong Kong  SAR, Mexico, Republik Korea (ROK), India dan United Kingdom (UK). 

Prestasi perdagangan negara terus mengukuh bagi tempoh dua bulan pertama 2026,  meningkat 11.0% kepada RM516.89 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025.

Eksport berkembang 15.2% kepada RM277.78 bilion, manakala import meningkat 6.4%  kepada RM239.11 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM38.67 bilion.  Perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan mencatatkan paras tertinggi  yang pernah direkodkan bagi tempoh tersebut. 

Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, khususnya konflik yang  meningkat antara AS dan Iran, telah menambahkan ketidaktentuan terhadap ekonomi  dunia dan prospek perdagangan, sekali gus mengganggu aliran perdagangan  antarabangsa, terutamanya merentasi Asia dan Eropah. Namun demikian, prestasi  perdagangan Malaysia pada Februari 2026 kekal berdaya tahan, disokong oleh  permintaan berterusan terhadap barangan eksport utama, khususnya barangan E&E, serta kepelbagaian pasaran eksport. 

Mengorak langkah ke hadapan, kewaspadaan yang berterusan adalah penting  memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan berpotensi menjejaskan  permintaan global dan dinamik rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada  prestasi perdagangan Malaysia. Sementara aktiviti perdagangan terus berlangsung,  MITI dan MATRADE akan memantau dengan lebih dekat perkembangan global bagi menghadapi potensi gangguan serta mengurangkan kesannya pada bulan-bulan akan  datang. Pengeksport Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya FTA sedia  ada, meneroka pasaran baharu serta mempelbagaikan portfolio barangan agar kekal  berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan semasa. 

 

Prestasi Eksport Sektor Utama

Barangan E&E Terus Pacu Pertumbuhan Eksport 

Pada Februari 2026, eksport barangan perkilangan yang menyumbang 87.2% kepada  jumlah eksport mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi bulan ketiga berturut-turut,  meningkat 12.8% tahun ke tahun kepada RM114.21 bilion. Pertumbuhan ini didorong  oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta  jentera, kelengkapan dan peralatan. 

Eksport hasil galian (6.2% syer) pada Februari 2026 mengekalkan trajektori  peningkatan, mencatat kenaikan dua digit 12.3% tahun ke tahun kepada RM8.12 bilion  berikutan pertambahan eksport bijih logam dan serpihan logam yang merekodkan nilai  tertinggi setakat ini serta petroleum mentah disebabkan peningkatan kuantiti eksport  meskipun harga eksport menyusut.  

Eksport keluaran pertanian (5.5% syer) pada Februari 2026 pula menguncup 16.4%  tahun ke tahun kepada RM7.23 bilion, disebabkan harga eksport minyak sawit dan  keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih rendah walaupun jumlah  eksport meningkat. 

Barangan eksport utama pada Februari 2026:  

  • Barangan E&E, bernilai RM60.81 bilion dan merangkumi 46.4% daripada jumlah  eksport, meningkat 28.5% berbanding Februari 2025; 
  • Keluaran petroleum, RM7.12 bilion, 5.4% daripada jumlah eksport, ↓23.5%; 
  • Barangan optik dan saintifik, RM6.70 bilion, 5.1% daripada jumlah eksport, ↑42.9%; 
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM5.80 bilion, 4.4% daripada jumlah eksport,  ↑0.4%; dan 
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM5.45 bilion, 4.2%  daripada jumlah eksport, ↓13.7%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, hasil galian  dan keluaran pertanian masing-masing menurun 10.3%, 7.3% dan 18.7%. 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, eksport barangan perkilangan mencatat pertumbuhan dua digit 17.6% kepada RM241.56 bilion berbanding tempoh yang sama  tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan kukuh bagi barangan E&E, barangan  optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Eksport hasil galian  meningkat 7.1% kepada RM16.88 bilion, disokong oleh kenaikan eksport bijih logam  dan serpihan logam. Walau bagaimanapun, eksport keluaran pertanian menurun 9.3%  kepada RM16.12 bilion berikutan penyusutan eksport minyak sawit dan keluaran  pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli. 

 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama  

Pada Februari 2026, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN,  China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 70.9% syer daripada jumlah perdagangan. 

ASEAN - Eksport Barangan E&E Terus Meningkat Di Sebalik Penyusutan  Perdagangan

Pada Februari 2026, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 22.9% daripada  jumlah perdagangan Malaysia menurun 5.8% tahun ke tahun kepada RM56.20 bilion.  Eksport ke ASEAN menyusut 9.4% kepada RM31.34 bilion, disebabkan oleh  penurunan eksport keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta jentera,  kelengkapan dan peralatan. Walau bagaimanapun, penurunan ini telah diimbangi oleh  kenaikan eksport barangan optik dan saintifik, barangan E&E serta petroleum mentah.  Import dari ASEAN mengurang 0.9% kepada RM24.86 bilion. 

Pecahan eksport ke negara ASEAN: 

  • Singapura RM15.21 bilion, menurun 17.1%, tahun ke tahun;
  • Thailand RM5.52 bilion, ↑17.8%; 
  • Vietnam RM4.49 bilion, ↑11.7%; 
  • Indonesia RM2.91 bilion, ↓36.0%;
  • Filipina RM1.97 bilion, ↑9.1%; 
  • Kemboja RM490.2 juta, ↑30.2%; 
  • Myanmar RM419.1 juta, ↑22.4%; 
  • Brunei RM321.1 juta, ↓27.4%; 
  • Lao PDR RM3.3 juta, ↓70.7%; dan 
  • Timor-Leste RM2.5 juta, ↑29.7%. 

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang mencatat pertumbuhan adalah ke Thailand, yang meningkat sebanyak RM834.2 juta tahun ke tahun dan Filipina, yang bertambah  RM163.4 juta, disokong oleh pertumbuhan eksport barangan E&E. Sementara itu,  eksport ke Viet Nam bertambah RM471.5 juta, disumbangkan oleh peningkatan  eksport keluaran petroleum. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun  sebanyak 17.0%, 20.5% dan 12.1%. 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, perdagangan Malaysia dengan ASEAN  meningkat 1.7% kepada RM123.88 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025.  Eksport menurun 0.9% kepada RM70.76 bilion berikutan pengurangan eksport  keluaran petroleum. Di sebalik penurunan ini, pertumbuhan eksport telah dicatatkan  bagi barangan E&E. Import dari ASEAN meningkat 5.3% kepada RM53.13 bilion. 

China – Pertumbuhan Dua Digit bagi Perdagangan, Eksport dan Import 

Pada Februari 2026, perdagangan dengan China yang menyumbang 17.6% kepada  jumlah perdagangan Malaysia meningkat 22.1% tahun ke tahun kepada RM43.19  bilion. Eksport ke China mencatat pertumbuhan dua digit 13.2% kepada RM14.88  bilion, disokong oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam serta barangan  E&E. Import dari China berkembang 27.3% kepada RM28.32 bilion. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun  11.0%, 3.8% dan 14.3%. 

Perdagangan dengan China pada tempoh dua bulan pertama 2026 meningkat 19.4%  kepada RM91.72 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport mengukuh sebanyak 14.7% kepada RM30.35 bilion, dipacu oleh permintaan kukuh bagi bijih  logam dan serpihan logam serta barangan E&E. Import dari China meningkat 21.9%  kepada RM61.37 bilion.

AS – Peningkatan Eksport Menyumbang kepada Perdagangan yang  Kukuh

Pada Februari 2026, eksport ke AS melonjak 42.3% kepada RM24.90 bilion, sekali gus  mendorong kepada peningkatan jumlah perdagangan dengan negara tersebut yang  berkembang sebanyak 20.5% tahun ke tahun kepada RM33.00 bilion, mewakili 13.5%  daripada jumlah perdagangan Malaysia. Pertumbuhan eksport ini merupakan  peningkatan bulan ketiga berturut-turut, dipacu terutamanya oleh permintaan kukuh  bagi barangan E&E. Import dari AS menyusut 18.0% kepada RM8.10 bilion. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat 4.3%  dan 7.8%, manakala import menurun 4.9%. 

Bagi tempoh dua bulan pertama 2026, perdagangan dengan AS berkembang 15.7%  kepada RM64.63 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport meningkat  38.1% kepada RM48.00 bilion hasil eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import  dari AS menurun 21.2% kepada RM16.63 bilion. 

Taiwan – Perdagangan Kekal Kukuh 

Pada Februari 2026, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 8.5% daripada  jumlah perdagangan Malaysia melonjak 46.9% tahun ke tahun kepada RM20.91 bilion.  Eksport turut melonjak 65.9% kepada RM8.37 bilion, disokong oleh pertambahan  permintaan bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan  dan peralatan. Import dari Taiwan naik 36.4% kepada RM12.54 bilion. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun  8.3%, 15.7% dan 2.7%. 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, perdagangan dengan Taiwan meningkat  26.1% kepada RM43.73 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport melonjak 73.0% kepada RM18.30 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta barangan optik dan saintifik. Import dari Taiwan meningkat 5.5% kepada RM25.43 bilion.

EU – Pertumbuhan Dua Digit bagi Perdagangan dan Eksport 

Pada Februari 2026, perdagangan dengan EU yang menyerap 8.4% daripada jumlah  perdagangan Malaysia meningkat 23.1% tahun ke tahun kepada RM20.57 bilion.  Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi 6 bulan berturut-turut, naik 33.9% kepada RM12.67 bilion, disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E serta bijih  logam dan serpihan logam. Import dari EU naik 9.0% kepada RM7.90 bilion. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.2% daripada jumlah  eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

  • Belanda RM4.52 bilion, meningkat 81.1%, tahun ke tahun;
  • Jerman RM3.60 bilion, ↑14.5%; 
  • Perancis RM787.3 juta, ↑78.8%; 
  • Belgium RM587.3 juta, ↓14.4%; 
  • Itali RM519.6 juta, ↑8.7%; 
  • Sweden RM366.5 juta, ↑136.1%; 
  • Ireland RM345.2 juta, ↑163.4%;  
  • Republik Czech RM344.8 juta, ↓7.0%; 
  • Sepanyol RM317.3 juta, ↓41.4%; and 
  • Poland RM290.7 juta, ↑26.8%.  

Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM2.02 bilion dan eksport ke Perancis naik RM347.0 juta, berikutan pertumbuhan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport  ke Jerman yang merekodkan nilai tertinggi setakat ini, meningkat sebanyak RM455.8  juta berikutan kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan dan eksport masing-masing bertambah 0.8% dan 3.8%, manakala import menurun 3.7%. 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, perdagangan dengan EU meningkat 21.1% kepada RM40.99 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport menokok 29.9% kepada RM24.88 bilion berikutan pertumbuhan eksport barangan E&E serta bijih  logam dan serpihan logam. Import dari EU meningkat 9.6% kepada RM16.11 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA 

Pada Februari 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 63.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.0% tahun ke tahun kepada  RM155.31 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA menyusut 0.7% kepada RM78.79 bilion dan import naik 13.9% kepada RM76.52 bilion. 

Meskipun eksport keseluruhan ke rakan dagang FTA berkurang, peningkatan eksport  telah dicatatkan ke Hong Kong SAR, yang naik 32.6% kepada RM8.98 bilion serta Mexico yang bertambah 20.1% kepada RM2.11 bilion, dipacu oleh kenaikan eksport  barangan E&E.  

Sementara itu, eksport ke ROK meningkat 16.3% kepada RM4.44 bilion, didorong oleh  eksport yang kukuh bagi barangan optik dan saintifik, eksport ke India merekodkan  pertumbuhan 8.5% kepada RM4.37 bilion disokong oleh pertambahan eksport  petroleum mentah dan eksport ke UK melonjak 22.7% kepada RM795.4 juta  disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi kimia dan bahan kimia. 

Berbanding Januari 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurang 13.0%, 17.2% dan 8.2%. 

Perdagangan dengan rakan dagang FTA pada dua bulan pertama 2026 meningkat  10.0% kepada RM333.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport  berkembang 7.1% kepada RM173.99 bilion manakala import naik 13.5% kepada  RM159.86 bilion.

 

Prestasi Import 

Jumlah import pada Februari 2026 meningkat 8.2% tahun ke tahun kepada RM114.24  bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.8%  daripada jumlah import adalah seperti berikut:

  • Barangan perantaraan, bernilai RM59.15 bilion atau 51.8% daripada jumlah  import, meningkat 0.8%, berikutan kenaikan import alat ganti dan aksesori  barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; 
  • Barangan modal, bernilai RM15.94 bilion atau 14.0% daripada jumlah import,  naik 15.4%, hasil pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan  pengangkutan; dan 
  • Barangan penggunaan, bernilai RM9.20 bilion atau 8.1% daripada jumlah  import, meningkat 1.5%, dipacu oleh pertambahan import barangan tahan lama. 

Berbanding Januari 2026, jumlah import menyusut 8.5% dengan import barangan  perantaraan dan barangan modal masing-masing meningkat sebanyak 2.5% dan1.3%,  manakala import barangan penggunaan menyusut 18.3%. 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, jumlah import meningkat 6.4% kepada  RM239.11 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Import barangan  penggunaan meningkat 7.0% kepada RM20.46 bilion, manakala import barangan  perantaraan menyusut 2.2% kepada RM116.84 bilion dan import barangan modal  berkurang 6.1% kepada RM31.68 bilion.

 

FaLang translation system by Faboba