Daya Tahan Sektor E&E Perkukuh Momentum Perdagangan pada 1H 2026, Mengesahkan Tinjauan Positif bagi Tahun Ini 

Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh pada separuh pertama (1H) 2026, mencerminkan daya tahan sektor luar dalam persekitaran global yang semakin dinamik berikutan ketidaktentuan geopolitik, cabaran logistik serta permintaan global yang tidak menentu. Pada tempoh 1H 2026, perdagangan meningkat sebanyak 22.4% tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion, dengan eksport berkembang 27.5% kepada RM971.59 bilion dan import naik 16.9% kepada RM824.44 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun, disokong oleh integrasi kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global. 

Pertumbuhan eksport sepanjang 1H 2026 telah disumbangkan oleh kekuatan eksport barangan perkilangan negara, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat hampir RM140 bilion, didorong oleh permintaan global yang berterusan, kemajuan teknologi serta peningkatan penggunaan teknologi digital di pasaran-pasaran utama. Barangan perkilangan lain yang turut mencatatkan prestasi memberangsangkan ialah keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan logam. Eksport hasil galian turut menyumbang secara positif, khususnya bijih logam dan serpihan logam serta gas asli cecair (LNG). 

Dari perspektif pasaran, pertumbuhan eksport disokong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagang utama, iaitu ASEAN, Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), kesemuanya merekodkan pertumbuhan memberangsangkan. Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut berkembang menerusi pelbagai kategori barangan, didorong oleh pertumbuhan eksport ke pasaran utama termasuk Hong Kong SAR, Republik Korea (ROK), Mexico, India, Australia, United Kingdom (UK), Jepun, Pakistan, Kanada dan New Zealand.

Prestasi mampan pada Jun 2026 mengukuhkan lagi momentum positif yang dicapai sepanjang separuh pertama tahun ini, dengan perdagangan mencapai nilai bulanan tertinggi baharu. Perdagangan berkembang 44.7% tahun ke tahun kepada RM340.89 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dua digit bagi eksport dan import. Eksport meningkat 45.4% kepada RM177.89 bilion, manakala import berkembang 43.9% kepada RM163.00 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM14.89 bilion, merupakan lebihan yang ke-74 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. 

Prestasi perdagangan yang lebih kukuh turut diterjemahkan dalam peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global. Mengikut IMD World Competitiveness Ranking 2026, Malaysia mencatat lonjakan lapan anak tangga untuk berada di kedudukan  ke-15, didorong oleh pengukuhan dalam prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan. Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing di tengah-tengah persekitaran global yang semakin mencabar. 

Meskipun risiko masih wujud berikutan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan berterusan dalam perdagangan global, sektor perdagangan luar Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang tinggi. Berdasarkan prestasi kukuh yang dicatatkan pada 1H 2026, beberapa barangan serta pasaran eksport utama dijangka mencatatkan paras tertinggi baharu secara keseluruhannya bagi tahun ini, disokong oleh prestasi barangan E&E serta permintaan mampan daripada rakan dagang utama. Melangkah ke hadapan, usaha berterusan untuk memaksimumkan penggunaan FTA, mempelbagaikan destinasi eksport serta meningkatkan eksport berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi akan terus menjadi pemacu penting dalam mengekalkan momentum perdagangan dan memperkukuh daya tahan eksport Malaysia. 

 

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilanngan Utama Catat Pertumbuhan Dua Digit 

Pada Jun 2026, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 88.4% daripada jumlah eksport meningkat 47.3% kepada RM157.22 bilion, didorong oleh eksport kukuh barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik. 

Eksport hasil galian (6.2% syer) melonjak 97.5% tahun ke tahun kepada RM11.04 bilion, disumbangkan oleh peningkatan eksport LNG dan petroleum mentah berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.

Walau bagaimanapun, eksport keluaran pertanian (4.7% syer) menyusut 7.2% kepada RM8.31 bilion disebabkan oleh penurunan nilai eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penurunan kuantiti eksport. 

Barangan eksport utama pada Jun 2026:   

  • Barangan E&E bernilai RM85.31 bilion dan merangkumi 48.0% daripada jumlah eksport, meningkat 56.9% berbanding Jun 2025;
  • Keluaran petroleum bernilai RM13.04 bilion, 7.3% daripada jumlah eksport, ↑55.6%;
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan bernilai RM7.78 bilion, 4.4% daripada jumlah eksport, ↑18.7%;
  • Barangan optik dan saintifik bernilai RM7.27 bilion, 4.1% daripada jumlah eksport, ↑42.7%; dan
  • Barangan perkilangan logam bernilai RM6.36 bilion, 3.6% daripada jumlah eksport, ↑48.5%

Berdasarkan bulan ke bulan, eksport hasil galian dan keluaran pertanian masingmasing meningkat sebanyak 37.8% dan 10.1%, manakala eksport barangan perkilangan menurun 5.7%. 

Bagi 1H 2026, eksport barangan perkilangan melonjak 30.5% kepada RM858.97 bilion berbanding 1H 2025, didorong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik. Eksport hasil galian meningkat 24.5% kepada RM54.84 bilion, disumbangkan oleh pertambahan eksport bijih logam dan serpihan logam serta LNG. Walau bagaimanapun, eksport keluaran pertanian menyusut 8.9% kepada RM48.44 bilion berikutan pengurangan nilai eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit  serta getah asli. 

 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

Pada Jun 2026, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 72.7% syer daripada jumlah perdagangan. 

ASEAN – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan Dua Digit

Pada Jun 2026, perdagangan dengan ASEAN yang menyumbang 26.0% kepada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 51.9% tahun ke tahun kepada RM88.48 bilion. Eksport mencatat pertumbuhan dua digit bagi bulan ketiga berturut-turut, berkembang 46.3% kepada RM48.49 bilion, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E serta keluaran petroleum. Import dari ASEAN meningkat 59.3% kepada RM39.98 bilion. 

Pecahan eksport ke negara ASEAN:  

  • Singapura      -  RM25.11 bilion, meningkat 47.6%, tahun ke tahun; 
  • Thailand        -   RM7.40 bilion, ↑52.2%;
  • Viet Nam       -   RM6.35 bilion, ↑43.9%;
  • Indonesia      -   RM6.07 bilion, ↑53.4%;
  • Filipina          -   RM2.29 bilion, ↑7.1%; 
  • Myanmar      -    RM730.4 juta, ↑267.2%; 
  • Kemboja       -    RM315.2 juta, ↑12.4%;  
  • Brunei           -    RM223.6 juta, ↓21.8%; 
  • Timor-Leste  -    RM4.9 juta, ↑58.2%; dan 
  • Lao PDR      -     RM4.5 juta, ↑3.0%. 

Eksport ke semua pasaran ASEAN mencatat pertumbuhan kecuali Brunei. Eksport ke Singapura, Thailand dan Viet Nam masing-masing meningkat sebanyak RM8.09 bilion, RM2.54 bilion dan RM1.94 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan eksport barangan E&E. 

Berdasarkan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 7.8%, 0.1% dan 18.8%. 

Bagi 1H 2026, perdagangan dengan ASEAN berkembang 21.5% kepada RM454.45 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport ke rantau ini meningkat 18.6% kepada RM259.60 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN  bertambah 25.6% kepada RM194.84 bilion. 

China – Pertumbuhan Eksport bagi Enam Bulan Berturut-turut 

Pada Jun 2026, perdagangan dengan China yang mewakili 18.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 49.4% tahun ke tahun kepada RM63.96 bilion, pertumbuhan dua digit bagi bulan ke-10 berturut-turut. Eksport meneruskan trajektori peningkatan bagi bulan keenam berturut-turut sebanyak 36.1% kepada RM20.30 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi LNG, barangan E&E serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari China meningkat 56.6% kepada RM43.67 bilion. 

Berbanding Mei 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 7.2%, 5.6% dan 7.9%. 

Bagi 1H 2026, perdagangan dengan China meningkat 30.6% kepada RM325.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport berkembang 23.3% kepada RM107.28 bilion, disumbangkan oleh pertambahan permintaan terhadap barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam, LNG serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China  menokok 34.5% kepada RM217.99 bilion. 

AS – Eksport Meningkat Lebih Dua Kali Ganda Berbanding Tahun Lalu 

Pada Jun 2026, perdagangan dengan AS yang merangkumi 14.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 80.6% tahun ke tahun kepada RM50.00 bilion. Eksport meningkat lebih dua kali ganda berbanding setahun lalu, naik 108.6% kepada RM34.71 bilion, didorong oleh pertambahan eksport barangan E&E. Import dari AS meningkat 38.4% kepada RM15.29 bilion. 

Berbanding Mei 2026, perdagangan dan import masing-masing menokok 4.5% dan 40.2%, manakala eksport menyusut 6.0%. 

Bagi enam bulan pertama 2026, perdagangan dengan AS meningkat 25.7% kepada RM235.19 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport berkembang 54.8% kepada RM173.37 bilion, disokong oleh peningkatan permintaan terhadap barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan logam. Import dari AS  menurun 17.6% kepada RM61.82 bilion. 

Taiwan – Pertumbuhan Dua Digit Perdagangan, Eksport dan Import 

Pada Jun 2026, perdagangan dengan Taiwan yang menyumbang 6.9% kepada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 39.1% kepada RM23.45 bilion berbanding Jun 2025. Eksport meningkat 44.7% kepada RM10.10 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta barangan optik dan saintifik. Import dari Taiwan meningkat 35.1% kepada RM13.35 bilion. 

Berbanding Mei 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun 19.0%, 25.0% dan 13.7%. 

Bagi 1H 2026, perdagangan dengan Taiwan naik 34.7% kepada RM147.75 bilion berbanding 1H 2025. Eksport melonjak 66.5% kepada RM65.44 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan meningkat 17.0% kepada RM82.31 bilion. 

EU- Perdagangan, Ekport dan Import Kekal Berdaya Tahan

Pada Jun 2026, perdagangan dengan EU yang merangkumi 6.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 28.9% tahun ke tahun kepada RM21.94 bilion. Eksport berkembang 29.7% kepada RM11.93 bilion, disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Import dari EU meningkat 28.0% kepada RM10.01 bilion. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

  •  Belanda              -  RM4.83 bilion, meningkat 52.4%, tahun ke tahun; 
  • Jerman                -  RM2.34 bilion, ↓4.5%; 
  • Perancis              -  RM634.6 juta, ↑65.3%; 
  • Ireland                 -  RM608.5 juta, ↑599.0%; 
  • Itali                      -  RM593.0 juta, ↑0.8%; 
  • Poland                 -  RM505.7 juta, ↑89.0%; 
  • Belgium               -  RM493.3 juta, ↑7.5%; 
  • Republik Czech   -  RM442.9 juta, ↑13.6%; 
  • Sepanyol             -  RM435.1 juta, ↑48.5%; dan 
  • Hungary              -  RM313.4 juta, ↑12.2%. 

Eksport ke semua 10 pasaran utama EU mencatat peningkatan kecuali Jerman. Antara pasaran eksport utama yang merekodkan pertumbuhan ialah Belanda dengan peningkatan sebanyak RM1.66 bilion, Perancis RM250.6 juta dan Ireland RM521.5 juta, kesemuanya disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E. 

Berdasarkan bulan ke bulan, import meningkat 3.9%, manakala perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 11.1% dan 20.7%. 

Bagi 1H 2026, perdagangan dengan EU berkembang 21.0% kepada RM128.57 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport meningkat 28.4% kepada RM75.85 bilion, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan E&E, keluaran petroleum serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari EU menokok 11.8% kepada RM52.72 bilion. 

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA

Pada Jun 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 66.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 44.3% tahun ke tahun kepada RM226.86 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 38.4% kepada RM114.05 bilion, manakala import berkembang 50.8% kepada RM112.80 bilion. 

Pasaran yang merekodkan pertumbuhan eksport ialah Hong Kong SAR yang meningkat 25.4% tahun ke tahun kepada RM10.05 bilion, Jepun yang melonjak 45.9% kepada RM8.33 bilion, India yang meningkat 20.5% kepada RM5.17 bilion, Mexico yang melonjak 59.1% kepada RM5.11 bilion, UK yang berkembang 77.4% kepada RM1.11 bilion serta Kanada yang menokok 44.1% kepada RM614.6 juta, disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E. 

Sementara itu, eksport ke Australia meningkat 21.2% kepada RM4.84 bilion dan eksport ke New Zealand melonjak 49.2% kepada RM741.9 juta, didorong oleh peningkatan eksport keluaran petroleum. 

Selain itu, eksport ke ROK naik 42.8% kepada RM6.14 bilion, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan optik dan saintifik. Eksport ke Pakistan  berkembang 21.9% kepada RM484.0 juta berikutan peningkatan eksport barangan perkilangan logam, manakala eksport ke Peru naik 0.6% kepada RM44.3 juta berikutan pertambahan eksport tekstil, pakaian dan kasut. 

Berdasarkan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 7.9%, 1.7% dan 15.1%. 

Bagi 1H 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA berkembang 24.0% kepada RM1.183 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport meningkat 21.5% kepada RM616.55 bilion, manakala import menokok 27.0% kepada RM566.32 bilion. 

 

Prestasi Import

Jumlah import pada Jun 2026 meningkat 43.9% tahun ke tahun kepada RM163.00 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74.0% daripada jumlah import adalah: 

  • Barangan perantaraan, bernilai RM85.37 bilion atau 52.4% daripada jumlah import, meningkat 41.3% tahun ke tahun berikutan peningkatan import alat ganti dan aksesori bagi barang modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, bernilai RM24.17 bilion atau 14.8% daripada jumlah import, melonjak 67.4% disebabkan oleh peningkatan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, bernilai RM11.02 bilion atau 6.8% daripada jumlah import, meningkat 17.2% berikutan peningkatan import barangan tidak tahan lama. 

Berbanding Mei 2026, import meningkat 13.2%. Import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing berkembang sebanyak 13.9%, 30.1% dan 11.7%. 

Bagi 1H 2026, import berkembang 16.9% kepada RM824.44 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Import barangan perantaraan meningkat 5.8% kepada RM383.01 bilion, barangan modal meningkat 1.5% kepada RM109.20 bilion, manakala barangan penggunaan meningkat 4.3% kepada RM60.57 bilion. 

 

FaLang translation system by Faboba