Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
KUALA LUMPUR, 12 OGOS 2026 (RABU) – Program eTRADE 2.0 telah membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia menjana RM438.7 juta jualan eksport sebenar dan menembusi 163 pasaran antarabangsa, membuktikan bahawa e-dagang rentas sempadan semakin menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan eksport negara.
Dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dari 2021 hingga 2025, program ini turut memberi manfaat kepada lebih 2,000 PMKS melalui sokongan geran, latihan, bimbingan teknikal dan pembangunan kapasiti bagi membolehkan syarikat tempatan memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran global.
Dapatan tersebut merupakan hasil Kajian Impak Program eTRADE 2.0 yang dilaksanakan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd. melalui soal selidik terhadap penerima insentif, temu bual pihak berkepentingan serta analisis indikator prestasi utama termasuk prestasi jualan eksport, penembusan pasaran baharu, penggunaan platform e-dagang rentas sempadan dan tahap kesediaan digital syarikat.
Antara pencapaian paling ketara ialah kejayaan syarikat penerima insentif menembusi 163 pasaran eksport, termasuk pasaran yang kurang lazim diterokai seperti Réunion Island, Kiribati dan Nauru. Pada masa yang sama, ASEAN kekal sebagai destinasi eksport utama, dengan kira-kira 30 peratus syarikat penerima insentif berjaya memperkukuh kedudukan mereka di rantau tersebut.
Dari segi produk pula, makanan tersedia, minuman, produk farmaseutikal dan kosmetik, barangan isi rumah serta produk plastik merupakan antara kategori yang mencatat prestasi terbaik. Kajian turut mendapati sekurang-kurangnya 852 produk baharu telah disenaraikan di platform e-dagang antarabangsa, sekali gus memperluaskan kehadiran produk Malaysia di pasaran global.
Impak program turut dirasai dari aspek pembangunan sosioekonomi apabila sekurang-kurangnya 661 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam kalangan syarikat penerima. Dari sudut keterangkuman pula, 48 peratus penerima merupakan syarikat milikan Bumiputera, 33 peratus syarikat milikan wanita dan 9 peratus syarikat milikan belia, mencerminkan capaian program kepada pelbagai segmen usahawan Malaysia.
Platform Alibaba.com pula merupakan platform e-dagang rentas sempadan yang mencatat nilai jualan eksport tertinggi dalam kalangan penerima insentif. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBhg. Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, pencapaian Program eTRADE 2.0 menunjukkan bahawa pendekatan digital mampu membantu PMKS mengatasi sebahagian daripada cabaran tradisional dalam perdagangan antarabangsa.
“Melalui program ini, syarikat PMKS telah memperlihatkan tahap ketahanan, keupayaan adaptasi serta prestasi yang memberangsangkan, khususnya dalam aspek pertumbuhan eksport, penciptaan peluang pekerjaan dan peluasan capaian ke pasaran antarabangsa.”
Beliau berkata, kejayaan tersebut turut menunjukkan bahawa platform digital bukan sekadar saluran pemasaran, malah boleh menjadi pintu masuk kepada pasaran eksport baharu bagi syarikat Malaysia, khususnya PMKS yang berdepan kekangan sumber, kos dan akses kepada pasaran antarabangsa.
“Program eTRADE 2.0 telah berjaya membuktikan bahawa pendekatan berteraskan digital mampu memperkukuhkan daya saing syarikat PMKS, menggalakkan pewujudan peluang pekerjaan serta menyokong satu rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh. Hasil yang dicapai ini akan terus dijadikan panduan dalam usaha berterusan MATRADE untuk memperkasakan syarikat PMKS di pentas ekonomi digital global.”
Menurut beliau lagi, kajian impak tersebut bukan sahaja memberikan gambaran mengenai keberkesanan Program eTRADE 2.0, malah menyediakan input strategik kepada MATRADE dalam merangka intervensi pembangunan eksport digital yang lebih bersasar, inklusif dan mampan.
Susulan kejayaan Program eTRADE 2.0, MATRADE akan meneruskan usaha memperkukuh ekosistem e-dagang rentas sempadan melalui Program eBizLink 2.0, dengan memberi tumpuan kepada peluasan akses pasaran antarabangsa, peningkatan kapasiti PMKS, pembangunan ekosistem perdagangan digital serta kerjasama strategik dengan platform e-dagang global.
Langkah ini selaras dengan usaha MATRADE untuk memastikan lebih banyak syarikat Malaysia, khususnya PMKS, bersedia memanfaatkan teknologi digital sebagai strategi pengembangan eksport dan seterusnya meningkatkan kehadiran produk serta perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa.