Prestasi Perdagangan 2017

Jumlah Perdagangan, Eksport dan Import Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Februari

Jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2017 meningkat 27.1% kepada RM134.83 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan dalam jumlah perdagangan dapat dilihat pada kesemua rakan dagang utama termasuk ASEAN, China, India, Jepun, Taiwan, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Eksport kekal pada paras yang tinggi, meningkat 26.5% kepada RM71.77 bilion. Jumlah eksport yang melebihi RM70 bilion ini merupakan yang ke-empat bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 2016, melebihi nilai purata bulanan sebanyak RM64 bilion yang direkodkan pada sepuluh bulan pertama tahun 2016. Import pada bulan Februari meningkat sebanyak 27.7% kepada RM63.06 bilion sementara lebihan dagangan bernilai RM8.71 bilion, menjadikan ia lebihan dagangan yang ke-232 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Jumlah perdagangan bagi dua bulan pertama tahun 2017 meningkat 20.6% kepada RM270.63 bilion berbanding RM224.4 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2016. Eksport meningkat 19.8% kepada RM142.04 bilion manakala import naik 21.5% kepada RM128.59 bilion dengan lebihan dagangan direkodkan sebanyak RM13.45 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport naik 2.1%, manakala import dan jumlah perdagangan masing-masing mengurang sebanyak 3.8% dan 0.7%.

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : Februari 2017 dan Januari - Februari 2017

Prestasi Perdagangan Kukuh bagi bulan Januari

Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Januari 2017 merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 14.8% kepada RM135.77 bilion berbanding RM118.31 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan perdagangan dicatatkan dengan China, ASEAN, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Taiwan, Australia dan Kesatuan Eropah (EU).

Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6% kepada RM70.24 bilion. Ini merupakan eksport bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi bulan Januari, mengatasi RM64.05 bilion yang direkodkan pada bulan Januari 2014. Import turut meningkat sebanyak 16.1% kepada RM65.53 bilion.

Imbangan perdagangan berjumlah RM4.71 bilion direkodkan, merupakan lebihan dagangan yang ke-231 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : Januari 2017