Regulasi Baru Diperkenal Untuk Pengeksport Malaysia Ke Filipina
- Kategori: Press Releases 2015
KHAMIS, APRIL 16, 2015 KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan yang mengeksport ke Filipina akan menikmati urus niaga eksport yang lebih cepat dan telus apabila senarai rujukan tunggal untuk produk yang diimport oleh Biro Kastam (BOC) Filipina diperkenal pada 20 April 2015. Senarai ini diperkenalkan oleh BOC untuk memudahkan transaksi import dan eksport dan pada masa yang sama melindungi kedua-dua pengimport dan pengeksport.
Menurut Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Manila, Nyaee Anak Ayup, "Produk yang dieksport mesti mempunyai permit yang diperlukan daripada semua agensi yang relevan di Filipina sebelum dibenarkan memasuki pasaran. Adalah penting untuk syarikat Malaysia merujuk kepada senarai ini untuk mengelak daripada kelewatan pelepasan kastam. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 1,600 syarikat Malaysia yang mengeksport ke Filipina,” katanya.
Senarai ini mengandungi maklumat lebih 7,400 produk terkawal dari komoditi asas seperti beras dan gula, kenderaan, besi dan keluli serta minyak dan barangan elektronik. Senarai ini akan sentiasa dikemaskini dan akan menjadi asas bagi pelepasan untuk memasuki Filipina. Butiran dalam senarai itu boleh didapati di laman web BOC, www.customs.gov.ph .
Nyaee juga menasihatkan syarikat pengeluar makanan Malaysia yang mengeksport ke Filipina untuk mengelakkan daripada menggunakan ungkapan “No Approved Therapeutic Claim” (Tanpa Tuntutan terapeutik yang diluluskan) dalam semua iklan, bahan promosi atau penajaan barangan mereka.
Arahan ini adalah selaras dengan langkah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Filipina dalam memastikan keselamatan, keberkesanan dan kualiti produk kesihatan seperti yang ditakrifkan oleh Akta Republik No. 97111 terpelihara. Arahan ini melibatkan barangan makanan, ubat-ubatan, kosmetik, peralatan biologi, vaksin, agen in-vitro diagnostik, radiasi pemancar peranti, racun perosak dan mainan, atau produk pengguna yang mungkin mempunyai kesan ke atas kesihatan dan memerlukan pematuhan khas terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh FDA.
Untuk maklumat lanjut mengenai peraturan berkaitan eksport yang dikenakan oleh rakan dagangan Malaysia, layari www.matrade.gov.my atau berdaftarlah sebagai ahli MATRADE hari ini. Daftar dalam projek eTrade untuk mengeksport secara online.