Nilai Eksport Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Julai

Eksport Malaysia pada Julai 2019 meningkat 1.7% kepada RM87.96 bilion berbanding Julai 2018 dan merupakan nilai eksport tertinggi bagi bulan Julai dicatatkan setakat ini. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport ke Taiwan, Amerika Syarikat (AS), China dan Singapura.

Import berjumlah RM73.69 bilion, mengurang 5.9%. Lebihan dagangan melonjak 75.6% kepada RM14.27 bilion. Ini adalah lebihan dagangan yang ke-261 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997. Jumlah perdagangan bernilai RM161.65 bilion, mengurang 1.9%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit 14%, 15.5% dan 12.3%. Lebihan dagangan meningkat 35.8%.

Pada 7 bulan pertama 2019, jumlah perdagangan bernilai RM1.057 trilion, mengurang 1.4% berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport berjumlah RM569.46 bilion, penyusutan marginal 0.4% manakala import bernilai RM487.84 bilion, mengurang 2.6%. Lebihan dagangan meningkat 15.9% kepada RM81.62 bilion.

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Julai 2019 dan Januari - Julai 2019