Trade Performance 2019

Lebihan Dagangan bagi Februari 2019 Berkembang 22.7% kepada RM11.06 bilion

Jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2019 menyusut 7.2% kepada RM122.15 bilion berbanding Februari 2018. Ini adalah berikutan pengurangan perdagangan dengan China, ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Hong Kong SAR, India, Republik Korea (ROK) dan Amerika Syarikat (AS). Namun begitu, peningkatan perdagangan telah dicatatkan dengan Arab Saudi, Australia, Taiwan dan New Zealand.

Eksport pada bulan Februari 2019 merekodkan penyusutan 5.3% tahun ke tahun kepada RM66.6 bilion. Import mencatatkan kadar penurunan yang lebih tinggi berbanding eksport, iaitu penurunan sebanyak 9.4% kepada RM55.54 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang lebih besar bernilai RM11.06 bilion, 22.7% lebih tinggi berbanding Februari 2018. Lebihan dagangan ini adalah yang ke-256 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 23.3%, 22%, 24.8% dan 3.9%. Ini merupakan trend yang biasa dilihat bagi bulan Februari berikutan jumlah hari bekerja yang lebih pendek dan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang panjang.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Februari 2019 dan Januari - Februari 2019

Eksport Tertinggi bagi Bulan Januari dengan Nilai RM85.41 bilion

Jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2019 berkembang 2.1% kepada RM159.3 bilion berbanding Januari 2018. Pertumbuhan perdagangan telah dicatatkan dengan China, Taiwan, Arab Saudi, Republik Korea (ROK), Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).

Eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, dengan kenaikan sebanyak 3.1% kepada RM85.41 bilion. Ini merupakan nilai eksport tertinggi dicatatkan setakat ini bagi bulan Januari, mengatasi RM82.82 bilion yang dicatatkan pada Januari 2018. Import naik 1% kepada RM73.89 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM11.52 bilion, 19.2% lebih tinggi berbanding Januari 2018. Lebihan dagangan ini adalah yang ke-255 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 1.9%, 2.2% dan 1.4%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Januari 2019