Trade Performance 2020

Nilai Eksport Tertinggi pada S1 Setakat Ini

Perdagangan Malaysia bagi suku tahun pertama (S1) 2020 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.2% kepada RM440.38 bilion berbanding S1 2019. Perdagangan yang lebih tinggi direkodkan dengan Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Republik Korea (ROK), Arab Saudi dan Singapura. Eksport bagi tempoh tersebut meningkat 1.1% kepada RM238.68 bilion, merupakan nilai eksport tertinggi direkodkan bagi S1 setakat ini. Import meningkat 1.3% kepada RM201.69 bilion.

Lebihan dagangan pada S1 2020 bernilai RM36.99 bilion, 0.1% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang dicatatkan bagi S1 sejak 2011.

Berbanding suku keempat (S4) 2019, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 8.1%, 7.4% dan 8.9%. Lebihan dagangan meningkat 1.5%.

Pada bulan Mac 2020, jumlah perdagangan Malaysia menurun 3.8% kepada RM147.9 bilion. Pengurangan perdagangan direkodkan dengan Thailand, Hong Kong SAR, Viet Nam, Jerman dan Singapura. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi telah dicatatkan dengan Indonesia, Arab Saudi, ROK dan Jepun. Eksport berkurang 4.7% kepada RM80.12 bilion dan import merosot 2.7% kepada RM67.78 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Mac 2020 dan Januari - Mac 2020

Februari 2020 – Pertumbuhan Eksport tahun ke tahun Terpantas Sejak November 2018

Perdagangan Malaysia pada Februari 2020 mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6% kepada RM136.28 bilion berbanding Februari 2019. Peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Singapura, Republik Korea (ROK), China dan Taiwan. Eksport merekodkan peningkatan ketara sebanyak 11.8% kepada RM74.45 bilion, berbanding penurunan 1.5% pada Januari 2020. Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi bagi tempoh 16 bulan. Import berkembang 11.3% kepada RM61.83 bilion.

Lebihan dagangan pada Februari 2020 bernilai RM12.62 bilion, meningkat 14.1% berbanding Februari 2019. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang dicatatkan setakat ini bagi bulan Februari dan yang ke-268 bulan berturut-turut.

Berbanding Januari 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan 12.7%, 11.5% dan 14.2%. Lebihan dagangan meningkat sebanyak 4.9%.

Perdagangan Malaysia bagi tempoh 2 bulan tahun 2020, meningkat 3.9% kepada RM292.48 bilion. Perdagangan yang lebih tinggi direkodkan ke AS, Singapura, ROK, Indonesia dan India. Eksport bagi tempoh tersebut mencatatkan kenaikan 4.3% kepada RM158.57 bilion dan import meningkat 3.5% kepada RM133.91 bilion.

Lebihan dagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Februari 2020 bernilai RM24.65 bilion, 9.2% lebih tinggi berbanding RM22.57 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2019.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Februari 2020 dan Januari - Februari 2020

Lebihan Dagangan Bernilai RM12 bilion, Nilai Tertinggi bagi Januari Dalam Tempoh 9 Tahun

Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM12 bilion pada bulan Januari 2020, 4.2% lebih tinggi berbanding Januari 2019. Lebihan dagangan ini adalah lebihan dagangan tertinggi bagi bulan Januari sejak Januari 2011 dan merupakan lebihan dagangan yang ke-267 bulan berturut-turut.

Eksport berjumlah RM84.08 bilion, menyusut secara marginal sebanyak 1.5% berbanding Januari 2019. Import turun 2.4% kepada RM72.08 bilion.

Jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM156.17 bilion, 2% lebih rendah berbanding Januari 2019. Penurunan perdagangan telah dicatatkan dengan China, Thailand, Hong Kong SAR, Viet Nam dan Taiwan, manakala peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Australia, Republik Korea (ROK) dan Indonesia.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menurun 2.6%, 2.7%, 2.4% dan 4%.

Muat turun PDF: 

Prestasi Perdagangan : Januari 2020