Prestasi Perdagangan 2017
Prestasi Perdagangan : Julai 2017 dan Januari - Julai 2017
Perdagangan Melepasi Satu Trilion pada Tujuh Bulan Pertama 2017
Jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras satu trilion pada Januari-Julai 2017, dengan nilai RM1.008 trilion, berkembang 22.7% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016. Ia merupakan tempoh terpantas perdagangan melebihi satu trilion, dua bulan lebih awal daripada trend biasa. Perkembangan ini disokong terutamanya oleh perdagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Jepun, India dan Taiwan. Eksport meningkat 22.3% kepada RM529.68 bilion manakala import naik 23% kepada RM478.71 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM50.97 bilion.
Eksport pada bulan Julai 2017 mengekalkan momentum pertumbuhan yang mantap dengan nilai RM78.62 bilion, meningkat 30.9% berbanding tahun lalu. Eksport mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding import bagi tiga bulan berturut-turut. Import naik 21.8% kepada RM70.59 bilion dan jumlah perdagangan berkembang 26.4% kepada RM149.21 bilion. Lebihan dagangan pada bulan Julai berjumlah RM8.03 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-237 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Berbanding Jun 2017, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 9.5%, 7.6% dan 11.7%.
Muat Turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Jun 2017 dan Januari - Jun 2017
Jun 2017 – Lebihan Dagangan Sebanyak RM9.88 bilion, Tertinggi Sejak April 2016
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Jun 2017 meningkat sebanyak 7% kepada RM136.26 bilion, berbanding RM127.38 bilion yang direkodkan pada Jun 2016. Perkembangan ini disokong terutamanya oleh perdagangan dengan China, India, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Republik Korea (ROK).
Eksport pada Jun 2017 mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding import bagi dua bulan berturut-turut. Eksport berkembang 10% kepada RM73.07 bilion dan import meningkat 3.7% kepada RM63.19 bilion. Lebihan dagangan pada bulan Jun 2017 berjumlah RM9.88 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-236 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan nilai lebihan dagangan tertinggi sejak April 2016.
Berbanding Mei 2017, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurang sebanyak 11.1%, 8% dan 14.5%.
Jumlah perdagangan pada suku kedua (S2) 2017 berjumlah RM428.66 bilion, peningkatan sebanyak 19.9% berbanding S2 2016. Eksport pada S2 bernilai RM226.36 bilion, 20.6% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala import meningkat 19.1% kepada RM202.31 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM24.05 bilion direkodkan bagi S2 2017 berbanding RM17.86 bilion yang dicatatkan pada S2 2016.
Berbanding S1 2017, eksport naik 0.7%, manakala jumlah perdagangan dan import masing-masing turun secara marginal sebanyak 0.4% dan 1.7%.
Pada separuh pertama (H1) 2017, jumlah perdagangan Malaysia bertambah 22% kepada RM859.17 bilion berbanding RM704 bilion yang direkodkan pada H1 2016. Pada tempoh tersebut, eksport meningkat 21% kepada RM451.05 bilion dan import berkembang 23.3% kepada RM408.12 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM42.93 bilion telah direkodkan pada H1 2017 berbanding RM41.79 bilion pada H1 2016.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : April 2017 dan Januari - April 2017
April 2017 – Perdagangan Tumbuh Dua Digit bagi 5 Bulan Berturut-turut
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan April 2017 meningkat 22.5% kepada RM139.18 bilion berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini disokong oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan ASEAN, China, Jepun, India, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut sejak Disember 2016. Eksport pada bulan April 2017 meningkat 20.6% kepada RM73.97 bilion berbanding April 2016 dan import naik 24.7% kepada RM65.21 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM8.75 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-234 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 12.9%, 10.5% dan 15.6% berikutan kesan nilai asas yang tinggi pada bulan Mac.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : April 2017 dan Januari - April 2017
Jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama 2017 berjumlah RM569.68 bilion, meningkat 23.8% berbanding RM460.02 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas. Eksport bernilai RM298.65 bilion, naik 21.2% manakala import berkembang 26.9% kepada RM271.03 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM27.62 bilion direkodkan pada tempoh tersebut.
Prestasi Perdagangan : Mei 2017 dan Januari - Mei 2017
Mei 2017 – Pertumbuhan Eksport Melepasi Import buat Kali Pertama Sejak Mei 2016
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Mei 2017 bernilai RM153.3 bilion, meningkat 31.5% berbanding RM116.6 bilion yang direkodkan pada Mei 2016. Perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan hampir kesemua rakan dagang terutamanya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), India, Taiwan dan Australia.
Eksport pada bulan Mei 2017 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun lebih tinggi berbanding import buat kali pertama sejak Mei 2016. Eksport meningkat 32.5% kepada RM79.4 bilion manakala import naik 30.4% kepada RM73.91 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM5.49 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-235 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 10.2%,7.5% dan 13.3%.
Pada Januari-Mei 2017, jumlah perdagangan meningkat 25.4% kepada RM722.89 bilion, eksport naik 23.3% kepada RM377.96 bilion, manakala import berkembang 27.7% kepada RM344.93 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM33.03 bilion direkodkan pada tempoh tersebut.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Mac 2017 dan Januari - Mac 2017
Prestasi Perdagangan Kukuh bagi Bulan Mac 2017
Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum yang kukuh pada bulan Mac 2017, meningkat 31.1% kepada RM159.86 bilion berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan dalam jumlah perdagangan dapat dilihat dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Republik Korea (ROK) dan Jepun.
Eksport pada bulan Mac 2017 mencatatkan satu pencapaian baru dengan pertama kali melepasi nilai RM80 bilion. Eksport meningkat 24.1% kepada RM82.63 bilion, iaitu nilai eksport bulanan yang tertinggi setakat ini. Eksport juga merekodkan pertumbuhan dua digit yang ke-empat bulan berturut-turut sejak bulan Disember 2016. Import naik 39.4% kepada RM77.22 bilion, manakala imbangan perdagangan berjumlah RM5.41 bilion, menjadikan ia lebihan dagangan yang ke-233 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 18.5%, 15.1% dan 22.5%.
Jumlah perdagangan bagi suku pertama (S1) tahun 2017 berjumlah RM430.51 bilion, meningkat 24.3% berbanding RM346.38 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2016. Eksport bernilai RM224.7 bilion, naik 21.4% manakala import berjumlah RM205.82 bilion, berkembang sebanyak 27.7%. Lebihan dagangan sebanyak RM18.88 bilion direkodkan pada tempoh tersebut.
Muat turun PDF:
Halaman 2 dari 3