PRESTASI PERDAGANGAN LUAR BAGI BULAN OKTOBER 2023 DAN TEMPOH JANUARI-OKTOBER 2023 # 

Perdagangan Melepasi Aras RM2 trilion pada Sepuluh Bulan Pertama 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 berkembang 6.8% kepada RM239.52 bilion. Eksport meningkat 1.5% kepada RM126.19 bilion dan import mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.4% kepada RM113.33 bilion. Lebihan dagangan mencecah RM12.87 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Perdagangan Malaysia menyusut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.4% tahun ke tahun, berbanding penurunan dua digit yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Eksport menurun 4.4% dan import berkurang secara marginal sebanyak 0.2%. Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti China, Taiwan ROC dan Indonesia di mana masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Oktober 2023 serta pengurangan dalam import global.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, perdagangan melepasi paras RM2 trilion, mencecah nilai RM2.181 trilion. Eksport berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion. Perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Lebihan dagangan berkurang 7.9% kepada RM190.04 bilion.

Prestasi Eksport Sektor Utama 

Eksport Keluaran Pertanian Mengukuh 

Pada Oktober 2023, eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.3% atau RM107.59 bilion daripada jumlah eksport menurun 3.5% tahun ke tahun berikutan penyusutan eksport bagi keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E). Walau bagaimanapun, eksport kelengkapan pengangkutan, barang makanan diproses, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan kertas dan palpa serta barangan kayu mencatatkan pertumbuhan.

Eksport keluaran pertanian (7.1% syer) meningkat sebanyak 3.3% kepada RM8.90 bilion berbanding Oktober 2022, merekodkan pertumbuhan positif buat pertama kali selepas penurunan dua belas bulan berturut-turut.

Eksport hasil galian (6.9% syer) berkurang 21.9% tahun ke tahun kepada RM8.75 bilion kesan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Barangan eksport utama pada Oktober 2023: 

  • Barangan E&E, bernilai RM49.23 bilion dan merangkumi 39% daripada jumlah eksport, berkurang 2.3% berbanding Oktober 2022;
  • Keluaran petroleum, RM13.85 bilion, 11.0% daripada jumlah eksport, ↓23.7%;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.56 bilion, 5.2% daripada jumlah eksport, ↓0.8%;
  • Kimia dan bahan kimia, RM6.47 bilion, 5.1% daripada jumlah eksport, ↓2.5%; dan
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM5.16 bilion, 4.1% daripada jumlah eksport, ↑6.6%.

Berbanding September 2023, eksport keluaran pertanian dan hasil galian masing- masing meningkat sebanyak 10.7% dan 10.4% manakala eksport barangan perkilangan mencatatkan penurunan marginal.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, eksport barangan perkilangan menyusut 6.3% kepada RM1.016 trillion berbanding tempoh yang sama tahun 2022 berikutan pengurangan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran getah. Walau bagaimanapun, eksport barangan makanan diproses, barangan kertas dan palpa serta kelengkapan pengangkutan merekodkan pertumbuhan ketara.

Eksport hasil galian menguncup 12.8% kepada RM84.92 bilion disebabkan oleh penurunan eksport LNG dan petroleum mentah kesan kejatuhan harga komoditi tersebut.

Eksport keluaran pertanian berkurang 23.0% kepada RM77.74 bilion disebabkan eksport yang lebih rendah bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penyusutan harga eksport minyak sawit.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama 

ASEAN – Perdagangan Kembali Meningkat pada Oktober 2023 

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan ASEAN meningkat 1.7% tahun ke tahun, merangkumi 26.9% atau RM64.39 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport berkurang 5.7% kepada RM36.57 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum. Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari ASEAN mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.4% kepada RM27.82 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN: 

  •  Singapura
 RM17.87 bilion, menurun 8.2%, tahun ke tahun;
  •  Viet Nam
 RM5.62 bilion, ↑11.6%;
  •  Thailand
 RM4.63 bilion, ↓21.3%;
  •  Indonesia
 RM4.48 bilion, ↓10.1%;
  •  Filipina
 RM2.61 bilion, ↑20.4%;
  •  Brunei
 RM896.1 juta, ↑13.9%;
  •  Myanmar
 RM287.1 juta, ↑14.7%;
  •  Kemboja
 RM150.7 juta, ↓30.1%; dan
  • Lao PDR
RM17.7 juta, ↑132.5%.

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan dua digit ialah Viet Nam yang meningkat sebanyak RM585.2 juta dan Filipina naik sebanyak RM441.5 juta didorong oleh eksport keluaran petroleum yang lebih tinggi.

Perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 5.7%, 2.7% dan 10% berbanding September 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, perdagangan dengan ASEAN menyusut 6.9% kepada RM600.49 bilion berbanding tempoh yang sama 2022. Eksport menurun 6.7% kepada RM350.8 bilion berikutan pengurangan eksport bagi keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, pertambahan eksport dicatatkan untuk barangan galian bukan logam, barangan minuman dan tembakau serta barangan makanan diproses. Import dari ASEAN turun 7.1% kepada RM249.69 bilion.

China – Perdagangan Pulih pada Oktober 2023 

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan China mewakili 17.7% atau RM42.31 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan 1.9% tahun ke tahun selepas mengalami penurunan selama tujuh bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, eksport ke China menyusut 7.0% kepada RM17.13 bilion disebabkan oleh penurunan dalam eksport LNG, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan E&E serta kimia dan bahan kimia. Walaupun berlaku penyusutan, pertumbuhan positif dicatatkan bagi eksport bijih logam dan serpihan logam, keluaran petroleum serta barangan kertas dan palpa. Import dari China meningkat 8.9% kepada RM25.18 bilion.

Berbanding September 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 10.6%, 3.1% dan 16.3%.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, perdagangan dengan China menyusut 8.0% kepada RM369.09 bilion berbanding tempoh yang sama 2022. Eksport turun 9.5% kepada RM157.35 bilion berikutan pengurangan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli. Sebaliknya, eksport berkembang bagi barangan kertas dan palpa, bijih logam dan serpihan logam, kelengkapan pengangkutan dan barangan makanan diproses. Import dari China lebih rendah sebanyak 6.9% kepada RM211.74 bilion.

AS – Eksport Berkembang pada Oktober 2023 

Perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2023 menyumbang 9.2% kepada jumlah perdagangan Malaysia, menurun sebanyak 7.7% tahun ke tahun kepada RM22.14 bilion. Eksport meningkat 4.0% kepada RM14.3 bilion, menunjukkan pemulihan selepas mencatatkan kemerosotan selama dua bulan berturut-turut. Kenaikan ini disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi kelengkapan pengangkutan, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS menguncup 23.5% kepada RM7.84 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 2.3% manakala perdagangan dan eksport masing-masing lebih rendah sebanyak 1.4% dan 3.2%.

Dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2023, perdagangan dengan AS menyusut 8.0% kepada RM204.87 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport berkurang 2.8% kepada RM133.75 bilion disebabkan oleh penurunan eksport barangan kayu, keluaran getah serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Sebaliknya, pertumbuhan positif dapat dilihat bagi eksport barangan E&E, kelengkapan pengangkutan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS turun 16.5% kepada RM71.13 bilion.

EU –Perdagangan Merekodkan Peningkatan 

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang menyumbang 7.5% kepada jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 mencatatkan peningkatan 3.4% tahun ke tahun kepada RM18.07 bilion. Eksport berkurang 0.1% kepada RM9.77 bilion disebabkan oleh eksport barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum yang lebih rendah. Namun begitu, penurunan dalam eksport telah diimbangi oleh pertumbuhan dua digit bagi eksport barangan E&E dan kelengkapan pengangkutan. Import dari EU berkembang 7.8% kepada RM8.3 bilion.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 90.4% daripada jumlah eksport Malaysia ke EU adalah: 

  •  Belanda
 RM3.13 bilion, meningkat 3.0%, tahun ke tahun;
  •  Jerman
 RM2.60 bilion, ↑7.9%;
  •  Belgium
 RM790.8 juta, ↓28.1%;
  •  Itali
 RM536.4 juta, ↑85.3%;
  • Sepanyol
 RM423.3 juta, ↓17.1%;
  •  Perancis
 RM373.8 juta, ↓39.4%;
  •  Ireland
 RM322.5 juta, ↑354.0%;
  •  Poland
 RM242.1 juta, ↓10.4%;
  • Hungary
 RM230.9 juta, ↑44.5%; dan
  • Finland
 RM178.6 juta, ↑120.2%.

Eksport ke pasaran EU yang mencatatkan pertumbuhan ketara adalah Ireland yang meningkat sebanyak RM251.4 juta berikutan kenaikan eksport kelengkapan pengangkutan, Itali (↑RM246.9 juta, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit) dan Jerman (↑RM190 juta, barangan E&E).

Berbanding September 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 2.9%, 0.6% dan 5.7%.

Bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun 2023, perdagangan dengan EU menyusut 3.1% kepada RM171.77 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport jatuh 9.1% kepada RM94.07 bilion disebabkan oleh eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit serta keluaran getah yang lebih rendah manakala permintaan yang lebih tinggi dapat dilihat bagi barangan E&E, kelengkapan pengangkutan serta barangan optik dan saintifik. Import dari EU meningkat 5.3% kepada RM77.69 bilion.

Jepun – Pertumbuhan Eksport Dua Digit bagi Barangan Optik & Saintifik dan Barangan Makanan Diproses 

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan Jepun yang merangkumi 5.4% atau RM12.88 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkurang 19.5% tahun ke tahun. Eksport menurun 23.4% kepada RM6.63 bilion berikutan eksport yang lebih rendah bagi LNG, barangan E&E serta petroleum mentah. Sebaliknya, pertumbuhan dua digit direkodkan bagi eksport barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses. Import dari Jepun susut 14.9% kepada RM6.25 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import berkembang 11.7% manakala perdagangan dan eksport masing-masing berkurang sebanyak 0.4% dan 9.7%.

Pada Januari hingga Oktober 2023, perdagangan dengan Jepun menurun 14.1% kepada RM129.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport berkurang sebanyak 13.3% kepada RM70.9 bilion disebabkan oleh eksport LNG, keluaran petroleum serta barangan E&E yang lebih rendah. Bagaimanapun, kenaikan eksport dicatatkan bagi petroleum mentah serta barangan optik dan saintifik. Import dari Jepun menyusut 15.0% kepada RM58.96 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA 

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyumbang 66.2% atau RM158.58 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia menurun 1.6% tahun ke tahun. Eksport ke rakan dagang FTA menyusut 5.6% kepada RM86.28 bilion dan import meningkat 3.6% kepada RM72.3 bilion.

Dari segi pasaran, peningkatan eksport dicatatkan ke Republik Korea (ROK) yang meningkat sebanyak 9.5% kepada RM5.28 bilion dan Mexico (↑10.9% kepada RM1.76 bilion) dipacu oleh eksport keluaran petroleum. Sementara itu, eksport ke Hong Kong SAR meningkat sebanyak 5.9% kepada RM7.87 bilion berikutan eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E dan eksport ke India (↑4.6% kepada RM3.94 bilion didorong oleh kenaikan eksport bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Pertambahan eksport dicatatkan ke Türkiye yang berkembang sebanyak 3.3% kepada RM1.15 bilion disokong oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli. Selain itu, eksport ke Peru meningkat 6.6% kepada RM57.5 juta disumbangkan oleh pertambahan eksport tekstil, pakaian dan kasut manakala eksport ke Chile naik 1.4% kepada RM48.3 juta didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk barangan makanan diproses.

Berbanding September 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 4.7%, 1.4% dan 9.0%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA dalam tempoh sepuluh bulan pertama 2023 menguncup 7.6% kepada RM1.472 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport jatuh 6.8% kepada RM826.13 bilion dan import menurun 8.6% kepada RM645.94 bilion.

Prestasi Import 

Jumlah import pada Oktober 2023 menyusut secara marginal sebanyak 0.2% tahun ke tahun kepada RM113.33 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 68.8% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barangan pengantara, bernilai RM55.87 bilion atau 49.3% daripada jumlah import, menurun 7.9% tahun ke tahun, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori untuk barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, bernilai RM12.71 bilion atau 11.2% daripada jumlah import, meningkat 8.6%, disumbangkan oleh kenaikan import bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, mencecah nilai RM9.37 bilion atau 8.3% daripada jumlah import, berkembang 9.9%, hasil daripada import yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman yang diproses terutamanya untuk kegunaan isi rumah.

Pada tempoh Januari hingga Oktober 2023, import mengurang 8.0% kepada RM995.55 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Import barangan pengantara menurun sebanyak 14.8% kepada RM505.05 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, barangan modal (↑1.1% to RM101.7 bilion) dan barangan penggunaan (↓0.1% kepada RM85.16 bilion).