Malaysia Kekal Lebihan Dagangan yang ke-43 Bulan Berturut-turut

Pada November 2023, perdagangan Malaysia mencatatkan pengurangan sederhana sebanyak 2.4% tahun ke tahun kepada RM231.79 bilion. Eksport mencecah RM122.10 bilion, menyusut 5.9% tahun ke tahun manakala import mengembang 1.7% kepada RM109.69 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM12.41 bilion dicatatkan, merupakan lebihan dagangan yang ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Taiwan, ROC dan Indonesia di mana masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada November 2023 serta pengurangan dalam import global.

Berbanding Oktober 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menurun sebanyak 3.1%, 3.2%, 3.1% dan 3.8%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan menyusut 7.5% kepada RM2.413 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport mengurang 7.8% kepada RM1.308 trilion, import menurun 7.1% kepada RM1.105 trilion dan lebihan dagangan merosot sebanyak 11.3% kepada RM202.49 bilion.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Hasil Galian Meningkat 

Pada November 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 83.8% atau RM102.38 bilion daripada jumlah eksport menyusut 6.7% tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia serta kelengkapan pengangkutan. Namun begitu, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan makanan diproses serta barangan besi dan keluli.

Eksport hasil galian merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi tahun 2023 setakat ini, berkembang 0.5% tahun ke tahun kepada RM10.46 bilion (8.6% syer). Ini merupakan pertumbuhan positif yang pertama dicatatkan setelah merekodkan penyusutan selama lima bulan berturut-turut, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Eksport keluaran pertanian (6.9% syer) menyusut 5.5% kepada RM8.39 bilion berbanding November 2022 disebabkan terutamanya oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penurunan harga eksport minyak sawit.

Barangan eksport utama pada November 2023: 

  • Barangan E&E, bernilai RM45.43 bilion dengan syer 37.2% daripada jumlah eksport, mengurang 13.8% berbanding November 2022;
  • Keluaran petroleum, RM13.34 bilion, 10.9% daripada jumlah eksport, ↑8.2%;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.07 bilion, 5.0% daripada jumlah eksport, ↓10.9%;
  • Kimia dan bahan kimia, RM6.01 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↓15.7%; dan
  • Gas asli cecair (LNG), RM5.63 bilion, 4.6% daripada jumlah eksport, ↓14.8%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian merekodkan pertumbuhan dua digit 19.7%, manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing menguncup sebanyak 4.8% dan 5.7%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, eksport barangan perkilangan mengurang 6.4% kepada RM1.118 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022 berikutan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia. Walau bagaimanapun, eksport barangan makanan diproses serta barangan kertas dan palpa merekodkan peningkatan yang kukuh.

Eksport hasil galian menguncup 11.6% kepada RM95.38 bilion berikutan pengurangan eksport LNG dan petroleum mentah.

Eksport keluaran pertanian menurun 21.6% kepada RM86.12 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penurunan harga eksport minyak sawit.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama 

ASEAN – Kekal Pertumbuhan Eksport Keluaran Petroleum serta Jentera, Kelengkapan dan Peralatan

Pada November 2023, perdagangan dengan ASEAN mencatatkan pengurangan marginal 0.2% tahun ke tahun, menyerap 27.3% atau RM63.31 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport mengurang 5.8% kepada RM36.41 bilion disebabkan oleh penurunan eksport barangan E&E. Walau bagaimanapun, penyusutan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport petroleum mentah, keluaran petroleum serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN mengembang 8.6% kepada RM26.89 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

  •  Singapura
 RM18.26 bilion, mengurang 17.0%, tahun ke tahun;
  •  Thailand
 RM5.53 bilion, ↓0.5%;
  •  Viet Nam
  RM5.38 bilion, ↑40.4%;
  •  Indonesia
 RM4.52 bilion, ↑4.9%;
  •  Filipina
 RM2.15 bilion, ↓1.8%;
  •  Myanmar
 RM235.4 juta, ↓4.9%;
  •  Brunei
 RM216.3 juta, ↓38.2%;
  •  Kemboja
 RM118.0 juta, ↑5.6%; dan
  • Lao PDR
 RM6.7 juta, ↓91.2%.

Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan ialah Viet Nam, meningkat sebanyak RM1.55 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan Indonesia, naik sebanyak RM209.4 juta dipacu oleh kenaikan eksport keluaran petroleum.

Berbanding Oktober 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun 1.6%, 0.3% dan 3.3%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan dengan ASEAN mengurang 6.3% kepada RM663.75 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport menurun 6.7% kepada RM387.18 bilion berikutan eksport yang rendah bagi keluaran petroleum, barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, kenaikan eksport dicatatkan bagi barangan galian bukan logam, barangan makanan diproses serta barangan minuman dan tembakau. Import dari ASEAN menyusut 5.8% kepada RM276.56 bilion.

China – Eksport Meningkat Berbanding Oktober 2023 

Pada November 2023, perdagangan dengan China yang merangkumi 17.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia menguncup 5.0% tahun ke tahun kepada RM40.95 bilion. Eksport ke China mengurang 8.4% kepada RM17.22 bilion berikutan penurunan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia. Walau bagaimanapun, penyusutan ini telah diimbangi oleh pertumbuhan positif bagi eksport barangan kertas dan palpa, petroleum kondensat dan minyak petroleum lain serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari China jatuh 2.4% kepada RM23.73 bilion.

Berbanding Oktober 2023, eksport meningkat 0.6%, manakala perdagangan dan import masing-masing menguncup sebanyak 3.2% dan 5.7%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan dengan China mengurang 7.7% kepada RM410.01 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport menguncup 9.4% kepada RM174.55 bilion berikutan penyusutan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli. Di sebalik pengurangan ini, kenaikan eksport telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, bijih logam dan serpihan logam, kelengkapan pengangkutan dan barangan makanan diproses. Import dari China menurun 6.5% kepada RM235.46 bilion.

AS –Eksport Barangan E&E Kukuh pada 11 Bulan Pertama 2023 

Perdagangan dengan Amerika Syarikat pada November 2023 yang merangkumi 9.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut secara marginal sebanyak 0.7% tahun ke tahun kepada RM22.22 bilion. Eksport mengurang 8.5% kepada RM12.94 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport barangan E&E. Walaupun mencatatkan pengurangan, pertumbuhan eksport direkodkan bagi keluaran getah, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan kayu. Import dari AS menokok sebanyak 12.8% kepada RM9.28 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan import masing-masing mengembang sebanyak 0.4% dan 18.4%, manakala eksport mengurang 9.4%.

Dalam tempoh 11 bulan pertama 2023, perdagangan dengan AS menguncup 7.4% kepada RM227.07 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport jatuh 3.3% kepada RM146.68 bilion berikutan pengurangan eksport barangan kayu, keluaran getah serta barangan besi dan keluli. Sementara itu, eksport yang kukuh telah dicatatkan bagi barangan E&E, kelengkapan pengangkutan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS menurun sebanyak 13.9% kepada RM80.40 bilion.

EU – Perdagangan, Eksport dan Import Meningkat, Bulan ke Bulan 

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 7.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada November 2023 menyusut 2.3% tahun ke tahun kepada RM18.23 bilion. Eksport menurun 6.9% kepada RM9.78 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport kelengkapan pengangkutan, keluaran petroleum serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, pengembangan dua digit eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Import dari EU meningkat 3.5% kepada RM8.45 bilion.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.5% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:

  •  Belanda
 RM3.21 bilion, mengurang 3.6%, tahun ke tahun;
  •  Jerman
 RM2.70 bilion, ↑15.0%;
  •  Belgium
 RM886.3 juta, ↓7.8%;
  •  Itali
 RM622.3 juta, ↑30.2%;
  •  Perancis
 RM486.5 juta, ↓63.4%;
  •  Sepanyol
 RM443.5 juta, ↑13.0%;
  •  Poland
 RM286.5 juta, ↑18.4%;
  •  Hungary
 RM224.8 juta, ↑15.5%;
  • Republik Czech
 RM169.0 juta, ↓63.6%; dan
  • Sweden
 RM107.8 juta, ↓12.2%.

Eksport ke pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan adalah Jerman yang meningkat sebanyak RM352.7 juta disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, Itali (↑RM144.4 juta) dan Sepanyol (↑RM51.1 juta), disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Berbanding Oktober 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing bertambah sebanyak 0.8%, 0.1% dan 1.7%.

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2023, perdagangan dengan EU menurun 3.0% kepada RM190.00 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport merosot 8.9% kepada RM103.85 bilion berikutan pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, keluaran getah dan keluaran petroleum manakala kenaikan eksport dicatatkan bagi barangan E&E, minyak sayuran lain, barangan makanan diproses serta barangan optik dan saintifik. Import dari EU naik 5.1% kepada RM86.15 bilion.

Jepun – Perdagangan dan Eksport Meningkat, Bulan ke Bulan 

Pada November 2023, perdagangan dengan Jepun yang mewakili 5.8% atau RM13.49 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 15.5% tahun ke tahun. Eksport mengurang 18.3% kepada RM7.29 bilion berikutan penurunan eksport LNG, barangan E&E serta barangan besi dan keluli. Walaupun mencatatkan pengurangan, pertumbuhan dua digit eksport telah direkodkan bagi petroleum mentah, barangan makanan diproses, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik, tekstil, pakaian dan kasut, keluaran petroleum serta minyak sayuran lain. Import dari Jepun menguncup 11.9% kepada RM6.20 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing bertambah 5.1% dan 10.6%, manakala import menurun sebanyak 0.8%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan dengan Jepun menurun 14.3% kepada RM143.30 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Eksport menyusut 13.9% kepada RM78.15 bilion berikutan pengurangan eksport LNG, keluaran petroleum serta barangan E&E. Walau bagaimanapun, pertumbuhan dua digit eksport telah direkodkan bagi petroleum mentah serta barangan optik dan saintifik. Import dari Jepun merosot 14.7% kepada RM65.15 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA 

Pada November 2023, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyumbang 67.5% atau RM156.51 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia mengurang 3.8% tahun ke tahun. Eksport ke rakan dagang FTA menyusut 7.2% kepada RM85.75 bilion dan import mengembang sebanyak 0.7% kepada RM70.76 bilion.

Walaupun mencatatkan pengurangan eksport, pasaran yang merekodkan pertumbuhan adalah Republik Korea (ROK) yang mengembang sebanyak 6.8% kepada RM4.96 bilion dan Pakistan, (↑5.1% kepada RM542.6 juta), disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum.

Kenaikan eksport turut dicatatkan ke Kanada, naik sebanyak 2.8% kepada RM346.7 juta disokong oleh eksport barangan kayu dan Chile (↑67.9% kepada RM60.1 juta, barangan makanan diproses). Sementara itu, eksport ke Mexico bertambah 18.8% kepada RM1.23 bilion, Australia (↑6.5% kepada RM4.52 bilion) dan Türkiye (↑36.6% kepada RM1.54 bilion) disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan besi dan keluli.

Berbanding Oktober 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 1.2%, 0.5% dan 2.1%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2023 menyusut 7.3% kepada RM1.628 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport menurun 6.9% kepada RM911.79 bilion dan import jatuh sebanyak 7.8% kepada RM716.66 bilion.

Prestasi Import 

Jumlah import pada November 2023 naik 1.7% tahun ke tahun kepada RM109.69 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.7% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barangan pengantara, bernilai RM56.21 bilion atau 51.2% daripada jumlah import, menyusut 5.2% tahun ke tahun, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, bernilai RM14.94 bilion atau 13.6% daripada jumlah import, meningkat 53.3%, disumbangkan oleh kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, mencecah RM9.72 bilion atau 8.9% daripada jumlah import, berkembang 2.2%, hasil import yang lebih tinggi bagi barangan tahan lama.

Berbanding Oktober 2023, import barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing meningkat sebanyak 0.8%, 17.7% dan 3.8%.

Bagi tempoh Januari hingga November 2023, import mengurang 7.1% kepada RM1.105 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Import barangan pengantara menurun sebanyak 13.9% kepada RM561.14 bilion, barangan modal (↑5.7% kepada RM116.64 bilion) dan barangan penggunaan (↑0.1% kepada RM94.88 bilion).